Monday 18 January 2021

CABARAN HIKING BUKIT KUTU KUALA KUBU BARU

 
Kuala Kubu Baru adalah antara kawasan terawal dirancang sebagai bandar terancang berdasarkan perancangan bandar dan desa sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.   
 
Perancangan pembangunan Kuala Kubu Baru antara lain untuk menampung kepesatan pembangunan Kuala Lumpur ketika itu. Pemilihan kawasan Kuala Kubu Baru juga bertepatan dengan sikap pemerintah Inggeris yang suka kepada pembukaan pusat peranginan atau pertanian di kawasan tanah tinggi. 
 
Penerokaan dan pembukaan tanah tinggi dikaitkan dengan hasrat pegawai Inggeris yang ingin menikmati susana cuaca sejuk seperti di tempat asal mereka. 
 
Salah satu lokasi tersebut ialah Bukit Kutu atau dahulunya dikenali Treacher's Hill. Bukit Kutu yang berketinggian 1053 dari aras laut terletak di daerah Hulu Selangor iaitu di Kuala Kubu Baru berhampiran Kampung Pertak, Selangor.
 
Nama Treacher’s Hill adalah sempena Sir William Hood Treacher yang menemui tempat ini pada tahun 1893 dan menurut sejarah, Sir WH Treacher, telah berkhidmat sebagai Residen British di Selangor dari 1892 hingga 1896. 
 
Di puncak Bukit Kutu terdapat dataran yang menjadi 'kompleks' penempatan dan pentadbiran. Ketika zaman kolonial British, puncak Bukit Kutu adalah stesen pemantauan tentera British. Namun ia terbengkalai setelah dibom oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua. 
 
Keseluruhan binaannya telah rosak dan runtuh serta ditumbuhi semak-samun dan pohon rimba. Kini, yang masih kekal hanyalah bahagian tiang, lantai, rangka bangunan dan tangga serta cerobong asap dan dua buah perigi lama yang salah satunya masih boleh digunakan dan masih terdapat sumber air di dalamnya. 
 
Bukit Kutu kini menjadi lokasi pendakian yang semakin terkenal. Selain mencabar kekuatan fizikal dan minda, pendaki juga dapat melihat tinggalan sejarah itu. 
 
Ketinggian Bukit Kutu 1090 meter dari paras laut. Secara prinsipnya, ketinggian tersebut melayakkan sesuatu tempat untuk dikenali sebagai gunung, iaitu ketinggian melebihi 1000 meter. Oleh itu, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDSH) berhasrat untuk menukar nama Bukit Kutu kepada Gunung Kutu bagi menambah nilai komersial lokasi aktiviti sukan lasak ini menurut laporan daripada Sinar Harian pada 19 Ogos 2019. 
 
Bukit Kutu adalah sebuah lokasi yang menarik bagi penggemar aktiviti hiking, pelari denai yang ingin membina stamina dan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan hiking. 
 
Perjalanan hiking dari tempat letak kereta hingga ke jambatan pertama adalah santai kerana ia adalah laluan balak. Namun setelah melintasi anak sungai dan menemui simpang Y (sila ambil Kanan), pendakian pun bermula sehingga ke puncak Bukit Kutu. 
 
Ada masanya laluannya mendaki, ada masa ia mendatar. Di beberapa kawasan yang agak cerun juga terdapat tali-tali yang boleh digunakan untuk berpaut sekali gus membantu pergerakan. 
 
Di puncak pula boleh memuatkan sekurang-kurangnya 20-30 pendaki pada satu-satu masa dan terhad kepada hanya 2 orang sahaja untuk memanjat batu yang popular di puncak Bukit Kutu untuk melihat sendiri panorama pemandangan sekitar pergunungan dan empangan.

No comments:

Post a Comment