Sunday 4 August 2024

MENGAPA BERSIH KUBUR MUSIM DURIAN

 
Satu tradisi atau budaya yang diamalkan masyarakat Kelantan pada musim durian ialah aktiviti bersih kubur. Persoalannya apa kaitan musim durian perlu bersih kubur?
 
Kebiasaannya, pada musim durian yang dibersihkan dan ditebas semak samun ialah kawasan kebun durian agar mudah mencari durianyang gugur.
 
Inilah hebatnya pemikiran masyarakat dahulu dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Mereka melakukan sesuatu perkara dengan berhemah dan bijaksana. Satu perkara dilakukan mendatangkan banyak kebaikan.
 
Pada masa dahulu, juga sekarang ini, tidak semua penduduk memiliki kebun durian atau pokok durian. Jadi, tidak semua yang akan dapat merasai buah durian, melainkan kena beli atau mengharapkan ada pemilik kebun akan memberikan secara percuma.
 
Penduduk kampung dahulu hubungan sangat rapat. Apa-apa yang dimiliki akan dikongsikan bersama. Sedikit sama merasa, tiada sama melepas.
 
Apabila tiba musim durian, jika hendak diagih-agihkan kepada semua peduduk kampung, memang tidak sempatlah. Tambah pula hanya ada dua tiga pokok durian sahaja. Cukup untuk makan ahli keluarga sahaja.
 
Jadi, pada musim durian, untuk semua penduduk kampung dapat merasa durian, maka diadakan aktiviti gotong royong membersih kubur atau kerja-kerja gotong-royong lain.
 
Semua penduduk kampung dijemput. Tidak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan. Setiap mereka ada fungsi dan tugas masing-masing.
 
Selesai gotong-royong maka diadakan jamuan pulut durian dan kuih muih yang yang seperti bubur kacang hijau dan cendol. Durian disedekahkan oleh mereka yang ada durian untuk dimakan dengan pulut. Kalau durian tidak banyak, mereka akan masukkan durian di dalam bubur, jadi masing-masing dapat rasa dan bau durian sudah cukup. Kalau tidak dimasukkan di dalam bubur, durian yang ada dijadikan serawa.
 
Suasana gotong-royong memang meriah. Kawasan perkuburan memang bersih dan cantik. Hubungan sesama penduduk bertambah erat. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul.
 
Amalan ini semakin terhakis dan ditinggalkan. Kawasan perkuburan kini dibersihkan sepajang tahun oleh individu yang dipertanggungjawabkan atau diberi upah. Tiada lagi gotong-royong dan saling membantu.
 
Namun,di setengah tempat, tradisi membersih atau mencuci kubur pada musim durian masih diteruskan biarpun kawasan kubur sebenarnya sudah selalu dibesihkan.
 
Antara yang masih mengamalkan tradisi ini ialah penduduk Kampung Rusa dan Kampung Kubang Keladi di Bachok. Pada musim durian tahun ini, penduduk di kedua-dua kampung tersebut mengadakan gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Tangok.
 
Semoga tradisi ini dapat diteruskan di tempat-tempat lain juga. 




No comments:

Post a Comment