Tuesday 30 November 2021

PENETAPAN HUKUM KAEDAH SAD AL-ZARIAH

  
Sad al-zariah adalah sebahagian sumber hukum yang diterima pakai dalam Islam. Sad al-zariah berasal dari perkataan sad dan al-zariah. 
 
Dari segi bahasa, sad memberi maksud sekat atau halang. Manakala al-zariah bermaksud jalan. 
 
Dari segi istilah mengikut al-Qarrafi, sad al-zariah ialah menghentikan jalan-jalan yang pada kebiasaannya menuju kerosakan. 
 
Perkara ini dapat difahami antara lain berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Anam, ayat 108 yang bermaksud: “Allah melarang mencaci tuhan-tuhan orang kafir supaya mereka tidak mencaci Allah.” 
 
Perbahasan mengenai sad al-zariah berdasarkan kepada dua perkara utama; 
 
Tujuan mencapai natijah yang halal atau haram. 
Penelitian terhadap faktor pendorong dijadikan kepada hujah penerimaan atau penolakan sesuatu perbuatan. Contohnya seorang lelaki yang melaksanakan sesuatu kontrak melakukan nikah cina buta, tetapi sebenarnya tidak mempunyai niat untuk melaksanakan tugasan yang perlu dilakukan (cina buta) iaitu menceraikan isterinya itu. 
 
Maksudnya, dia berpura-pura melakukan cina buta, sedangkan dia berniat sebaliknya, iaitu tidak mahu menceraikan isterinya yang bakal dikahwini ini. Dalam situasi itu, perkahwinan tersebut dikira sah. Pun, lelaki itu menanggung dosa disebabkan ada niat menipu tugas yang membawa kepada perkahwinan itu. 
 
Namun perlu dingatkan, sekiranya lelaki yang melakukan cina buta itu memang ingin melaksanakan kontrak atau tugas itu, yang ditetapkan tarikh atau pengakhiran terhadap perkahwinan itu, maka perbuatan itu dianggap sebagai perkahwinan kontrak yang tidak diterima oleh syarak. 
 
Maka perkahwinan itu biarpun nampak sah kerana menepati syarat dan rukun nikah, ia tidak boleh diterima sebagai perkara yang sah kerana niatnya atau faktor pendorong perkahwinan ini hanya bertujuan untuk membolehkan isterinya itu berkahwin semula dengan bekas suaminya apabila diceraikan oleh suami baru itu. 
 
Al-Imam Al-Muzani berkata: 'Telah sah bahwa nikah mutaah dulu pernah dibolehkan pada awal Islam. Kemudian datang hadis-hadis yang sahih bahawa nikah tersebut tidak dibolehkan lagi. Kesepakatan ulama telah menyatakan keharaman nikah tersebut.' (Syarah Sahih Muslim karya An-Nawawi). 
 
Penelitian terhadap natijah dan kesan kepada sesuatu perbuatan tanpa dilihat apa faktor pendorongnya atau niat pelakunya. 
Jika kesan perbuatan yang dilakukan itu membawa kepada kebaikan, maka amalan itu diterima atau dibolehkan. Namun, biarpun diniatkan untuk kebaikan, tetapi kesannya buruk, maka perkara itu tetap ditegah, contohnya mencuri untuk membantu orang lain dengan hasil curian itu. 
 
Para ulama berselisih pendapat mengenai kehujahan sad al-zariah untuk diterima sebagai sumber hukum. Imam Malik dan Imam Ahmad mengakui kaedah ini boleh diterima sebagai dalil hukum. Kedua-dua mereka sering menggunakan sumber sad al-zariah sebagai dalil hukum. 
 
Al-Syatibi seorang ulama Mazahab Maliki mengatakan bahawa: Melihat kepada hasil sesuatu perbuatan menjadi objektif syarak. 
 
Manakala Ibn Qayyim seorang ahli usul Mazahab Hanbali dalam kitabnya I’lam al-Muwaqqi’in menegaskan bahawa “Bab sad al-zariah berjumlah satu perempat daripada keseluruhan taklif. 
 
Manakala Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie pada zahirnya tidak mengakui atau tidak menerima sad al-zariah sebagai hujah dalam hukum syarak. 
 
Oleh sebab itu, buku-buku dihasilkan oleh pendokong kedua-dua mazahab tersebut tidak menunjukkan sebarang kenyataan tentang pendapat mereka mengenai sad al-zariah. 
 
Namun, bagi al-Syatibi berpendapat kedua-dua mazahab tersebut pada hakikatnya tidak menolak kehujahan sad al-zariah berdasarkan amalan yang pernah dilakukan. 
 
Contohnya, Syafie pernah menghukum harus meninggalkan korban sebagai suatu pemberitahuan bahawa korban itu tidak wajib. Begitu juga Abu Hanifah mengharuskan hilah dalam urusan jualan bertangguh. 
 
Kedua-dua hukum itu tidak ada dalil yang jelas dari al-Quran atau al-Sunah, cuma merupakan amalan sekumpulan sahabat sahaja. 
 
Berdasarkan kepada itu, al-Syatibi menyimpulkan bahawa sad al-zariiah satu kaedah yang disepakati dan diakui oleh imam-imam yang empat. 
 
Gambar hiasan

 

No comments:

Post a Comment