Setiap
bala atau kejadian yang tidak diingini berlaku kepada manusia adalah kifarah
atau balasan kepada dosa yang dilakukan.
Nabi SAW bersabda, "Tidaklah
menimpa seseorang Muslim sama ada letih, sakit, kerisauan, kesedihan, kesusahan
atau kebimbangan bahkan tusukan duri sekali pun melainkan Allah SWT akan
menjadikan semua itu sebagai kifarah kepada dosa-dosanya." (Hadis riwayat
Bukhari)
Justeru,
setiap kali berlaku perkara tidak disukai, cepat-cepat muhasabah diri mencari
kesilapan diri yang telah dilakukan sama ada dengan sengaja mahupun tidak
sengaja. Kemudian hendaklah kita beristigfar memohon keampunan dari Allah SWT.
Kecelakaan
yang berlaku itu adalah satu peringatan agar manusia sedar kesilapan yang
dilakukan dan kemudiannya dapat memperbaiki atau berubah daripada berterusan
melakukan kesilapan.
Sebenarnya,
apa sahaja musibah, kesusahan atau sakit yang dihadapi dengan sabar, reda dan
bertawakal, mempunyai ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah. Ia bukan
sahaja semata-mata balasan menghapuskan dosa.
Saiyidatina
Aisyah RA berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Mana-mana orang Islam yang terkena tusukan duri malah kesusahan yang
lebih kecil daripada itu pun akan diberi ganjaran satu darjat dengan sebab
kesusahan itu dan satu dosa akan dimaafkan." (Hadis Riwayat Muslim)
Abu
Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bala berterusan akan
menimpa orang Mukmin lelaki dan perempuan sama ada pada dirinya sendiri,
anaknya atau hartanya (yang menyebabkan dosa-dosanya sentiasa gugur) sehingga
dia bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan dia tidak mempunyai apa-apa
dosa." (Hadis riwayat Tirmizi)
Sebab
itu kita perlu sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT. Apa sahaja yang berlaku
ada sebab dan kebaikannya. Terimalah ketentuan Allah dengan reda dan penuh
keinsafan bahawa ada hikmah di sebaliknya.
Rasulullah
SAW bersabda: "Apabila Allah SWT menguji seseorang hamba yang Islam dengan
apa-apa penyakit jasmani maka Allah SWT akan memerintahkan seorang malaikat.
Teruskanlah menulis ganjaran amalan yang biasa hamba ini amalkan (semasa dia
sihat). Sekiranya Allah SWT menyembuhkannya, maka Allah SWT akan membersihkan
dan menyucikannya (daripada dosa-dosanya) dan sekiranya Allah SWT mengambil
nyawanya, maka Allah SWT akan mengampuni dan merahmatinya." (Hadis riwayat
Ahmad)
Satu
lagi hadis bermaksud: "Allah SWT berfirman: Apabila Aku timpakan ujian
(dengan musibah, sakit dan lain-lain kesusahan) ke atas salah seorang daripada
hamba-hamba-Ku yang beriman dan dia memuji Daku (kerana reda) maka (Aku akan
memerintahkan para malaikat) Tulislah segala ganjaran amalannya yang baik
sebagaimana yang biasa kamu tulis semasa dia sihat." (Hadis riwayat Ahmad
dan Thabrani)
Kebaikan
akibat berlaku musibah iaitu penghapuskan dosa dan balasan pahala hanya
diperoleh jika kita menerima apa yang berlaku dengan reda dan pada masa sama
memohon keampunan dari Allah SWT sebagai tanda takwa dan beriman kepada Allah.
Begitu
mulianya seseorang yang beriman, sehingga apa sahaja yang berkaitan dengan diri
mereka akan bernilai di sisi Allah.
Satu
tusukan duri sahaja pun, cukup untuk menyebabkan keampunan Allah dicurahkan
kepadanya.
Malah,
apa sahaja kesedihan atau kebimbangan yang hati mereka alami, sudah mampu
menarik perhatian Allah lalu dikurniakan segala macam rahmat, maghfirah dan
ganjaran dari sisi Allah.
Sebaliknya,
orang tidak beriman dan sering menyalahkan kepada takdir, maka dia beroleh musibah
di dunia dan balasan buruk di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment