Hakikat bahawa seluruh manusia hidup dalam
kerugian adalah tidak dapat ditolak, apabila mereka tidak mencapai tujuan
penciptaannya. Sememangnya, manusia adalah dijadikan oleh Allah dengan tujuan
dan sebab, bukannya secara sia-sia sahaja.
Al-Quran telah menggariskan lima tujuan
kejadian manusia iaitu sebagai hamba yang beribadat kepada Allah, khalifah yang
menegak hukum Allah, penanggung amanah dalam menjalankan perintah Allah,
pemakmur dunia dengan agama Allah dan penerima ujian terhadap perintah,
larangan dan takdir Allah.
Al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa
seluruh kemuliaan manusia sebagai makhluk terbaik akan menggelungsur jatuh ke
tempat yang sehina-hinanya apabila mereka tidak mentaati perintah Allah.
Allah berfirman yang
bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk
yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian
(jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami
kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang
rendah" (Surah at-Tiin: 4-5).
Dalam Surah al- Asr ayat 1-2, Allah
menjelaskan "Demi masa, sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam
kerugian."
Kehidupan dan perjuangan manusia yang tidak
berteraskan keimanan kepada Allah dan tidak beramal dengan Islam akan menjadi
sia-sia, bahkan merugikan seluruh masa, tenaga dan harta benda yang dihabiskan
sepanjang hidupnya.
Pada hari ini, begitu banyak kelompok dan
kumpulan yang bergerak atas nama bangsa, ideologi dan agenda-agenda yang tidak
menuju kepada keredhaan Allah, pasti perjuangan mereka berakhir dengan kerugian
dan penyesalan.
Kerana Allah sekali-kali tidak akan menerima
amal yang dibangunkan selain atas nama Islam. Apabila Allah tidak
mempertimbangkan seluruh amal sepanjang hidup kita di akhirat kelak, ertinya
kita telah mengalami kerugian yang sangat disesalkan.
Bagaimanakah kita mengelakkan kerugian dan
penyesalan ini? Hanya satu pilihan sahaja! Iaitu dengan beriman dan beramal
dengan amal yang soleh.
Apabila kita telah percaya terhadap ketuhanan
Allah sebagai Tuhan yang selayaknya disembah oleh makhluk-Nya, ertinya kita
telah membina keimanan yang benar. Tetapi ia tidak memadai sehingga kita
beramal dengan Islam.
No comments:
Post a Comment