Friday, 27 July 2018

REMAJA PERLU MEMAHAMI KONSEP PERJUANGAN

Golongan remaja sentiasa mendapat perhatian. Kelebihan yang dimiliki remaja adalah aset yang penting untuk diri remaja sendiri, keluarga, organisasi, dan negara. Antara sifat remaja ialah paling istimewa ialah sefat berani dan bersemangat. 

Sifat remaja biasanya mudah menerima arahan dan sanggup melakukan apa saja tindakan tanpa memikirkan kesannya. Darah muda mudah membuak-buak dan semangat juang yang tinggi sehingga sanggup melakukan apa saja yang diingini atau diarahkan. 

Oleh itu, sikap remaja yang sedemikian keadaannya sering mendapat perhatian pihak yang ingin menggunakan kelebihan sikap remaja itu. Pihak yang mengambil kesempatan atas situasi itu mengeksplotasi sepenuhnya kelebihan-kelebihan yang dimiliki remaja. 

Keadaan inilah kadang kala membawa remaja kepada amalan tidak sihat. Pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan semangat remaja untuk menjayakan misi mereka. Remaja dijadikan kuda hitam untuk melaksanakan ‘tugas’ yang sukar dilakukan oleh orang dewasa.

Mana-mana kumpulan yang ingin mendapat suntikan tenaga muda akan mendekati golongan remaja dan menjadikan sebagai golongan ‘elit’ untuk melaksanakan misi kumpulan. 
 
Pihak yang berjaya mendapat sokongan remaja mempunyai kekuatan tenaga untuk melakukan tindakan berani yang tidak dibayangkan mampu dilakukan peringkat usia lain.

Hal ini mudah difahami berdasarkan kepada sikap remaja yang agresif dan sanggup berdepan dengan sebarang kemungkinan. Golongan remaja masih tidak mempunyai isteri atau suami dan jauh sama sekali mempunyai anak. Remaja tidak perlu memikirkan soal tanggungjawab dalam rumahtangga. 

Perhatikan senarai perampas kapal terbang yang mencipta Sejarah 11 September melakukan serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia New York dan Pentagon dilakukan majoriti golongan muda. Kumpulan perampas itu dilatih dan direkrut dalam pertubuhan itu sejak usia remaja untuk melakukan satu misi khas. 

Inilah kejayaan dicapai oleh kumpulan yang menjadikan remaja dan golongan muda sebagai alat mencapai cita-cita. Soal sama ada tindakan itu betul atau salah bukan persoalannya. Iktibar yang boleh dijadikan panduan iaitu golongan remaja mudah terpengaruh melakukan apa yang diarahkan atau ditetapkan untuk dilakukan. 

Peristiwa 11 September mengingatkan kita sejarah keberanian tentera Jepun yang melakukan aksi Kamekanzi pada Perang Dunia Kedua. Mereka terdiri juruterbang muda yang masih dalam usia belasan tahun sanggup mengorbankan diri demi melaksanakan arahan yang ditetapkan ke atas mereka. 

Kejayaan armada angkatan tentera Jepun memusnahkan Pearl Harbour dan menenggelamkan kapal-kapal perang British di Tanah Melayu adalah hasil keberanian juruterbang muda yang melakukan aksi Kamekansi.

Dalam sejarah hijrah Nabi Muhammad dari Makkah ke Madinah pula tercatat mengenai keberanian Syidina Ali. Pada malam Nabi Muhammad dan Abu Bakar ingin berhijrah, Syidina Ali melakukan tugas yang amat mencabar. 

Ali diarahkan tidur di tempat biasa Nabi Muhammad tidur untuk mengelirukan kaum Quraisy. Tugas bahaya itu diserahkan kepada Syidina Ali yang ketika itu masih usia remaja.  Syidina Ali mengetahui bahaya bakal menimpanya. Namun, perasaan berani dan sanggup berdepan dengan segala kemungkinan membuatkan Ali yakin dapat melaksanakan tugas itu. Hasilnya Nabi Muhammad dan Abu Bakar berjaya meloloskan diri daripada kepungan kaum Quraisy dengan selamat.

Kita juga disajikan dengan sejarah keberanian Hang Tuah lima bersaudara yang menjadi kebanggan sultan dan seluruh rakyat Melaka atas keupayaan melawan orang mengamuk. Hang Tuah menunjukkan bakat dan semangat sebagai pahlawan terbilang ketika usia masih remaja. Keupayaan itu digilap sehingga menjadi lagenda pahlawan Melayu.   

Sikap remaja yang sedemikian istimewa dan mampu dibina dengan pelbagai corak dan pendekatan sentiasa menjadikan remaja didampingi untuk dipengaruhi terlibat dalam satu matlamat yang dirancangkan. Kejayaan mempengaruhi remaja menyertai perjuangan yang dirancangkan menjadi satu aset untuk sesuatu kumpulan melakukan sesuatu tindakan yang berani dan jitu.

Usia remaja dikatakan tahap paling kritikal dalam pembinaan identiti diri. Pada peringkat usia remaja seseorang lebih mudah terpengaruh dengan perkara yang berbentuk agrasif. 

Ini bersesuaian dengan tahap usia remaja yang ingin pengiktirafan dan perhatian daripada orang ramai. Biasanya sesuatu yang agrasif lebih mendapat perhatian orang ramai, sama ada dilihat dari sudut positif maupun negatif. 

Bagi kebanyakan remaja, melakukan sesuatu yang dianggap bertentangan dengan kebiasaan apa dilakukan oleh rakan sebaya atau orang lain merupakan satu kemegahan. Sebab itu apabila ada pihak mengajak melakukan perbuatan melanggar peraturan, maka ramai remaja sanggup melakukannya atas dasar untuk mendapat kepuasan, cabaran dan kemegahan.

Salah satu strategi melemahkan negara dilakukan untuk tempoh masa yang panjang ialah mempergunakan remaja agar menyertai perjuangan tidak berfaedah. Minda remaja dipesongkan dengan lonjakan semangat membara untuk menjadi hero dalam kelompok mereka.

Usia remaja sepatutnya diisi dengan peluang mencari ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin untuk persiapan menempuh hidup alam dewasa. Hidup sebagai orang dewasa banyak tanggungjawab dan tugas yang perlu dilakukan memerlukan cabaran pengetahuan, kematangan fikiran dan sumber kewangan yang baik.

No comments:

Post a Comment