Didikan
awal paling penting diberikan kepada anak ialah ajaran tauhid. Allah menegaskan
agar ibu bapa sentiasa mengingatkan dan mengajarkan anak mereka tentang
pegangan tauhid, yakni mempercayai keesaan Allah.
Firman
Allah dalam surah Luqman ayat 13 bermaksud: “Dan ingatlah ketika Luqman berkata
kepada anaknya seraya menasihatinya: “Hai anakku! Janganlah engkau menyekutukan
Allah, sesungguhnya menyekutukan Allah itu merupakan kesalahan (dosa) yang
besar.”
Salahlaku
remaja banyak berpunca akibat kegagalan ibu bapa mendidik anak dengan
pengetahuan agama. Majoriti remaja terlibat salahlaku dan jenayah tergolong
anak yang tidak mendapat didikan agama dan perhatian yang sempurna daripada ibu
bapa.
Kegagalan
ibu bapa memberi didikan agama dan pekerti yang mulia disebabkan mereka sendiri
tidak sempurna amalan agama dan mengamalkan sikap bertentangan dengan ajaran
agama. Ada bapa dan anak berselisih bahu di pusat hiburan, berkongsi rokok,
bersama-sama menonton video lucah dan meninggalkan suruhan agama.
Allah
memberi tanggungjawab kepada bapa atau ketua keluarga agar mendidik anak dan ahli
keluarga agar sentiasa mematuhi perintah Allah. Firman Allah bermaksud: “Wahai
orang-orang yang beriman, jauhilah dirimu dan ahli-ahli (keluargamu) daripada
api neraka.” (Surah at-Tahrim, ayat 6).
Melakukan
kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah intipati pendidikan yang perlu
diterapkan ke dalam setiap diri anak.
Firman
Allah bermaksud: “Hai anakku! Dirikan
solat, suruhlah mereka mengerjakan kebaikan, cegahlah mereka daripada berbuat
kemungkaran dan bersabarlah terhadap sesuatu musibah yang menimpa engkau. Sesungguhnya yang demikian itu, termasuk
perintah yang bersungguh-sungguh.” (Surah Luqman, ayat 17).
Kegagalan
ibu bapa mendidik anak menjadi muslim sejati bakal mendatangkan kesusahan
kepada ibu bapa. Banyak keluarga menjadi porak peranda akibat perbuatan anak
yang tidak bertanggungjawab.
Begitu
juga berlaku maruah ibu bapa dan keluarga tercemar gara-gara perbuatan anak.
Tidak kurang juga anak menganggap ibu bapa sebagai musuh disebabkan tidak puas
hati tindakan dilakukan ibu bapa terhadapnya.
Hal
ini telah diingatkan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Wahai orang yang
beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak kamu yang
menjadi musuh kamu. Oleh itu awaslah serta berjaga-jaga kamu terhadap mereka.” (Surah
al-Taghabun, ayat 14).
Kegagalan
ibu bapa mendidik anak sehingga peringkat remaja masih belum terlewat untuk
diperbaiki. Bagaimanapun ia perlu penyertaan semua pihak termasuk guru, rakan
sebaya dan masyarakat, selain tugas hakiki mendidik yang masih terletak di bahu
ibu bapa.
Remaja
tidak lagi hidup dalam lingkungan keluarga semata-mata. Sebab itu semua pihak
perlu berperanan mendidik dan memperbaiki kesalahan yang dilakukan oleh remaja.
Proses mendidik remaja memerlukan kaedah mudah disesuaikan dengan suasana
semasa.
Kaedah
mendidik golongan yang sudah boleh dianggap berada di ambang usia dewasa tidak
lagi sesuai dilakukan secara keras. Pendekatan kauseling, mendampingi dan
memahami permasalah yang dilakukan oleh remaja terbabit amat penting bagi
memastikan usaha pemulihan berjaya.
Tindakan
menyalahkan remaja semata-mata tidak dapat menyelesaikan masalah. Remaja yang
dipersalahkan akan bertindak menjauhkan diri dan semakin melakukan perbuatan
salah itu.
Pelajar
yang terlibat dalam kes-kes salahlaku selain berpunca kurang didikan agama dan
kegagalan didikan ibu bapa, banyak disebabkan masalah percintaan, pengaruh
kawan dan tekanan pelajaran.
Masalah
tersebut menyebabkan tekanan emosi yang mendorong pelajar melakukan perkara
yang salah sebagai tanda protes atau mencari penyelesaian dengan cara yang
salah.
Kita
tidak boleh bersikap mengambil mudah dengan mengatakan apa dilakukan oleh
pelajar akan berubah apabila dewasa. Banyak orang dewasa berpendapat dirinya
dahulu ketika bersekolah juga nakal, tetapi kini menjadi orang berjaya dan
berjasa kepada negara.
Apa
yang berlaku dulu agak berbeza berbanding sekarang. Pelajar dulu layak
dipanggil ‘nakal’ apabila mencuri buah di kebun jiran, ponteng sekolah dan
menggangu anak gadis.
Sebaliknya
sekarang ini tahap kenakalan pelajar sudah melampau dan layaknya dipanggil
perbuatan jenayah. Tahap perbuatan menyamai apa yang dilakukan oleh orang
dewasa dan kesan buruknya juga sama.
Dalam
konteks pelajar, rujukan patut dilakukan kepada guru kaunseling atau
kaunselor. Kaunselor mempunyai
pengalaman dan pengajian yang khusus dalam soal itu.
Malangnya
bilangan pelajar yang menggunakan khidmat kaunselor amat berkurangan. Pelajar
bermasalah lebih suka mengambil sikap berdiam diri. Akibatnya masalah itu
semakin kusut dan akhirnya pelajar mengambil tindakan sendiri yang salah.
Kesedaran
tentang pentingnya khidmat kaunseling bagi pelajar bermasalah perlu
ditingkatkan. Guru kaunseling dan kelab kaunseling di sekolah perlu lebih aktif
menyedarkan pelajar tentang bantuan yang boleh diberikan untuk menyelesaikan
masalah yang dihadapi pelajar.
Pelajar
sepatutnya lebih positif dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Tidak
rugi berkongsi masalah dengan orang lain, terutamanya kaunselor.
Mengikut
kajian pakar psikologi, meluahkan perasaan dan bercerita masalah kepada pihak
lain sebenarnya sudah menjadi sebahagian menyelesaikan masalah, biarpun masalah
sebenar belum dapat diselesaikan. Apabila meluahkan perasaan seakan-akan
mengeluarkan masalah dari dalam diri. Fikiran menjadi lebih tenteram dan
lapang.
Sekiranya
pelajar tidak menemui kaunselor, masalah semakin kusut dan pelajar akan menjadi
semakin keliru. Lama-kelamaan ini akan mendorong pelajar melakukan perkara yang
dianggap dapat menyelesaikan masalah.
Tindakan
lari dari rumah biasanya dilakukan oleh pelajar yang menghadapi masalah dengan
keluarga, cinta terhalang, ingin berdikari, terlanjur melakukan kesalahan dan
sebagainya. Tindakan lari dari rumah difikirkan dapat menyelesaikan masalah
dengan keluarga.
Jenayah
bermula daripada masalah kecil yang dihadapi tetapi tidak diselesaikan dengan
baik. Sekiranya masalah itu dirujuk kepada kaunselor atau mendapat bantuan
pihak lain, perkara itu tidak akan merebak sehingga bertukar menjadi satu
‘malapetaka’ besar kepada pelajar.
Pelajar
bermasalah memerlukan sokongan, dorongan, bantuan dan perhatian daripada semua
pihak agar masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dan paling penting agar
masalah itu tidak menyebabkan mereka melakukan perbuatan yang lebih
mendatangkan masalah.
No comments:
Post a Comment