Friday 26 July 2024

BUAH MASUK KAWASAN JIRAN

 
Hukum asal mengambil atau memakan buah yang ada pada dahan pokok milik orang lain yang menjalar ke kawasan rumah kita, atau yang telah gugur daripada dahannya dan jatuh ke halaman rumah ialah haram, kerana ia merupakan hak milik orang lain. Namun ada pengecualian sekiranya keizinan telah diperoleh daripada tuannya, atau kita yakin bahawa pemiliknya akan reda dan mengizinkan kita mengambilnya.
 
Akan tetapi berasaskan kepada sifat warak, adalah disyorkan agar kita tidak mengambil dan memakannya kecuali keizinan telah diberikan oleh pemiliknya secara langsung dan jelas. Hal ini bagi menjaga diri daripada memakan harta yang tidak halal dan menjaga kerukunan hidup berjiran.
 
Justeru, perbuatan mengambil buah yang pokok ditanam oleh orang lain atau bukan milik kita adalah haram. Ini termasuk dalam kategori memakan harta orang lain secara batil yang telah diharamkan oleh Allah SWT seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) sesama kamu dengan jalan yang batil.” (Surah al-Baqarah, ayat 188)
 
Manakala sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Nyawa, harta dan maruah seorang muslim itu haram daripada dicerobohi oleh muslim yang lain.” (Hadis riwayat Muslim)
 
Kaedah fikah yang masyhur juga telah menetapkan: “Seseorang itu tidak diharuskan untuk mengambil harta orang lain tanpa sebab atau alasan yang syarie.”
 
Menurut Imam Syamsuddin al-Ramli: “Jika dahan pokok miliknya menjalar ke pokok milik orang lain, buah yang ada pada dahan itu merupakan milik pemiliknya, meskipun dahan itu masuk ke kawasan orang lain.”
 
Maksudnya, jika seseorang itu mempunyai sebatang pokok yang dahannya menjalar hingga mengena pokok orang lain, buah yang ada pada pokok yang menjalar itu tetap menjadi hak pemiliknya, meskipun ia mengena pokok orang lain.
 
Namun para ulama memberikan pengecualian sekiranya keizinan telah diperoleh daripada tuannya, atau kita yakin bahawa pemiliknya akan reda dan mengizinkan barangnya untuk diambil.
 
Perkara ini dinyatakan oleh Sheikh Qalyubi: “Diharuskan untuk mengutip tangkai-tangkai daripada pokok jika pemiliknya membiarkannya, atau diyakini bahawa pemiliknya membenarkannya.”
 
Syarak juga mengiktiraf adat dan budaya setempat dalam perkara ini. Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Diharamkan memungut buah-buahan yang gugur jika pokoknya dipagari/dibuat kepung dan jika jatuhnya di dalam kawasan berdinding. Begitu juga (diharamkan) jika buah pokok itu (meskipun) tidak dikepung/dipagari atau jatuhnya di luar kawasan berdinding tetapi tidak menjadi adat (masyarakat setempat) yang membenarkan buah itu diambil."
 
Akan tetapi berasaskan kepada sifat warak dan lebih berhati-hati, adalah disyorkan agar kita tidak mengambil dan memakannya kecuali keizinan telah diberikan oleh pemiliknya secara langsung dan jelas. Hal ini bagi menjaga diri daripada memakan harta yang tidak halal dan menjaga kerukunan hidup berjiran.
 
Sumber - https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5301-al-kafi-1880-dahan-pokok-jiran-masuk-kawasan-rumah-bolehkah-diambil-buahnya-tanpa-izin-pemiliknya

No comments:

Post a Comment