Sunday, 3 January 2021

KHASIAT KULAT SISIR

 
Cendawan atau dalam dialek Kelantan dipanggil kulat terdapat banyak jenis. Salah satu kulat yang terkenal ialah kulat sisir atau juga dikenali kulat kukur. 
 
Kulat sisir lazimnya ditemui pada batang pokok kayu mati. Ia tubuh di bahagian kulit pokok kayu mati kerana mudah menyerap pemakanan. Kulat sisir banyak tumbuh selepas hujan. 
 
Kulat sisir tidak tahan lama jika dibiarkan di tempat ia tumbuh. Ia akan rosak selepas beberapa hari ‘mekar penuh’. Keadaan itu dalam dialek Kelantan dipanggil malo iaitu keadaan rosak atau layu selepas matang. 
 
Jadi, kulit sisir perlu terus dipungut atau dicabut dari tempat asalnya. Untuk dapat disimpan lebih lama, ia perlu dijemur atau dikeringkan. Kalau sudah betul-betul kering ia boleh disimpan sehingga 6 bulan dan lebih mengikut cara penyimpanan. 
 
Kulat sisir bukan sahaja sedap dimakan sama ada digoreng atau digulai, tetapi juga mempunyai khasiat nutrisi dan perubatan yang tinggi berbanding cendawan lain antaranya kulat butang, enoki dan tiram. 
 
Kulat sisir mengandungi schizophyllan iaitu sejenis ramuan di dalam ubat antibarah khususnya barah serviks. Ia bertindak meningkatkan sel imun bagi membunuh sel barah, virus atau kuman yang menyerang badan. 
 
Ia juga mengandungi sebatian antioksidan yang kuat seperti selenium, asid protocatechuic, ergotheionene dan sebatian fenolik yang diperlukan bagi menyingkir toksik dalam badan selain kaya dengan protein, karbohidrat, magnesium dan vitamin D.

No comments:

Post a Comment