Wednesday, 7 February 2024

JAMBATAN JADI LOKASI BUNUH DIRI

 
Kes bunuh diri dengan terjun dari atas jambatan semakin meningkat berlaku di Kelantan. Keadaan ini amat membimbangkan sehingga mendorong kerajaan Kelantan mengadakan solat hajat di atas Jambatan Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali dengan nama Jambatan Tendong, selepas lokasi itu menjadi tempat individu terjun untuk membunuh diri.
 
Sembanyang hajat yang tersebut diimamkan oleh Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan dan Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang yang dihadiri lebih 500 jemaah.
 
Berdasarkan laporan media, sebanyak 17 kes terjun jambatan direkodkan di Kelantan dalam tempoh empat tahun bermula 2021. Kesemua kes mangsa ditemukan lemas.
 
Lokasi paling banyak dilaporkan adalah di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu iaitu sembilan kes diikuti empat kes di Jambatan Sultan Ismail, kes terjun jambatan turut berlaku di Jambatan Salor dan Pak Nik Lah di Kota Bharu, Wakaf King (Tumpat) serta Tok Bali (Pasir Puteh).
 
Tindakan kerajaan Kelantan mengadakan solat hajat itu ada kewajarannya kerana ia bertujuan memohon kepada Allah agar kes seumpama itu tidak berulang lagi pada masa akan datang, atau sekurang-kurangnya bilangan akan berkurangan berbanding sebelum ini.
 
Namun, perlu juga ada tindakan-tindakan lain untuk membendungnya. Kes bunuh diri banyak berpunca masalah tekanan jiwa atau perasaan disebabkan pelbagai masalah. Justeru, masalah tekanan emosi tidak boleh dipandang mudah.
 
Kerajaan Kelantan perlu lebih proaktif untuk menangani masalah tekanan perasaan dan kenal pasti puncanya. Kerjasama dengan kementerian atau agensi Pusat yang berkaitan perlu diadakan.
 
Di peringkat negeri, Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita antara yang perlu lebih berperanan, selain Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar.
 
Selaras dengan kedudukan Kelantan Membangun Bersama Islam, peranan badan agama agama amat penting untuk membendung kes bunuh diri ini. Disyorkan agar masjid di setiap mukim dijadikan pusat sehenti untuk menyebarkan kefahaman bahawa bunuh diri adalah perkara yang ditegah oleh agama.
 
Imam, ahli jawatankuasa masjid, penceramah, pendakwah, ustaz dan sebagainya perlu memperbanyakkan bicara tentang isu bunuh diri ini. Khidmat kaunseling yang disediakan oleh masjid dengan kerjasama pihak yang berkaitan perlu diadakan.
 
Kaedah pusat kaunseling di masjid banyak dilihat di Lembah Klang dan ia juga wajar diadakan di di Kelantan. Usaha mencegah bunuh diri perlu dimainkan oleh semua pihak, tidak terkecuali pihak masjid.
 
Penyediaan khidmat berkenaan adalah peluang yang baik selain mampu memberi banyak manfaat kepada masyarakat.
 
Tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan meletakkan papan tanda memaparkan sepotong hadis yang bermaksud :”Sesiapa yang terjun sendiri dari atas gunung, lalu terbunuh, maka dia akan tinggal di dalam neraka Jahannam, sambil terus menerus menerjunkan dirinya sendiri ke dalam neraka Jahannam itu kekal buat selama-lamanya.” (Hadis riwayat Muslim), satu kaedah agama yang baik. Pun begitu, usaha lebih awal daripada itu perlu dilakukan.
 
Cabaran gangguan dan penyakit kesihatan mental adalah serius dan benar-benar berlaku termasuk di Negeri Kelantan. Jangan izinkan mana-mana pihak memandang ringan mahupun memperlecehkan isu ini dengan menganggap ianya isu terpencil.
 
Malah statistik Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan tahun 2017 melaporkan bahawa Negeri Kelantan mempunyai 39.1% rakyat mengalami masalah kesihatan mental, ketiga tertinggi selepas Sabah & Labuan (42.9%) dan Wilayah Persekutuan (39.8%).
 
 

No comments:

Post a Comment