Tuesday, 29 November 2016

MENGAPA PUASA DIKIRA MENJADI ADAT

Jahil ilmu agama dan tidak cara bagaimana ibadat puasa perlu dilakukan menyebabkan ramai orang tidak melakukan sepenuh hati. Ramai beranggapan sudah memadai jika berpuasa sekadar menahan diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa. 

Orang jahil melakukan puasa sekadar mengikut apa yang orang kebanyakan lakukan. Orang lain berpuasa, dia juga berpuasa. Memang tidak sukar melakukan puasa sebab ia telah dilakukan sejak ketika sekolah rendah lagi. 

Biasanya ibu bapa turut menyuruh anak-anak berpuasa. Malah, kita ditakut-takutkan jika tidak berpuasa tidak akan mendapat baju baru dan tidak dibenarkan menyambut hari raya. 

Apabila telah dewasa, ibadat puasa sudah menjadi kebiasaan. Malangnya, sepanjang melakukan ibadat puasa tidak difahami apa yang dilakukan. Mereka tidak melakukan perbuatan membatalkan puasa, tetapi tidak menyelami tujuan puasa yang sebenarnya.

Penerapan kefahaman mengenai ibadat puasa perlu disemai di dalam setiap sanubari setiap Muslim. Pengetahuan agama yang mendalam mengenai sesuatu ibadat penting bagi memastikan keikhlasan dan kemanisan melakukan ibadat.

Kesempurnaan melakukan sesuatu ibadat tidak hanya apabila cukup syarat sah dan batal. Sebaliknya nilai ibadat bergantung kepada kefahaman, keimanan dan ketakwaan orang yang melakukannya.    

Orang yang berpuasa bukan diasaskan rasa keikhlasan dan ketakwaan tidak merasai nikmat sebenar puasa. Ketika orang beriman merasai kemanisan berpuasa, orang yang tidak ikhlas melakukannya dalam keadaan menderita menahan lapar dan dahaga.

Betapa ruginya berpuasa sedangkan tidak mendapat pahala berpuasa. Dia berjaya menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak berjaya meletakkan puasanya pada kedudukan yang baik disebabkan kejahilan diri dan hasutan syaitan.

Ramadan boleh diumpamakan seperti ‘kem’ latihan melahirkan Muslim lebih baik kualiti ibadah dan takwanya. Sepanjang melaksanakan ibadat puasa, banyak sekatan dan larangan yang perlu dipatuhi. 

Malah, dari segi kualiti ibadat pula lebih ditekankan, di mana segala perbuatan tidak baik ditinggalkan dan ibadat-ibadat wajib dan sunat ditingkatkan. 

Latihan sepanjang Ramadan yang dilakukan dengan ikhlas mudah sebati menjadi amalan dalam kehidupan seharian, termasuk ketika di luar bukan Ramadan. 

Kalaupun tidak diamalkan sepenuhnya apa diamalkan pada bulan Ramadan, sedikit sebanyak perubahan ke arah lebih positif dapat dilakukan. 

Jika berulang-ulang memasuki kem latihan Ramadan pada setiap tahun dan setiap kali keluar ada kesan positifnya, dalam tempoh yang panjang ia akan berupaya membentuk seorang Muslim sejati.

Sebab itu amat penting sekali setiap orang Islam melakukan ibadat puasa dengan keikhlasan dan bukannya sekadar satu ritual. Ibadat bersifat ritual tidak mendapat pengiktirafan pahala kerana ia dilakukan atas dasar melakukan apa yang orang lain lakukan dan bukannya kerana mentaati dan takwa kepada Allah SWT. 

Manakala bagi orang Islam kebanyakan, Ramadan disambut lebih bersifat kepada satu amalan yang bersifat ‘kebiasaan’ dalam agama atau dipanggil ritual. Mengikut Kamus Dewan, perkataan ritual bermaksud tatacara dalam upacara keagamaan, adat dan sebagainya.

Amalan ritual lahir dari satu kebiasaan yang dilakukan dalam masyarakat yang diamalkan dari satu generasi ke generasi. Seseorang terdorong melakukan amalan ritual disebabkan ia sudah diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Amalan yang dilakukan berdasarkan sebab orang lain dalam masyarakat melakukan. Jadi, tidak kena dan tidak molek jika tidak turut melakukannya. 

Masih belum terlewat untuk kita muhasabah diri dan memperbaiki diri. Marilah kita mempelajari, menghayati dan menghambakan diri melaksanakan ibadat puasa semoga puasa tahun ini mendapat nilai ibadat terbaik. 

Sesungguhnya tujuan Allah SWT mewajibkan berpuasa adalah sebagai satu latihan ketakwaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah 2: 183)

No comments:

Post a Comment