Dalam apa juga pertempuran atau perjuangan,
mengikut perintah pemimpin adalah perkara pokok untuk memastikan kemenangan.
Sikap tamak dan mudah berasa gentar kepada cabaran akan menyebabkan berlaku
kekalahan walaupun pada awalnya sudah berada di ambang kejayaan. Inilah
pengajaran penting kisah bagaimana kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud
biarpun pada awalnya telah nampak kemenangan.
Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu, 7
Syawal tahun ketiga Hijrah (26 Mac 625 M) antara tentera Islam dengan tentera
kafir Quraiys. Perang Uhud adalah peluang untuk orang Quraisy membalas dendam
terhadap kekalahan mereka ketika Perang Badar. Dinamakan Perang Uhud kerana ia
berlaku di sebuah tempat yang dikelilingi Bukit Uhud.
Penduduk Makkah (Quraisy) malu besar atas
kekalahan mereka di medan Perang Badar. Saudagar-saudagarnya tidak ada yang
berani lagi pergi berdagang ke Syria, takut akan ditangkap orang Islam. Kalau
keadaan itu berterusan, kota Makkah akan diserang bahaya kelaparan dan krisis
ekonomi. Oleh kerana itu, maka berundinglah semua pembesar Quraisy untuk
mendapatkan keputusan ini. Diputuskan bahawa semua keuntungan perdagangan di
tahun itu akan dipergunakan untuk membentuk satu angkatan perang yang kuat.
Abu Sufian dipilih menjadi panglima perang,
yang akan memimpin tentera tiga ribu orang jumlahnya. Di antara ketua pasukan
mereka yang ternama ialah Safwan bin Umaiyah bin Khalaf dan Ikrirnah bin Abu
Jahal. Turut serta seorang yang gagah berani, iaitu Khalid Al-Walid.
Demi menjayakan misi mengalahkan tentera
Islam, kaum perempuan dengan diketuai oleh Hindun (isteri Abu Sufian),
dikerahkan untuk menghibur dan menguatkan semangat perang bagi tentera yang
ramai itu. Mereka turut ke medan perang memukul genderang.
Angkatan tentera Islam bertolak menuju ke
Bukit Uhud sebelum matahari terbenam. Sebelum melepasi kota Madinah, seramai
enam ratus orang Yahudi, kawan daripada Abdullah bin Ubay, menyatakan hendak
turut bertempur bersama-sama dengan Nabi SAW. Tapi Nabi SAW sudah tahu akan
maksud mereka yang tidak jujur. Maka tawaran itu ditolak Rasulullah SAW dengan
berkata: "Cukup banyak pertolongan dari Tuhan."
Kerana penolakan ini, Abdullah bin Ubay berasa
malu dan marah. Abdullah kemudian berusaha menakutkan kaum Muslimin, agar
mereka jangan turut berperang. Akibat termakan hasutan, 300 orang kaum Muslimin
mengambil keputusan pulang ke Madinah membatalkan niat untuk turut berperang.
Mereka inilah yang dinamakan kaum munafik.
Maka tinggallah Nabi SAW dengan 700 orang
tentera saja menghadapi musuh yang jumlahnya empat kali ganda itu. Tentera
kafir Quraisy seramai 3,000 orang yang diketuai oleh Abu Sufian Ibn
Harb.
Pada awalnya, Rasulullah SAW mengambil
keputusan bertahan dan menanti musuh di kota Madinah kerana mengetahui musuh
yang bakal menyerang terlalu ramai. Namun, berdasarkan kepada mesyuarat yang
mengambil kira kepada taktik peperangan yang mana elok musuh diserang di medan
perang, Rasulullah SAW bersetuju untuk keluar ke medan perang, sekalipun dalam
hatinya terasa kurang tepat. Ini bertepatan dengan konsep yang diamalkan
Rasulullah SAW iaitu menggunakan keputusan mesyuarat.
Rasulullah SAW lalu masuk ke dalam rumah
memakai pakaian besinya dan mengambil pedangnya. Setelah Rasulullah SAW
keluar, ramai di antara sahabat yang telah mengusulkan untuk menyerang tadi,
membuat keputusan sebaliknya. Mereka merasakan cadangan Rasulullah SAW itu
betul. Namun, Rasulullah berpegang kepada keputusan mesyuarat.
Malah Nabi berkata: "Tidak, kalau
seorang Nabi telah memakai baju perangnya, dia tidak akan membukanya kembali
sebelum perang selesai."
Tanpa diketahui musuh, sampailah kaum
Muslimin di Bukit Uhud pada waktu subuh. Segera Nabi SAW mengatur strategi
perang. Rasulullah SAW telah menyusun taktik dengan membahagikan tentera
kepada tiga pasukan iaitu pasukan kanan dan kiri berhadapan melawan
musuh.
Bukit itu digunakan sebagai pelindung dari
belakang, sedang dari sebelah kiri, dilindungi oleh Bukit Ainain. Seramai 50
orang diarahkan menjaga celah bukit dari belakang diketuai oleh Ibnu Zubair,
dengan perintah bahawa mereka tidak boleh meninggalkan tempat itu, sekalipun
apa juga yang akan terjadi.
Tiba tiba kedengaranlah sorak gemuruh musuh
dari bawah lembah. Mereka sudah melihat akan tentera Islam. Segera mereka
bergerak maju, menyerang dengan formasi berbentuk bulan sabit, dipimpin oleh
Khalid Al-Walid sayap kanannya dan Ikrimah bin Abu Jahal sayap kirinya.
Seorang musuh berunta maju sampai tiga kali
menentang tentera Islam. Pada kali ketiga, maka melompatlah Zubair sebagai
harimau ke punggung unta itu. Musuh tadi dijatuhkan ke tanah, lalu ditikam
dadanya oleh Zubair dengan pisau. Abu Dujanah setelah meminjam pedang Nabi
sendiri, lalu menyerbu ke tengah tengah musuh yang ramai itu. Pertempuran hebat
segera bermula dengan dahsyat.
Arta pemegang panji panji musuh, gugur di
tangan Hamzah. Sibak yang menggantikan Arta segera berhadapan dengan Zubair.
Setelah Sibak tewas menyusul Jubair bin Mutim menghadapi Hamzah, untuk membalas
dendam kerana Hamzah telah dapat menewaskan bapa saudaranya di medan Perang
Badar.
Tiba gelaran Jubair berhadapan dengan
Hamzah. Tetapi dia takut untuk berdepan dengan Hamzah. Lalu diperintahkan
hambanya Wahsyi, bangsa Habsyi, dengan perjanjian apabila budak ini dapat
menewaskan Hamzah dia akan dimerdekakan.
Dengan menyeludup di balik belukar dari
belakang Hamzah, dengan mengunakan tombak, Hamzah dapat ditikamnya sehingga
syahid di saat itu juga.
Pertempuran hebat berlaku di sekitar panji
panji. Berpuluh puluh musuh tewas di sekitar panji panji itu, bersama dengan
panji panjinya. Barisan musuh mulai kucar kacir.
Melihat musuh lari tunggang langgang,
tentera yang lima puluh orang yang ditugaskan menjaga celah bukit itu, lupa kepada
kewajibannya. Mereka turut mengejar musuh yang lari meninggalkan tempat
pertahanan mereka, kerana mengharapkan harta rampasan yang banyak. Zubair
mengarahkan agar mereka kembali, tapi tidak dipedulikan. Hanya 14 orang pemanah
kekal di atas bukit.
Melihat tempat pertahanan yang strategik
itu telah kosong tentera musuh yang lari dengan dipimpin oleh Khalid Al-Walid
itu, segera mengarah ke tempat pertahanan itu. Dengan melalui celah bukit itu
mereka menyerang tentera Islam dari belakang. Zubair yang tetap bertahan
seorang diri di situ, tewas dipijak kuda Khalid.
Panji panji Quraisy yang sudah jatuh itu
berkibar kembali dipegang oleh seorang perempuan Makkah bernama Umarah binti
Alkamah.
Tentera Islam menjadi kacau bilau. Para
sahabat bergelimpangan ke bumi menemui ajalnya. Anak panah dan batu tidak putus
putus menghujani tentera Islam yang berkumpul di sekitar Rasulullah
sendiri terkena batu yang dilontar tentera Quraiys sehingga luka parah dan
patah giginya.
Ketika pertempuran terus berlangsung, Nabi
SAW terjatuh ke sebuah lubang yang agak dalam sehingga hilang dari pandangan
orang ramai. Pasukan Quraisy lalu berteriak mengatakan, bahawa Muhammad sudah
terkorban.
Ali dan Talhah segera menolong dan
mengeluarkan Nabi dari dalam lubang itu. Umar, Abu Bakar dan Ali pun serentak
menyerbu ke tengah tengah musuh sebagai singa yang lapar layaknya. Maka
tinggallah Nabi dilindungi oleh Abu Dujanah dan Abu Talhah saja.
Badan Abu Dujanah penuh luka untuk
menangkis segala serangan yang ditujukan kepada Nabi, sehingga kerana luka dan
keletihan, dia pun meninggal. Seorang perempuan Ansar melihat Nabi SAW tinggal
seorang diri, lalu menyerbu ke muka menikam setiap musuh yang menuju ke arah
Nabi, sehingga perempuan itu pun tewas pula. Perempuan itu Ummu Umarah namanya.
Dalam pada itu, suara musuh yang mengatakan
Nabi SAW sudah terkorban itu, terus tersebar di medan pertempuran. Mendengar
itu, Ali, Umar dan Abu Bakar bukan main terperanjatnya, sehingga semangat
pertempurannya menjadi kendur seketika.
Melihat itu Anas bin Nadhir berkata kepada
mereka: "Kenapa kamu kecewa? Kalau betul Nabi sudah wafat, apa gunanya
hidup ini bagimu? Ayuh! Mari kita bunuh musuh seramai mungkin sampai kita
syahid pula sebagai Nabi sendiri!"
Sebagai teladan, dia segera melompat
menerkam musuh. Dia rebah penuh dengan luka-luka sehingga tidak dapat dikenal
lagi rupanya. Badan, muka dan jari jarinya putus kena pedang musuh. Hanya
saudara perempuannya saja yang dapat mengenal dia dalam keadaan yang demikian
itu. Ali, Umar dan Abu Bakar menyusul berjuang mati matian menetak musuh dengan
pedangnya. Semangat tentera Islam hidup kembali.
Selepas pertempuran hebat, kebanyakan
tentera Muslim berjaya berundur ke Uhud di mana mereka berkumpul semula.
Menaiki kuda, pasukan Quraisy gagal mendaki lereng bukit dan kehilangan
kelebihan serangan mengejut mereka. Perang ini berakhir apabila Abu Sufyan
membuat keputusan tidak mengejar lanjut tentera Muslim, mengisytiharkan
kemenangan.
Bilangan tentera Islam yang terbunuh dalam peperangan ini kira-kira 70 orang manakala jumlah tentera Quraisy seramai 23 orang.
Sehabis perang Uhud itu kekejaman musuh
semakin bertambah juga. Jenazah-jenazah tentera Islam yang bergelimpangan di
medan perang, mereka koyak koyak dan hinakan. Hindun telah membelah dada Hamzah
dan rentap hatinya lalu mengunyahnya kemudian diludahnya.
Nabi Muhammad berasa amat sedih dan
memerintahkan agar semua yang mati syahid dikebumikan dengan pakaian yang
mereka pakai ketika berperang.
Dengan kekalahan di pihak Islam, orang
Yahudi mula berkira-kira ingin berkerjasama dengan Quraiys untuk menghancurkan
umat Islam. Mereka melanggar janji yang telah dibuat sebelum ini dengan
Rasulullah SAW untuk saling membantu.
Bilangan tentera Islam yang terbunuh dalam peperangan ini kira-kira 70 orang manakala jumlah tentera Quraisy seramai 23 orang.
No comments:
Post a Comment