Friday 27 July 2018

SIKAP REMAJA MENGIKUT APA DIAMALKAN KELUARGA

Bagi meneruskan kemakmuran dan kemajuan negara pada masa akan datang, golongan muda perlu dibentuk dan dididik dengan nilai-nilai murni, selain ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Namun diperhatikan sekarang tugas tersebut bukannya mudah berdasarkan arus gelombang masalah sosial golongan muda yang semakin parah.

Perangkaan mengenai penglibatan pelajar dan remaja dalam kegiatan jenayah semakin meningkat. Mereka semakin berani melakukan pelbagai kesalahan jenayah yang biasanya tidak difikirkan akan dilakukan oleh pelajar.

Jika pada masa dahulu kita didedahkan dengan kegiatan pelajar merokok, ponteng sekolah, mencuri buah-buahan di kebun, mencuri peralatan sekolah kawan dan pelbagai kesalahan lain yang mampu diselesaikan oleh guru disiplin dan ibu bapa.

Namun kini kesalahan disiplin pelajar telah boleh dikategorikan kesalahan jenayah. Mereka terlibat melakukan kesalahan yang dilakukan oleh orang dewasa. Seperti sukar untuk mempercayai apabila terdapat pelajar terlibat mengedar dadah, cubaan membunuh, merogol, peras ugut dan mencuri kenderaan.   

Bahkan sekarang ini diperhatikan kebanyakan kes kecurian motosikal dilakukan di kalangan pelajar dan remaja. Mereka membentuk kumpulan yang bergerak cergas mencuri motosikal sebagai satu kegiatan lagak profesional sehingga melibatkan puluhan motosikal. Lagi mengejutkan di kalangan anggota tersebut terdapat pelajar sekolah rendah. 

Bayangkan jika ketika masih di peringkat umur sekolah rendah sudah berani dan pandai merompak motosikal, apabila telah dewasa nanti tentulah lebih hebat lagi. Sebab itu usaha pencegahan awal perlu dilakukan sebelum menjadi masalah sosial yang bakal memusnahkan agama, bangsa dan negara pada masa akan datang.

Dalam soal ini biasanya guru dipersalahkan kerana gagal mendidik pelajar menjadi insan mulia. Guru dituduh tidak profesional dalam menjalankan tugas. Sebenarnya segala permasalahan itu wajar dipersalahkan kepada ibu bapa sendiri. 

Pemulaan pendidikan akhlak dan kelakuan anak-anak bergantung kepada ibu bapa. Ibu bapa yang mencorakkan kehidupan anak-anak mengikut acuan dididikan yang diberikan. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Setiap anak dilahirkan di dalam keadaan fitrah (suci bersih) seperti kain putih. Ibu bapa yang berperanan mencoraknya sama menjadi seorang Yahudi, Nasrani (Kristian) atau Majusi).

Sesungguhnya kehidupan anak-anak bermula di rumah. Ibu bapa dan keluarga lebih berperanan sebagai pembentuk dan contoh untuk pekerti anak-anak. Kehidupan anak-anak lebih dominan dengan ibu bapa berbanding dengan guru yang hanya mendidik pelajar ketika berada di sekolah.

Allah telah mempertanggungjawabkan ibu bapa mendidik anak-anak ke arah kebaikan dan menjauhkan daripada segala macam keburukan. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala).” – (Surah at-Tahrim, ayat 6).

Sesungguhnya anak-anak merupakan sebahagian ujian Allah dalam menjalankan tugas dan ketaatan kepada Allah. Ramai ibu bapa yang leka dan terdorong melanggar perintah Allah kerana sayangkan anak dan harta. 

Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 28 bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian.”.

Jadi tidak wajar tugas tersebut dibebankan kepada pihak lain pula. Institusi persekolahan sebenarnya lebih bertujuan memberi pendidikan akademik. Kalaupun ada aktiviti berbentuk kerohanian, akhlak, kepimpinan dan keagamaan masanya amat terhad. 

Seseorang guru hanya berada bersama-sama pelajar sekitar sejam sehari. Dalam tempoh sejam sukar bagi seorang guru untuk mengenali secara terperinci setiap muridnya yang berjumlah ratusan orang. Biasanya guru sekadar mengingati nama, kelakuan di dalam kelas dan sedikit sebanyak latar belakang keluarga pelajarnya. 

Orang yang paling rapat dengan pelajar ialah ibu bapa sendiri. Dari kecil sehinggalah dewasa, ibu bapalah yang mengetahui tentang keseluruhan perjalanan hidup pelajar. Tidak dinafikan ibu bapa tidak mengikuti keseluruhan aktiviti seharian anak-anak. Di sinilah peranan guru, jiran dan masyarakat luar. 

Hidup dalam bermasyarakat, umpama sebuah keluarga yang besar. Setiap kebaikan dan keburukan yang berlaku dikongsi sama suka dan dukanya. Mengambil berat soal orang lain bukan bermakna menjaga tepi kain orang lain. 

No comments:

Post a Comment