Apa itu akuan bersumpah? Mengapa seseorang
membuat akuan bersumpah? Akuan bersumpah atau akuan berkanun adalah pengakuan
bersumpah yang kandungan faktanya diketahui benar oleh orang yang mengikrarkan
dan dibuat mengikut Akuan Berkanun 1960 (Pindaan 1969).
Seseorang yang mengikrarkan akuan bersumpah
mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas kandungan berkenaan.
Mana-mana hakim Mahkamah Seksyen,
Majistret, Pesuruhjaya Sumpah atau tertakluk kepada Seksyen 4 Akta Notari Awam
1959 (Akta 115) adalah sah untuk mengambil dan menerima akuan bersumpah
daripada seseorang yang membuat akuan itu dengan sukarela dalam bahasa Melayu
atau bahasa Iggeris mengikut borang akuan.
Akuan bersumpah adalah dokumen yang
mengandungi keterangan yang diberi di bawah ikrar. Semua keterangan
bersumpah tidak boleh ditarik balik. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, akuan
itu boleh diselitkan tambahan atau pembetulan.
Sesiapa yang membuat apa-apa akuan sumpah
menurut peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960, hendaklah membayar sejumlah fee
kepada pihak yang mengambil akuan itu sebagaimana yang ditetapkan dari semasa
ke semasa oleh menteri melalui pemberitahuan dalam Warta.
Sekiranya akuan bersumpah yang dibuat
didapati palsu setelah siasatan dijalankan, maka orang yang membuat akuan
bersumpah itu boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 199 dan 200 Akta 574 Kanun
Keseksaan. Hakim akan membuat keputusan sama ada perakuan yang dibuat itu benar
atau palsu berdasarkan bukti dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Jika didapati bersalah, hukuman yang
diperuntukkan di bawah seksyen itu adalah penjara maksimum tujuh tahun dan
denda. Bagaimanapun hukuman itu hanya berkaitan jika akuan bersumpah itu dibuat
bertujuan untuk digunakan sebagai keterangan di mahkamah.
Sebaliknya, sekiranya akuan bersumpah itu
bertujuan digunakan untuk tujuan lain (selain daripada keterangan di mahkamah)
orang yang membuat akuan bersumpah itu boleh dipenjara tiga tahun dan dikenakan
denda jika didapati akuan itu palsu.
Justeru, orang ingin membuat akuan
bersumpah perlu yakin pasti bahawa apa yang ingin disumpahkan itu adalah benar
dan tidak boleh ditarik balik. Jangan jadi mangsa diperalatkan oleh pihak lain
yang 'memaksa' membuat akuan bersumpah untuk kepentingan pihak lain.
Besar padahnya apabila kandungna akuan
bersumpah dipersoal dan dibawah ke mahkamah untuk menentukan kebenarannya. Perkara
ini terjadi jika akuan bersumpah itu memberi kesan buruk kepada individu
lain.
No comments:
Post a Comment