Friday 27 July 2018

TERBUKA MENERIMA ADUAN MENGENAI ANAK

Mengambil berat apa berlaku kepada jiran tetangga merupakan sebahagian tanda kasih sayang yang dituntut oleh Islam. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah kamu mengasihi jiran tetangga seperti mana kamu mengasihi diri sendiri.”

Sikap tidak ambil kisah apa yang berlaku di sekitar menggalakkan sesuatu perkara buruk berterusan. Dalam kes jenayah pelajar, mereka tidak segan silu melakukan kesalahan di hadapan jiran-jiran mereka kerana yakin perkara itu tidak akan sampai ke pengetahuan ibu bapa.

Tambahan pula ramai ibu bapa tidak akan mempercayai keburukan yang dilakukan oleh anak-anak. Maklumat yang disampaikan oleh jiran dianggap fitnah dan irihati. Bahkan orang yang menyampaikan berita itu akan ditempelak dan dimarahi.

Sikap ibu bapa yang tidak mahu menerima hakikat anak-anak telah melakukan kesalahan menyebabkan anak semakin berani melakukan apa sahaja. Pada mereka, anak-anak mereka terlalu baik. Sebaliknya yang dituduh jahat adalah anak orang lain.

Ibu bapa perlu bijak menilai tingkahlaku anak-anak. Jangan tunggu melihat sendiri kesalahan itu baru ingin mempercayainya. Banyak tanda yang boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa untuk mengesan tingkahlaku anak-anak. Perubahan sikap, siapa kawannya, di mana masa dihabiskan, penampilan diri dan sebagainya boleh dijadikan panduan mengesan sikap sebenar anak-anak.

Memanglah tiada anak yang akan melakukan kesalahan terang-terang di hadapan ibu bapa. Bahkan seboleh-bolehnya mereka akan ‘melakonkan’ watak paling baik di hadapan ibu bapa. Ini semua dilakukan untuk mengambil hati dan menyakinkan ibu bapa.

Justeru itu ibu bapa yang diadukan tentang kesalahan anak-anak perlu menerima dengan fikiran terbuka. Ini bukan bermaksud terus mempercayainya. Berdasarkan maklumat yang diterima, luangkan masa untuk melakukan pemerhatian dan siasatan.

Jika benar perkara itu, masih belum terlambat untuk diperbaiki. Terimalah hakikat itu dengan hati dan fikiran yang terbuka. Bersyukurlah perkara itu diketahui lebih awal sebelum ia semakin teruk. Berterima kasihlah kepada sesiapa yang melaporkan perkara itu.

Malangnya berapa ramai ibu bapa yang boleh bersikap demikian. Apa yang lebih ramai ialah apabila dilaporkan tentang prihal perkara buruk telah dilakukan anak mereka, naik tanpa usul periksa. Semakin galaklah anak-anak melakukan kesalahan.

Sesungguhnya kehidupan keluarga bukan sahaja dijanjikan kebahagian di dunia sahaja, bahkan akan dihimpunkan di akhirat nanti dalam satu keluarga juga sekiranya masing-masing dapat masuk syurga.

Firman Allah bermaksud: “Iaitu syurga yang kekal, yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta anak-anak mereka.” – (Surah ar-Rad, ayat 23). 

Justeru, ibu bapa perlu sentiasa memikirkan bagaimana mendidik anak-anak menjadi seorang yang soleh dan dapat memberi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Anak yang soleh merupakan harta yang berharga dan memberi kebahagiaan kepada ibu bapa biarpun sesudah meninggal dunia. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya, kecuali tiga perkara, iaitu ilmu yang dimanfaatkan, sedekah jariah dan anak yang soleh mendoakan baginya.” – (Hadis riwayat Muslim).

Sesungguhnya ibu bapa yang gagal mendidik anak akan turut menerima balasan kejahatan di atas apa yang dilakukan oleh anaknya itu. Namun, jika telah diberi segala didikan dan usaha terdaya tetapi anak masih tidak menurutinya, maka terlepaslah tanggungan itu. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Allah mengurniakan rahmat kepada seorang ayah yang menolong anaknya di atas kebajikan”. – (Hadis riwayat Ibnu Hibban). 

Rosak kehidupan seorang anak adalah tanda kegagalan ibu bapa menjalankan tanggungjawab. Anak yang dikenal pasti bermasalah mungkin hanya seorang, tetapi bagaimana pula nasib anak-anak lain.

Sebab itu, perkara yang mesti diberi penekananan ialah proses mengenal pasti cara ibu bapa mendidik. Jika ibu bapa memang telah berusaha melakukan yang terbaik, tetapi anak masih terlibat dengan masalah sosial, barulah boleh dikatakan yang bersalah dalam hal ini ialah anak itu sendiri.

Tidak dinafikan tugas ibu bapa amat berat. Ia tidak boleh dipandang mudah atau dianggap sebagai satu proses biasa. Banyak ibu bapa yang merasakan telah menjadi ibu atau bapa disebabkan mereka telah mempunyai anak tanpa memikirkan apakah tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan.

Ibu bapa sedemikian hanya tahu bagaimana hendak menyediakan keperluan fizikal seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal untuk anak mereka. Aspek didikan, terutama berkaitan agama diserahkan sepenuhnya kepada guru dan ustaz di sekolah. 

Setiap ibu bapa mesti mengkaji dan mempelajari mengenai proses membesarkan dan mendidik anak. Kalau boleh, kenal pasti setiap masalah yang mungkin timbul ke atas anak-anak itu dari masa ke masa.

Perlu diingatkan, setiap anak mempunyai ragam dan kebolehan yang berbeza-beza. Justeru itu, pendekatan didikan yang berbeza perlu diamalkan terhadap setiap anak mengikut kesesuaian masing-masing.  

Selalu apabila anak-anak berkelakuan liar dan payah dilentur, ini dikatakan berpunca daripada pengaruh rakan sebaya. Memang sudah menjadi tabie manusia suka meniru atau terpengaruh dengan apa yang dilakukan oleh orang lain, khususnya rakan sebaya dan idola mereka.

Elemen sikap manusia yang mudah terpengaruh ini sepatutnya dijadikan satu kaedah untuk mendidik anak. Ibu bapa boleh menjadikan diri mereka sebagai objek yang dapat mempengaruhi anak mengikut acuan kemahuan mereka.

Ibu bapa perlu menjadi cermin menterbalikkan unsur-unsur baik untuk mengaruhi anak agar melakukan kebaikan. Ibu bapa mesti melakukan perkara baik untuk dicontohi oleh anak. 

Anak yang mengiktiraf ibu bapa mereka sebagai yang terbaik pastinya akan menjadikan ibu bapa sebagai idola. Apa yang dilakukan oleh ibu bapa akan mudah mempengaruhi anak untuk mengikutinya. 

Sebagai rumusannya, dalam soal masalah sosial yang ditimbulkan oleh remaja sekarang ini, elok ibu bapa menilai diri sendiri mencari titik di mana punca masalah itu. 

No comments:

Post a Comment