Sunday, 9 October 2022

NAJIS MERPATI CEMARI TAMAN PERBANDARAN

  
Bilangan burung merpati liar semakin banyak di Kota Bharu. Beberapa lokasi di sekitar bandar Kota Bharu seperti di Stesen Bas Kota Bharu dan Dataran Muhammadi menjadi tumpuan burung merpati turun mencari makan apabila ada individu yang menaburkan makanan di kawasan tersebut. 
 
Burung merpati itu pada sebelah malam akan terbang pulang ke sarang masing-masing. Biasanya rumah merpati itu adalah bangunan terbiar atau tidak digunakan yang terletak di sekitar bandar Kota Bharu. 
 
Namun, ada juga burung merpati yang tinggal sedikit di luar dari pusat bandar Kota Bharu, termasuklah di kawasan Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat. 
 
Di taman tersebut terdapat dua menara yang kini menjadi sarang burung merpati. Kehadiran burung merpati menjadikan menara tersebut sebagai tempat tinggal menyebabkan bahagian bawah atau atas simen menjadi kotor dengan najis burung merpati. 
 
Najis merpati bukan sahaja menyebabkan kawasan tersebut kotor, tetapi juga boleh mendatangkan bahaya membawa penyakit berjangkit kepada manusia. 
 
Najis merpati yang kering akan ditumbuhi kulat serta menghasilkan debu yang akan berapung jika terdapat pergerakan udara. Debu itu kemudiannya akan masuk ke dalam sistem pernafasan dan seterusnya menjangkiti seseorang manusia. Individu yang mempunyai daya imuniti rendah serta mempunyai penyakit asma atau alergi lebih berisiko untuk dijangkiti. 
 
Justeru, pihak yang mengurus Taman Perbandaran Tengku Anis mengambil tindakan untuk tidak membiarkan menara tersebut tidak terus dijadikan sarang burung merpati. 


 

 

 

No comments:

Post a Comment