Bagi individu yang berkemampuan, sempena Aidiladha disunatkan
melakukan ibadat korban. Ibadat korban ialah menyembelih binatang ternakan pada
Aidiladha (selepas sembahyang sunat hari Aidiladha) atau pada hari Tasyrid (11,
12 dan 13 Zulhijjah - hingga tenggelam matahari 13 Zulhijjah) kerana ibadat
kepada Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Baragsiapa menyembelih
korban sebelum sembahyang Hari Raya Haji, sesungguhnya dia menyembelih untuk
dirinya. Barangsiapa menyembelih korban sesudah sembahyang Hari Raya Haji dan
dua khutbahnya, sesungguhnya dia telah menyempurnakan ibadatnya, dan dia telah
menjalankan aturan Islam.” (Hadis riwayat Muslim).
Sesiapa melakukan korban tidak pada masa yang ditetapkan, maka tidak dianggap melakukan ibadat korban. Begitu pun, sesiapa menyembelih binatang bukan pada masa ditetapkan, kemudian daging itu diagihkan kepada orang ramai, dia tetap mendapat pahala kebaikan. Amalan itu dianggap sedekah dan hadiah.
Pada hari Aidiladha dan Tasyrik adalah hari kesyukuran dan kegembiraan untuk umat Islam. Selain dianjurkan melakukan ibadat korban, pada hari-hari berkenaan digalakkan berzikir, bertakbir dan bertahmid.
Bagi memastikan kegembiraan dan semua orang dapat menikmati hidangan makanan yang disediakan, maka pada dua perayaan dan juga hari Tasyrik diharamkan berpuasa.
Melakukan ibadat korban memang dituntut kepada yang mampu. Keutamaan mengerjakan ibadat korban amat besar ganjarannya.
Antara jenis binatang yang boleh dijadikan korban ialah kambing, unta, biri-biri, lembu, dan kerbau, mengikut syarat yang ditetapkan syarak. Biri-biri hendaklah berumur lebih setahun. Bagi kambing, lembu, dan kerbau hendaklah berumur lebih daripada dua tahun. Manakala unta yang boleh dijadikan korban mesti berumur lebih lima tahun.
Binatang yang ingin dijadikan korban adalah yang tidak cacat, biarpun sedikit seperti carik daun telinga, berjalan terhinjut-hinjut, dan berpenyakit. Binatang yang terlalu kurus juga tidak boleh dijadikan korban.
Dari Bara bin Azli, telah berkata Nabi: “Empat macam binatang yang tidak sah dijadikan korban, iaitu rosak matanya, sakit, pincang dan kurus tidak berlemak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi).
No comments:
Post a Comment