UMNO adalah parti politik yang mendokong mendaulatkan Islam.
Fasal 3 perlembagaan UMNO menjelaskan bahawa UMNO adalah sebuah parti politik
yang berjuang mendukung cita-cita Agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputera,
Anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan
kestabilan negara.
Fasal 3.1 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai
Agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menyatukan
kumpulan Arab bagi menegakkan Islam sehingga berjaya memerintah negara. Maka
itu, UMNO berusaha menyatukan Melayu Islam.
Allah mewajibkan kumpulan Islam bersatu kukuh seperti satu
bangunan yang disusun daripada batu atau kayu yang digabungkan dengan ikatan
yang kukuh.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang
berjuang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti
suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah al-Saff, ayat 4)
Imam al-Ghazali menegaskan: “Al-din (Islam) itu menjadi asas
dan kuasa pemerintahan yang berdaulat (politik) menjadi pengawas. Apa-apa yang
tiada asasnya, maka runtuhlah, dan apa-apa yang tiada pengawasnya, maka
hilanglah.” (Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, hlm. 128)
Islam yang dianut oleh bangsa Melayu adalah sempurna dan
berkuasa memerintah berkonsepkan Raja Berperlembagaan yang ditadbir bersama
oleh para ulama dan umara.
Pemerintahan ini berkonsepkan ali-din (Islam yang sempurna)
daripada Allah Pencipta alam. Segala ajarannya dipelihara dan diamalkan dengan
sempurna, sehinggalah ia dihapuskan apabila tanah air umat Islam mula dijajah.
Betapa eratnya hubungan Melayu dengan Islam sehingga
kedua-dua perkataan ini dianggap seperti perkataan yang seerti. Hal inilah yang
menyebabkan penjajah gagal memurtadkan orang Melayu.
Maka, umat Islam diwajibkan berjuang meninggikan Islam
sehingga berkuasa, sepertimana firman Allah SWT: “Dialah yang mengutus
Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya
atas segala agama (termasuk ideologi) meskipun orang Musyrik membenci.” (Surah
al-Saff, ayat 9)
Demikian juga, wajib adanya kumpulan Islam yang berjuang
sehingga berkuasa. Firman Allah SWT: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan
umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah
daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran,
ayat 104)
Gambar sekadar hiasan.
Gambar Mesyuarat UMNO Cawangan Tanjung Chat, Kota Bharu



No comments:
Post a Comment