Negara
Islam ditakrifkan oleh kebanyakan ulama meletakkan syarat pemimpin tertingginya di
kalangan orang Islam, kedaulatan diperakui negara lain, ajaran Islam dapat
diamalkan dengan aman dan hukum dilaksanakan berdasarkan syariat Islam.
Dalam negara Islam dibenarkan bukan
Islam menjadi warganegara yang mendapat hak sebagaimana orang Islam. Selain
itu, bukan Islam juga mungkin tinggal di negara Islam atas dasar sementara atau
tidak menjadi warganegara.
Biarpun Islam berkuasa di negara
Islam, namun hakikatnya ditegah orang Islam melakukan perkara tidak hak kepada
bukan Islam.
Imam al-Mawardi menjelaskan
terdapat hadis bermaksud: “Semua hal yang ada di dalam Darul Islam menjadi
terlarang (terpelihara), sedangkan semua hal yang ada di dalam dar asy-syirk
telah dihalalkan.”
Orang Islam wajib mempertahankan
negara Islam dan jika ia telah ditawan oleh bukan Islam maka wajib negara Islam
dibebaskan dan kembali ditegakkan sebagai negara Islam. Dalam hal ini,
negara-negara Islam mesti bersatu membebaskan negara Islam lain yang dikuasai
oleh kuasa asing.
Inilah yang sepatutnya dilakukan di
kalangan negara Islam dalam usaha untuk membebaskan Palestin daripada kuasa
Israel. Begitu juga dalam hal yang berlaku di Iraq biarpun dianggap
diperintahkan sendiri oleh rakyatnya, tetapi pada hakikatnya hanya menjadi
boneka kepada kuasa asing.
Negara Islam tidak dapat ditegakkan
tanpa penglibatan orang Islam dalam politik atau pemerintahan. Maka itu, adalah
wajib kita memilih di kalangan pemimpin beragama Islam.
Kerjasama dengan bukan Islam dalam
pemerintahan dibenarkan tetapi kuasa penting dalam pentadbiran negara mesti
dipegang oleh pemimpin Islam seperti dalam soal kewangan, pentadiran dalam negeri,
keselamatan, pendidikan, perundangan dan perdagangan.
Hal ini bagi memudahkan urusan
untuk menjaga kepentingan agama dan umat Islam dapat dijalankan dengan baik.
Kelekaan umat Islam memberikan bukan Islam mengurus ekonomi negara memberi
kesan apabila mereka mampu membuat tuntutan ‘melampau’ dalam soal tertentu dan
biasanya perkara itu perlu dilayan disebabkan kuasa ekonomi berada di tangan
mereka.
Maka itu, amat penting umat Islam
menguasai ekonomi selain kuasa pemerintahan dan pertahanan.
Kaeadah fiqah bahawa tindakan
pemimpin atau kerajaan tertakluk kepada masalah rakyat menjadai asas kepada
penggunaan al-masalih dan al-mursalah yang mana hukum yang diputuskan tidak
terdapat di dalam al-Quran dan al-hadis.
Pendekatan mengutamakan kepentingan
masyarakat sebagai satu keperluan yang boleh dijadikan dalil hukum diterima
kebanyakan ulama, namun hukum itu terbatal jika sekiranya telah ada sesuatu
hukum yang jelas telah ditetapkan atau telah nyata perbuatan itu diharamkan.
Kaedah ini amat penting digunakan
terutama dalam perkara yang sesuai dengan objektif syarak, bertujuan kebaikan
dan menolak keburukan, serta bertujuan untuk menjaga kepentingan umum, bukan
golongan atau kumpulan tertentu.
Malang sekali apabila ada di kalangan
umat Islam yang mengeluarkan fatwa yang selari dengan kehendak individu dan
kelompok tertentu sahaja, sedangkan fatwa yang sama jika digunakan oleh pihak
lain dianggap sebagai satu yang tidak betul. Tindakan ini ternyata memberi
implikasi besar kepada bibit-bibit perpecahan di kalangan umat Islam.
Sad al-zari’ah pula merujuk kepada
satu kaedah hukum yang digunakan dalam usaha menyekat atau menghentikan
jalan-jalan yang pada kebiasannya menuju kerosakan.
Perbincangan mengenai
sad-al-zari’ah melibatkan persoalan mafsadah di mana mengharamannya diukur
berdasarkan tahap mafsadah yang berlaku.
Dengan kata lain, segala perbuatan
yang boleh membawa ke arah mafsadah atau kerosakan, maka ia ditegah dalam
Islam. Yang diambil kira dalam sad al-zari’ah adalah penelitian kepada kesan
terakhir kepada sesuatu perbuatan.
Oleh itu, jika satu perbuatan baik
dan diniatkan untuk kebaikan tetapi boleh membawa kesan kerosakan, maka ia
tetap dihalang.
Dengan kata lain, matlamat tidak
menghalalkan cara, sebaliknya perlu berpegang kepada konsep cara berdasarkan
kepada matlamat. Sesungguhnya Islam mementingkan kepada kebaikan dan menjauhkan
sebarang bentuk keburukan.
Pemimpin yang baik akan sentiasa
memikirkan perkara yang baik untuk rakyatnya. Membiarkan negara dalam huru hara
dan berebut jawatan bukan ciri-ciri pemimpin yang baik.
Kemelut kepimpinan
berebut kuasa di antara pemimpin akan menyebabkan urusan kepimpinan atau
memimpin ummah akan terganggu.
No comments:
Post a Comment