Pada 8 Disember 1941, tentera Jepun dari
pasukan Detasmen Takumi mendarat di Pantai Kuala Pak Amat untuk menawan Lapangan
Terbang Kota Bharu (kini LapanganTerbang Sultan Ismail, Pengkalan Chepa).
Serangan hebat berlaku di Pantai Pak Amat
dan kawasan sekitarnya sehingga pertahanan lumpuh dan kemaraan tentera Jepun
bagai tidak mampu ditahan lagi. Ini memaksa Brigedir B.W Key, Panglima Briged
India British Ke-8 yang dipertanggungjawabkan mempertahankan Lapangan Terbang
Kota Bharu terpaksa mengambil taktikal berundur ke arah selatan.
Pada jam 10.45 pagi pada 11 Disember
pasukan 2/10 Baluch Regiment bergerak ke posisi pertahanan baru di Batu 28 ½ di
barat Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dengan Kompeni B di sebelah kanan, Kompeni C
di sebelah kiri, Kompeni D di bahagian simpanan manakala Kompeni A berada dalam
posisi kawalan di Batu 15 ½ Jalan Pasir Puteh-Machang. Pasukan 2/12th Frontier
Force Regiment pula berada di posisi pertahanan di sebelah timur Jalan Kota
Bharu -Kuala Krai.
Pada jam 3.40 petang tentera musuh melakukan
tembakan curi dari kawasan sawah padi di depan posisi pertahahan mereka, dan
dari timbunan kayu di tengah sawah padi sehingga senja.
Pada jam 3.45 petang semasa briged berundur
ke posisi pertahanan ini, pegawai dari unit jurutera 19th Field Company Bombay
Sappers & Miners telah meletupkan jambatan jalan utama di Batu 27 terlalu
awal kerana terdapat rondaan oleh askar musuh berhampiran .
Oleh itu unit pengawal belakang briged,
iaitu psukan 4/19th Hyderabad Regiment, 3/17th Dogra Regiment dan Bateri Meriam
Medan ke-73 telah terhalang di sebelah utara jambatan yang rosak itu.
Unit Pengawal Belakang Briged bersama
dengan Kompeni A dari pasukan 2/10th Baluch Regiment mengawal di sebelah utara
jambatan sehingga ia dapat diperbaiki dan pada sebelah malam pasukan ini serta
senjata berat mereka dapat dibawa ke seberang dengan selamat.
Pada 12 Disember kubu parit untuk senjata
telah digali di sepanjang tebing terusan dan kedudukannya telah diperkuatkan
dan mereka telah bersedia untuk bertindak. Pada malam 12-13 haribulan, unit
peronda tentera Jepun dari Rejimen Infanteri ke-56 yang diketuai oleh Kolonel
Yoshio Nasu mara ke bandar Machang.
Pada jam 6.30 pagi 13 Disember, satu platun
dari Kompeni C pasukan 2 / 10th Baluch Regiment yang diketuai oleh Subedar Karam
Chand telah dihantar ke hadapan di jalan utama untuk menghalang pasukan
perondaa musuh.
Kira-kira 360 meter dari barisan hadapan
mereka, anggota platun ini terpaksa merebahkan diri untuk mengelak tembakan
musuh. Pada jam 7.30 pagi mereka melaporkan bahawa tedapat 1 kompeni tentera
musuh berada dalam hutan di sebelah barat bandar Machang.
Dalam kawasan padi itu terdapat banyak
lumpur, air, serta lintah. Oleh itu, sukar bagi mereka untuk mengambil posisi
untuk menembak ke arah musuh. Platun itu berbalas tembak dengan askar Jepun dan
terdapat anggota yang terkorban di kedua-dua belah pihak.
Akhirnya pada jam 8.15 pagi platun ini
telah dikepung, ditawan dan dilucutkan senjata oleh tentera musuh. Sudah jelas
bahawa tentera musuh hadir dengan kekuatan yang lebih besar daripada yang
mereka duga.
Pada jam 8.15 pagi, Panglima Briged India
ke-8 Brigedir B.W Key tiba dan membincangkan situasi ini dengan
Leftenan-Kolonel J.G. Frith, komander pasukan 2/10th Baluch Regiment. Serangan
akan dilakukan dengan 2 kompeni hadapan pasukan mereka .
Setelah melakukan peninjauan secara ringkas,
pada jam 9.00 pagi Kompeni A (sebelah kiri) dan Kompeni D (sebelah kanan)
pasukan 2/10th Baluch Regiment melancarkan serangan ke dalam hutan di sebelah
barat bandar Machang. Mereka tidak menerima sokongan tembakan dari pasukan
artileri medan kerana lokasi Pos Pemerhati yang sesuai untuk unit artileri
tidak dapat ditemui di sekitar itu.
Namun, pada jam 9.20 pagi Kompeni B
memberikan tembakan sokongan yang dibantu oleh satu seksyen kereta perisai Bren
Gun Carrier, diikuti lima minit kemudian oleh satu seksyen lagi, yang mara di
sepanjang jalan sambil menembak mesingan mereka.
Bentuk muka bumi adalah sangat buruk dan
tidak sesuai bagi anggota pasukan Baluch yang lengkap bersenjata yang terpaska
bergerak sejauh 730 meter melalui kawasan padi yang basah serta melalui terusan
yang agak dalam.
Kompeni A pasukan 2/ 10th Baluch yang
diketuai oleh Kapten Thiselton-Dyer tiba di objektif mereka sekitar jam 10.00
pagi setelah menghadapi tentangan tentera musuh semasa dalam perjalanan.
Kompeni D pula menghadapi tentangan yang
lebih sengit dan kemaraan mereka dihalang kira kira 270 meter dari objektif
mereka. Kereta perisai Bren Gun Carrier tidak dapat bergerak di luar jalan,
kerana tentera Jepun telah meletupkan jambatan di selatan bandar Machang dan
mereka tidak dapat sampai ke bandar Machang.
Semasa kemaraan ini anggota platun Kompeni
C yang telah ditawan sebelum itu berjaya melepaskan diri kerana askar musuh
tidak sempat menghantar mereka ke bahagian belakang. Subedar Karam Chand telah
cedera dan empat askar India yang lain turut cedera dan mereka dipindahkan ke
bahagian belakang.
Pada kira-kira jam 10.00 pagi semasa
kedua-dua kompeni pasukan Baluch ini hampir sampai ke objektif mereka, pasukan
Markas Hadapan Batalion Baluch yang terletak di tepi jambatan Sungai Sat
bergerak ke arah timbunan kayu di sebelah timur jalan. Tiba-tiba tembakan curi
dilepaskan oleh musuh dari bawah timbunan kayu lebih kurang 10 meter di sebelah
utara jambatan. Mujurlah tidak ada yang terkena tembakan.
Setelah beberapa das tembakan dilepaskan
dengan senapang sub-mesingan oleh pasukan Markas Hadapan Batalion Baluch ke
arah timbunan kayu itu dan juga Lt-Kol Arthur Edward Cummings komander pasukan
2/12th Frontier Force Regiment yang telah melemparkan bom tangan, tiga askar
Jepun yang mati dikeluarkan dari timbunan kayu ini.
Pada jam 12.00 tengahari setelah pergerakan
kedua dua kompeni itu terhalang mereka telah diarahkan untuk berudur ke kawasan
pertahahan baru di utara jambatan gantung Sultan Ismail. Anggota pasukan
2/10thBaluch Regiment yang terkorban terpaksa ditinggalkan kerana mereka tidak
dapat menghantar usungan melalui kawasan sawah padi.
Dalam pertempuran di Machang ini 18 orang
anggota pasukan 2/10th Baluch Regiment telah terbunuh manakala 22 yang lain
cedera serta 11 anggota mereka hilang. Kapten Thiselton-Dyer cedera tetapi dia
tetap bertugas.
Korban pihak Jepun dianggarkan sekitar 100
terbunuh. Setelah pertempuran ini tentera Jepun telah membina batu bersurat di
tepi jambatan Sungai Sat Machang yang kemudiannya dipindahkan ke kawasan SMK
Hamzah.
Nota: peta Medan Pertempuran Machang ini
dipetik dari Catatan Dairi Perang pasukan 2/10 Baluch Regiment.
#AWW2.
#PPSK
#PPSK
No comments:
Post a Comment