Sebelum
tahun 1990-an, nama Tok Bali tidak dikenali seperti sekarang. Boleh dikatakan
tiada orang Kelantan yang tahu atau kenal di mana letakkan Tok Bali, melainkan
penduduk yang tinggal berhampiran.
Namun,
nama Tok Bali menjadi terkenal setelah kawasan tersebut dibangunkan sebagai
lokasi pembangunan berstrategik, berfokus dan teratur. Terletak
16 kilometer dari bandar Pasir Puteh, Tok Bali menjadi permata pembangunan
Kelantan.
Perubahan
sinar pembangunan bermula dengan pembinaan sebuah jambatan melengkung sepanjang
kira-kira 300 meter yang kini dikenali Jambatan Tok Bali. Uniknya, jambatan
tersebut di atas darat. Sungai atau terusan yang ada sekarang dibina setelah
jambatan tersebut siap sepenuhnya.
Jambatan Tok Bali mula digunakan sejak
tahun 1996, menjadi penghubung laluan pantai dari Kota Bharu sehingga ke Kuala
Terengganu.
Terusan Semerak digali sebagai sebahagian
daripada rancangan pembangunan kawasan Kemasin Semerak melibatkan dua jajahan
(daerah) Bachok dan Pasir Putih.
Rancangan itu dikenali Projek Kemasin
Semerak (Perkasa). Manakala kawasan yang diliputi dalam rancangan itu pula
dikenali Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak (IADA). IADA
merupakan badan yang bertanggungjawab menyelia aktiviti pembangunan di kawasan
berkenaan.
Apabila siap Terusan Semerak ia berperanan
mengalirkan air dari kawasan bandar Pasir Puteh dan kawasan sekitarnya. Kawasan
yang asalnya air bertakung dan sering dilanda banjir mula dibangunkan sebagai
kawasan penempatan penduduk dan dibina pelbagai kemudahan asas serta beberapa
agensi kerajaan beroperasi di situ.
Hasil wujudnya jalan raya dan kemudahan
asas lain, Tok Bali terus berkembang maju, termasuklah dalam industri
pelancongan. Banyak resort dan rumah tumpangan dibina di kawasan tersebut selari
dengan permintaan aktiviti pelancongan yang berkembang pesat.
Terusan Semerak merupakan nadi utama kepada
pembangunan bandar perikanan di Tok Bali dan memberi kemudahan kepada lebih 300
bot nelayan laut dalam dan nelayan tradisional mendaratkan hasil tangkapan di
Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali.
Selain jeti LKIM, di Terusan Semerak
menjadi pangkalan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Kelantan, serta
beberapa agensi lain serta pihak swasta yang memanfaatkan kegunaan terusan
sepanjang kira-kira 7.5 kilometer itu.
Pembinaan Terusan ini menjadi pemangkin
utama pembangunan di Tok Bali, di mana wujudnya pengangkutan melalui laut ke
Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Redang di Laut China Selatan.
Demikian juga dengan kewujudan jeti
pendaratan ikan laut dalam sehingga kepada pertumbuhan industri pelancongan dan
produk berasaskan hasil laut seperti keropok, bebola ikan dan sebagainya. Turut
berkembang di situ ialah industri halal berasaskan hasil laut.
No comments:
Post a Comment