Tuesday, 29 November 2016

MENGAPA ZIARAH KUBUR PADA HARI RAYA

Satu kelaziman pada Hari Raya Aidilfitri, umat Islam di Malaysia akan berpusu-pusu memenuhi tanah-tanah perkuburan untuk menziarah kubur ahli keluarga mereka. 

Sesetengah tanah perkuburan berubah menjadi seperti kawasan perayaan yang dipenuhi sanak saudara sehingga ada ada pihak mengambil kesempatan menjual makanan dan minuman.

Tempat letak kenderaan tidak mencukupi dan terpaksa diletakkan jauh, namun tidak menghalang niat untuk menziarah kubur.

Ada keluarga yang menjadikan amalan ziarah tanah perkuburan pada hari Aidilfitri sebagai 'wajib' kepada setiap ahli keluarga. Selain membaca surah Yasin dan doa untuk disedekahkan pahalanya kepada arwah, kawasan tapak kubur turut dibersihkan. 

Ada yang pasang khemah kecil untuk berteduh. Mereka turut membawa air mawar atau wangian untuk disiram di atas kubur ahli keluarga masing-masing. 

Hakikatnya, amalan itu tidak diamalkan Rasulullah SAW. Tidak wujud satu hadis pun yang sabit mengenainya. Dengan kata lain, perbuatan mengkhususkan Aidilfitri sebagai hari ziarah kubur tidak bersumberkan dari ajaran Rasulullah SAW. 

Amalan itu juga tidak diamalkan oleh para sahabat, tabiin, tabit tabin mahupun golongan salaf. Ia juga tidak diamalkan di negara-negara Arab. 

Amalan ziarah kubur dikesan hanya dilakukan umat Islam di Nusantara. Di setiap tempat mempunyai 'acara' di kubur yang berbeza. Malah ada yang membuat jamuan di kawasan kubur. Secara tuntasnya, apa yang dilakukan lebih bersifat ritual iaitu amalan turun temurun yang dikaitkan dengan agama. 

Sikap yang terlalu menekankan ziarah kubur ditakuti terpengaruh dengan amalan penganut agama lain yang mengaitkan 'wajib' melakukan sembah roh ibu bapa dan nenek moyang untuk memohon restu dan mendapat kehidupan yang baik.

Ada hari atau acara khusus untuk ziarah kubur ahli keluarga serta amalan tertentu dilakukan oleh penganut agama atau kepercayaan bukan Islam.

Contohnya, orang Cina biasanya melawat ke kubur nenek moyang pada hari qingming untuk memperingatkan jasa dan memberi hormat kepada mereka yang sudah meninggal dunia. Hari melawat ke kubur boleh dijalankan dalam tempoh 2 minggu sebelum dan selepas hari qingming.

Pada hari melawat ke kubur yang telah ditetapkan, seisi keluarga akan pergi bersama-sama dengan membawa cangkul, penyapu lidi, cat merah dan berus kecil, mercun, nenas, telur itik rebus dan makanan serta minuman yang disukai oleh si mati.

Sebaik sahaja sampai ke kubur nenek moyang, lalang yang tumbuh pada kubur mesti dicangkul dan dibersihkan. Selepas itu, perkataan yang terukir pada batu nisan dicat semula jika sudah luntur warnanya.

Mengapakah di kalangan penceramah dan guru agama menggalakkan agar dilakukan amalan tersebut jika ia bukan dari sunah Rasulullah SAW? Banyak lagi amalan yang sepatutnya diutamakan pada hari Aidilfitri. Amalan ziarah mereka yang masih hidup perlu lebih diutamakn.      

Memang terdapat suruhan Rasulullah SAW agar orang Islam melawat kawasan perkuburan untuk melahirkan rasa keinsafan dan mengingati kematian yang pasti dialami oleh setiap individu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kita kepada kematian." (Hadis riwayat Muslim)

Namun, tidak pula dijelaskan amalan ziarah kubur itu perlu dilakukan pada hari sambutan Aidilfitri. 

Jika ingin menziarahi kubur untuk tujuan seperti dinyatakan dalam hadis itu, maka lakukan pada waktu lain. Boleh dilakukan berulang-ulang kali dan tidak hanya melawat kubur arwah sanak saudara. Mana-mana kubur pun boleh dilakukan untuk tujuan itu.

Begitu juga tidak ada perintah agar membaca Yasin atau mana-mana surah di kubur. Satu lagi persoalan, mengapa hanya pada Aidilfitri dan tidak pada Aidiladha, sedangkan kedua-duanya hari perayaan dalam Islam? 

Hanya pada hari Aidilfitrikah kita mengingati dan mendoakan kebaikan kepada ibu bapa dan kaum keluarga yang telah meninggalkan kita?

Menziarahi kubur pada Aidilfitri akan melahirkan perasaan sedih dan hiba mengenangkan orang tersayang yang telah meninggalkan kita. Mengapakah pilih untuk bersedih pada Aidilfitri?

Sepatutnya Aidilfitri adalah untuk bergembira dan membina semangat untuk terus menjadi muslim sejati setelah berjaya melaksanakan ibadat puasa. Aidilfitri adalah hari kejayaan membentuk dan memperkasakan takwa.

Selain itu, pada hari raya juga sepatutnya diutamakan mengunjungi mereka yang masih hidup. Amalan itu amat dituntut dalam agama di mana Rasulullah SAW ketika pergi dan balik menunaikan solat sunat Aidilfitri akan menggunakan laluan berbeza bagi memberi peluang bertemu dengan seramai mungkin umat Islam.

Dalam hadis Jabir berkata: “Rasulullah pada hari raya mengambil jalan yang berbeza” (Hadis riwayat al-Bukhari).

No comments:

Post a Comment