Friday, 13 March 2020

SIAPA SEBENAR JADI PENGKHIANAT?

Politik penuh drama yang plot ceritanya berubah-ubah. Tiada skrip dan pengarah dalam drama politik biarpun ada pihak-pihak ingin menjadi pengarah dan penulis skripnya.

Polimik dalam krisis politik kita hari ini ialah berkaitan dengan perbuatan mungkir janji dan khianat terhadap perjanjian yang telah disepakati di kalangan parti-parti komponen yang terlibat pada waktu mereka menubuhkan Pakatan Harapan (PH) dahulu untuk menghadapi PRU-14 sebagai satu gabungan.

Gabungan PH kini masih wujud, namun tanpa Bersatu. Akibatnya, tampuk pemerintahan PH jatuh hilang kuasa peringkat Pusat dan beberapa negeri.

Muafakat Nasional (MN) yang terdiri gabungan UMNO dan Pas, disertai dengan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO bersama MCA dan MIC serta PBRS, dicampur pula dengan sebahagian ahli Parlimen dari Bersatu dan GPS dari Sarawak dan sebahagian ahli Parlimen PKR yang mengubah sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentuk Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan Pusat.

Plot drama itu tidak pernah berlaku di negara kita. Ini kali pertama. PN dianggap oleh MN sebagai bukan satu entiti berasaskan parti. Sebaliknya ia sekadar satu kerjasama melibatkan ahli-ahli Parlimen yang diperakui atau direstui oleh parti masing-masing.

Kerajaan PN digelar kerajaan 'pintu belakang' oleh mereka yang masih setia dengan PH. Lalu, ungkapan pengkhianat dilontarkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin yang dianggap sebagai punca kepada jatuhnya PH.

Inilah drama politik. Yang ingin bercakap tidak perlu kepada skrip dan tidak ikut pengarah. Babak-babak tidak perlu berturutan dan tidak perlu ada rasional atau lojik untuk meneruskan babak seterusnya.

Namun, untuk sekadar mengimbas kembali urutan kejadian, elok kita melihat kembali bagaimana rentetan peristiwa secara ringkas.

Permulaan kepada kegawatan politik negara 2020 ialah apabila Anwar membangkitkan soal peralihan kuasa. Biarpun dalam kenyataan awam, Anwar menerima 'janji' Tun Mahathir akan menyerahnya selepas APEC hujung tahun ini, namun semua sedia maklum, arus di dasar tidak setenang di permukaan. Bak kata pepatah, air tenang jangan disangka tiada buaya.

Entah plot babak apa yang dirancang oleh Tun M sehingga menyebabkan beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan kemudian Pengerusi Bersatu. Tiada siapa dapat menduga plot babak seterusnya.

Hakikatnya, jawatan Perdana Menteri tidak boleh dibiarkan kosong. Lalu Duli Yang Maha Mulia Agong berkenan melantik Tun M sebagai Perdana Menteri Sementera, menanti perlantikan Perdana Menteri seterusnya. Pada masa yang sama, seluruh menteri kabinet juga turut gugur dengan perletakan jawatan Tun M.

Polimik atau kemelut pemilihan Perdana Menteri baharu memperlihatkan babak-babak yang langsung tiada dalam skrip asal. Memang sikap orang politik tidak suka ikut skrip.

Diringkaskan, Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri tanpa penyertaan DAP, PKR dan Amanah. Lalu Muhyiddin digelar pengkhianat dan kerajaan pintu belakang. Label Muhyiddin sebagai pengkhianat dicanang sendiri oleh Tun M.

Sebenarnya siapa lebih layak dipanggil pengkhinat kepada kerajaan PH? Anwar? Tun M? Muhyiddin?

Tanpa tekanan Anwar ingin kepastian tentang peralihan kuasa kemelut ini tidak akan bermula.

Jika Tun M tidak meletak jawatan, kerajaan PH masih kekal.

Sekiranya Muhyiddin tidak dicalonkan sebagai Perdana Menteri dan menerima jawatan 'panas' itu, negara mungkin berada dalam kemelut politik berpanjangan.

Jadi, siapa 'pengkhianat' sebenarnya? Tun M sendiri akhirnya mengaku Muhyiddin bukan 'pengkhianat'.

Sekali lagi pertanyaan diulang, siapa 'pengkhianat' sebenarnya?

Politik di Malaysia sering bertukar plot cerita. Apabila plot cerita baharu timbul, orang tidak peduli lagi tentang plot cerita dahulu. Mereka lebih pentingkan untuk babak seterusnya.

Tentang siapa pengkhianat akan hilang dan dilupakan dalam tempoh masa terdekat. Jadi, tidak perlu mencari siapa pengkhianat sebenarnya, melainkan sekadar dijadikan bahan untuk menghangatkan media sosial dan parlimen kedai kopi, sebelum plot cerita lain timbul dan hangat.

Suhu politik Malaysia tidak pernah 'sejuk' dengan isu.  

No comments:

Post a Comment