Wednesday 24 November 2021

PEMBELI TANGGUNG KOS IKLAN

  
Penawaran atau kewujudan barangan dan perkhidmatan perlu diwar-warkan atau diiklankan kepada pengguna terutama tentang kualiti dan kelebihannya. 
 
Malah dalam keadaan tertentu, penyebaran maklumat mengenai sesuatu barangan atau perkhidmatan telah disebarkan sebelum prapelancaran lagi untuk mendapat respon bakal pengguna. 
 
Antara medium pengiklanan yang digunakan termasuklah iklan melalui surat khabar, majalah, poster, televisyen, radio dan sebagainya. 
 
Perniagaan tidak dapat berjalan lancar tanpa adanya aktiviti pengiklanan dan oleh sebab itu pengiklanan dianggap sebahagian daripada aktiviti utama menjayakan perniagaan. 
 
Sama ada disedari atau tidak, kita dikelilingi iklan setiap masa, sama ada kita berjalan, memandu, menaiki bas, membaca majalah atau surat khabar, menonton televisyen atau filem. Iklan ada di mana-mana, menghantui kita dan bagaikan tetamu tidak diundang di dalam rumah kita. 
 
Sebarang urusan berkaitan perniagaan perlu dilakukan dengan jujur dan mengikut etika yang ditetapkan. 
 
Memandangkan pengiklanan menjadi sebahagian daripada proses kepada berlakunya urusniaga, maka hal yang berkaitan dengannya perlu dilakukan dengan jujur dan berhemah. 
 
Perniagaan melibatkan kepentingan orang ramai yang mesti dijalankan mengikut lunas hubungan manusia dengan manusia yang mementingkan konsep saling membantu, mengelak penindasan, saling mendapat kebaikan, adil dan mengelak sebarang pelanggaran hukum. 
 
Urusan perniagaan satu amanah besar memberi kebaikan kepada pihak yang berurusan, yakni peniaga dan pengguna. 
 
Kepentingan pengiklanan kepada aktiviti perniagaan dapat dilihat apabila pengusaha atau peniaga sanggup menyediakan jumlah perbelanjaan yang besar untuk pengiklanan. 
 
Malah, aktiviti pengiklanan sendiri menjadi satu bidang perniagaan yang melibatkan perbelanjaan yang besar. 
 
Perbelanjaan pengiklanan termasuk komponen besar dalam perbelanjaan operasi syarikat sehingga ada yang mencecah sehingga 60 peratus dari kos keseluruhan, maka ia menjadi penentu kepada keuntungan perniagaan. 
 
Perbelanjaan pengiklanan sebenarnya ditanggung oleh pengguna melalui kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang ditawarkan. 
 
Secara tidak langsung ia membebankan pengguna yang terpaksa menanggung sesuatu yang sebenarnya tidak termasuk dalam senarai kos untuk menyediakan barang atau perkhidmatan yang dipasarkan. 
 
Keghairahan peniaga membuat iklan secara besar-besaran memberi kesan kepada kenaikan perbelanjaan operasi perniagaan secara keseluruhannya. 
 
Dalam banyak kes, pengguna terpaksa membayar harga barangan atau perkhidmatan sehingga lebih sekali ganda berbanding jika tanpa perbelanjaan iklan. 
 
Sememangnya peranan iklan amat besar dalam membantu memasarkan sesuatu barangan atau perkhidmatan yang mana melaluinya iklan memudahkan pembeli membuat pilihan atau mengetahui tentang sesuatu barang dan perkhidmatan yang terdapat di dalam pasaran yang ditawarkan untuk mereka. 
 
Bagaimanapun, perang iklan yang keterlaluan menyebabkan kos pengiklanan meningkat dengan tingginya. 
 
Pengguna ditindas secara tidak langsung, sedangkan pengeluar terus mendapat keuntungan melalui peningkatan jualan hasil kesediaan mengeluarkan kos yang mahal untuk pengiklanan.
 
Gambar: Madu lebah asli sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment