Friday, 21 July 2023

HUKUM-HAKAM POLITIK

 
Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam pemerintahan atau hukum-hakam politik Islam.
 
Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syarak tidak memutuskan secara terperinci. Sebaliknya hukum-hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam.
 
Jika tiada pemerintah yang berkemampuan dan berwibawa untuk menduduki jawatan ini, sudah tentu segala hukum-hakam ini akan terus tergantung tanpa dapat dilaksanakan.
 
Umat Islam sentiasa terdedah kepada kemunculan kumpulan pelampau di kalangan mereka yang menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat Islam. Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman-fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan masyarakat.
 
Melantik pemimpin adalah perkara penting dalam urusan kehidupan muslim. Ini bertepatan dengan hadis yang bermaksud: “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.” (Hadis riwayat Ahmad)
 
Ibn Taimiyah berkata: “Kalaulah diwajibkan memilih salah seorang sebagai pemimpin dalam jemaah yang paling sedikit (tiga orang) dan dalam kumpulan yang paling kecil, maka ini adalah peringatan tentang kewajipan tersebut bagi kumpulan yang lebih ramai.” 
 
Telah ijmak para ulama tentang kewajipan melantik imam (pemimpin) sepertimana kata Imam al-Nawawi: “Telah ijmak para ulama bahawa wajib atas orang Islam melantik khalifah.” 
 
Ibn Khaldun berkata: “Melantik pemimpin adalah wajib dan kewajipan tersebut dapat diketahui dalam syarak dengan ijmak para sahabat dan tabiin kerana para sahabat
 
Rasulullah SAW ketika wafatnya Baginda, mereka bersegera memberi taat setia kepada Abu Bakar dan menyerahkan kepadanya urusan mereka. Demikianlah pada setiap zaman dan perkara ini telah tetap sebagai ijmak yang menunjukkan kewajipan melantik pemimpin.” 
 

No comments:

Post a Comment