Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja
Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Alallah Sultan
Iskandar Shah Al-Haj berkenan bercemar duli ke Istiadat Perbarisan Menjunjung
Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di Dataran Panglima Tentera
Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 8 Jan 2024.
Istiadat ini dilaksanakan oleh Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) sebagai tanda penghargaan kepada KDYMM SPBYDP Agong dan
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong sempena tamat tempoh pemerintahan selama 5
tahun bemula 2019 sehingga 2024.
Perbarisan ini turut melibatkan 10 detasmen
ATM terdiri daripada 6 detasmen TDM, 2 detasmen TLDM dan 2 detasmen TUDM dengan
kekuatan seramai 40 pegawai dan 888 anggota LLP.
Pada istiadat ini juga, lima panji-panji
Yang di-Pertuan Agong turut diarak oleh kontinjen-kontinjen dari ketiga- tiga
perkhidmatan ATM iaitu Panji-panji RAMD, Panji-panji RRD, Panji-panji KAD, Panji-panji
TLDM dan Panji-panji TUDM.
Turut dipersembahkan deklamasi sajak oleh
Sarjan Siti Nur Ain Jasmi dan Laskar Udara 1 Abdullah Rosli bertajuk Daulat
Tuanku yang menceritakan kepimpinan baginda dan cabaran yang dihadapi negara
semasa lima tahun pemerintahan Al-Sultan Abdullah. Bait-bait sajak berkenaan
yang menggambarkan keperibadian baginda berdua yang terserlah mesra rakyat.
Baginda berdua kemudian diarak dari Wisma
Perwira Tentera Darat ke Balai Pengawal Utama Kem Perdana Sungai Besi menaiki
kereta kuda diiringi 14 ekor kuda dari Kor Armor Diraja (KAD).
Hadir bersama KDYMM Pemangku Raja Pahang,
Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al Sultan Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri
Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Sri Muhammad
Hafizuddeain bin Jantan, Panglima-panglima Perkhidmatan serta Pegawai-pegawai
Kanan Tentera Darat.
Sumber – Tentera Darat Malaysia.
No comments:
Post a Comment