Saturday 30 March 2024

RAMBUTAN MUTIARA ISI TEBAL RASA MANIS

 
Dua klon rambutan iaitu Mutiara Merah (AG-28) dan Mutiara Wangi (GB-44) mempunyai tempoh matang untuk berbuah lebih pendek iaitu kira-kira dua tahun sahaja dan ini mampu memanjangkan musim rambutan.
 
Rambutan Mutiara mempunyai isi yang tebal dan manis, lekang tanpa testa (berkulit berkayu), penampilan buah menarik, bersaiz besar dan tekstur isi yang rangup selain kering.
 
Ciri-ciri dua klon rambutan hasil inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu mampu menjadikan industri buah tempatan berkenaan di negara ini lebih berdaya saing sekali gus muncul antara eksport utama pada masa hadapan.
 
Antara fokus bagi penghasilan rambutan baru itu adalah bagi mengelakkan lambakan dan bekalan buah berterusan, membolehkan pokok berbuah sama ada awal, lewat atau luar musim, berbuah lebat setiap tahun.
 
Ia termasuk mengurangkan masalah penuaian, menghasilkan pokok kerdil atau separa kerdil, membantu industri pengeluaran benih, pokok mudah dibiakkan, kualiti buah yang baik untuk pasaran tempatan dan eksport.
 
Mutiara Merah dikatakan mempunyai kulit dan rerambut yang merah dan kelihatan cantik berbanding Anak Sekolah (R191) yang mempunyai sedikit hijau di rerambut, manakala Mutiara Wangi memiliki sedikit aroma pada buahnya.
 
Mutiara Merah mempunyai penampilan luaran yang baik, tekstur isi yang kenyal dan kering, aroma buah yang sederhana dan lekang bertesta, manakala Mutiara Wangi pula lekang dengan separuh testa nipis, tekstur yang rangup dan kering, aroma yang ketara serta penampilan buah yang menarik.
 
Proses penghasilan klon baru ini mengambil masa yang panjang, selepas mengenal pasti klon yang berpotensi ia akan dibiakkan dengan teknik pembiakan vegetatif bagi mengekalkan bahan genetik tanaman itu. Anak pokok yang dihasilkan akan mengeluarkan buah yang sama kualiti dengan induk kelak dan antara teknik yang digunakan adalah cantuman baji dan mata tunas.
 
Antara ciri-ciri klon mutiara ialah:
 
Ciri pokok:
- Berbuah awal daripada klon lain-lain
- Berbuah lebat setiap tahun
- Saiz pokok yang tidak terlalu besar
- Ketinggian pokok rendang
- Bilangan buah yang banyak
- Mudah dibiakkan
 
Ciri buah:
- Mempunyai isi yang tebal dan manis
- Lekang tanpa testa
- Penampilan buah yang menarik
- Buah bersaiz besar
- Peratus perolehan isi yang tinggi
- Tekstur isi rangup dan kering

No comments:

Post a Comment