Perlaksanaan tugas dengan sempurna
sepertimana ditetapkan perlu diusahakan bagi memastikan pendapatan yang
diterima benar-benar bersih dan halal.
Jika seseorang pekerja tidak melaksanakan
tugas dengan sempurna atau curi tulang, bermakna sebahagian daripada hasil
gajinya tidak halal baginya.
Sesiapa memakan makanan daripada sumber wang
haram, maka tidak akan diterima amalan kebaikan dilakukan olehnya dan di
akhirat nanti ditempatkan ke dalam neraka.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Setiap daging
yang tumbuh dari yang haram, maka nerakalah tempat yang layak baginya.” -
(Hadis riwayat Tarmizi).
Untuk mengembalikan keberkatan hasil
pendapatan, maka hendaklah setiap pekerja melakukan tugas seperti mana
diamanahkan kepadanya. Sesiapa yang
melakukan perkara yang benar seperti digariskan oleh Islam, pekerjaan itu
dinilai sebagai satu ibadat.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari
rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha
memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya,
maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan
bulan pernama.” (Hadis riwayat Thabrani).
Sekarang terdapat pekerja yang bukan sahaja gagal
melaksanakan tugas tetapi turut melakukan kesalahan menerima rasuah atau pecah
amanah. Rasuah ialah perbuatan sogokan
dengan wang atau apa-apa hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas terhadap
sesuatu hajat atau kemahuan yang telah, sedang atau akan ditunaikan dengan cara
yang tidak sebenarnya.
Pemberi rasuah mengharapkan agar kehendaknya
ditunaikan secara ‘istimewa’ seperti diberi keutamaan, dipercepatkan,
diluluskan atau lepaskan daripada dikenakan tindakan, sedangkan ia tidak
sepatutnya berlaku. Manakala, penerima rasuah mendapat sesuatu balasan yang
sepatutnya bukan haknya.
Sebagai Muslim adalah tidak wajar meletakkan
matlamat setiap pekerjaan yang dilakukan semata-mata untuk keuntungan
kebendaan.
Banyak jabatan penguatkuasa undang-undang gagal
berfungsi disebabkan ramai kakitangan yang menerima rasuah. Amalan rasuah di
kalangan sesetengah pekerja menyebabkan sistem tugas ditetapkan menjadi kucar
kacir seterusnya menggagalkan usaha pekerja lain yang benar-benar bekerja
dengan jujur.
Seorang yang mengamalkan perbuatan rasuah
sanggup melakukan apa sahaja asalkan mendapat wang, pangkat dan kemewahan,
termasuk melakukan perbuatan membahayakan keselamatan negara.
Gejala rasuah berlaku disebabkan manusia
tidak pernah mencapai tahap kepuasan sepenuhnya, kecuali mereka yang beriman
dan bersyukur dengan nikmat hidup yang dikurniakan Allah.
Keburukan akibat rasuah kepada masyarakat dan
negara amat dahsyat. Sebab itu semua agama dan masyarakat meletakkan amalan
tersebut sebagai amat keji dan perlu dijauhi sepenuhnya.
Dalam sejarah tamadun manusia, banyak
kerajaan atau kuasa besar menjadi lemah dan seterusnya jatuh kepada kuasa lebih
yang lemah disebabkan berleluasanya amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa
dalam pemerintahan dan pentadbiran.
Setiap pekerja mesti menunjukkan sikap dan
tindakan profesional demi kepuasan pelanggan.
Pekerja yang baik sentiasa menjalankan tugas
tanpa mengharapkan ganjaran tambahan, melainkan apa yang telah ditetapkan
kepadanya. Dia bersyukur dapat berkerja, sedangkan masih ramai yang tidak
berpeluang bekerja.
Sekiranya dia impikan pendapatan yang lebih,
dia melakukan dengan cara yang betul, berusaha lebih gigih agar gaji atau
pangkatnya dinaikkan.
No comments:
Post a Comment