Monday, 30 August 2021

KESAN SALAH MENGAMBIL UBAT

 
Jangan ambil mudah isu kesilapan pengubatan, elak kejadian tidak diingini berlaku. Kesilapan pengubatan merupakan sebarang kejadian tidak diingini yang berlaku akibat daripada kesilapan dalam proses pemberian atau pengambilan ubat-ubatan. 
 
Kesilapan pengubatan boleh berlaku semasa ubat tersebut diberikan oleh ahli profesional kesihatan atau penjaga mahupun ketika pesakit itu sendiri mengambil ubat tersebut. 
 
Sebenarnya kesilapan pengubatan merupakan perkara yang boleh dielakkan. Apabila kesilapan pengubatan berlaku, ia akan menyebabkan pesakit atau pengguna ubat mendapat kesan mudarat hasil daripada kesilapan yang berlaku. 
 
Kesilapan pengubatan boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada di fasiliti kesihatan mahupun di rumah. Golongan pesakit yang berisiko tinggi untuk mengalami kesilapan pengubatan adalah warga tua, pesakit yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan dan pesakit yang mengambil pelbagai jenis ubat. 
 
Antara contoh kesilapan pengubatan adalah seperti silap dos, silap cara menggunakan, silap masa pengambilan ubat, menggunakan ubat yang telah rosak atau tamat tarikh luput, tidak mengambil ubat seperti yang diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi dan lain-lain. 
 
Kejadian kesilapan pengubatan boleh memberi implikasi kepada kesihatan pesakit. Tahap kesihatan fizikal seseorang pesakit mungkin terjejas atau menjadi lebih teruk apabila ubat yang tidak sesuai diambil. Ini boleh menyebabkan kesan rawatan ubat yang diingini tidak dicapai atau berlakunya peningkatan risiko insiden kesan sampingan ubat. 
 
Kesilapan pengubatan juga boleh menyebabkan ketidakselesaan pesakit, kegagalan rawatan dan peningkatan kos rawatan. Tahap keseriusan kesan mudarat terhadap pesakit adalah bergantung kepada jenis kesilapan pengubatan yang berlaku serta ubat yang terlibat. 
 
Jika bernasib baik, pesakit mungkin tidak mengalami sebarang kesan mudarat ubat. Namun, dalam situasi yang lebih serius, kesan mudarat yang dialami boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit dan ahli keluarga. 
 
Jika berlaku kesilapan pengubatan, pesakit dinasihati untuk berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi dengan segera. Bawa bersama-sama sampel ubat supaya rawatan yang sesuai dapat diberikan oleh doktor.

No comments:

Post a Comment