Wednesday, 16 March 2022

TIDAK KENAL ABE LAN TANDA BUKAN PENDUDUK PULAU

 
Roslan Ismail, 49, penerima Anugerah Tokoh Aktivis Belia Kelantan 2021, memang dikenali di kalangan penduduk di kepulauan delta Sungai Kelantan. Kelibatnya biasa kelihatan di kawasan kepulauan seperti di di Pulau Seratus, Pulau Haji Nik Mat, Pulau Pantai Suri, Pulau Beluru, Pulau Renjuna, Pulau Timun dan beberapa pulau sekitar. 
 
Kehadiran Roslan bukan sekadar untuk bersiar-siar, namun untuk memberi khidmat bakti kepada penduduk pulau sekadar yang termampu olehnya. 
 
Bukan banyak yang boleh dilakukan olehnya, tetapi tidak kurang khidmatnya kepada yang memerlukan. 
 
Dikatakan “tidak banyak boleh dilakukan olehnya” kerana dia tergolong dalam orang kelainan upaya (OKU) yang lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah. Dia tidak boleh berdiri dan apa lagi untuk berjalan dan berlari. 
 
Dikatakan “tidak kurang khidmatnya kepada yang memerlukan” kerana dengan apa cara yang termampu olehnya, dia akan berusaha menghulurkan bantuan. 
 
Dia sanggup merangkak dari jeti ke bot atau perahu dan sebaliknya untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat, terutama apabila ada urusan di tanah besar. 
 
Beliau sering kelihatan berada di Jeti Kok Majid untuk melakukan urusan yang memberi manfaat kepada orang ramai. 
 
Baharu ini, beliau kelihatan berada di Jeti Kok Majid untuk mengambil kotak yang mengandungi beg sekolah yang diamanahkan oleh seorang penyumbang dari Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan untuk beliau agihkan kepada pelajar di kepulauan. 
 
Justeru penglibatan Roslan yang membantu penduduk pulau, dia yang lebih dikenali dengan panggilan Abe Lan, memang dikenali ramai. 
 
Roslan yang tinggal di Pulau Seratus adalah ‘artis popular’ di kalangan penduduk pulau. Bak kata seseorang, ‘kalau tidak kenal Roslan atau Abe Lan, itu tanda dia bukan orang pulau’.
 

No comments:

Post a Comment