Tuesday 9 November 2021

CARA KAWAL SERANGAN SIPUT GONDANG EMAS

 
Siput gondang emas merupakan perosak tanaman padi utama di Malaysia. Siput gondang emas berasal dari kawasan paya dan sungai di Argentina dan Brazil di Amerika Selatan. 
 
Serangan siput gondang emas menyebabkan kerosakan apabila siput memakan anak padi yang baru tumbuh (2-4 minggu selepas tabur) sampai ke pangkal pokok mengakibatkan pokok padi tidak dapat pulih. 
 
Serangan siput gondang emas juga membentuk tompok-tompok dalam sawah seperti anak benih tidak tumbuh. 
 
Seekor siput gondang emas dapat memusnahkan 1 meter persegi anak padi. Tempoh kritikal serangan siput gondang emas hanya terhad kepada 4 minggu pertama selepas tabur. Serangan teruk menyebabkan kehilangan hasil sehingga 93%. 
 
Terdapat beberapa kaedah untuk mengawal populasi siput gondang emas. Antaranya: 
 
Kawalan secara fizikal. Caranya dengan mengumpul kelompok telur dan siput bagi semua peringkat umur. Menggunakan perangkap atau jaring pada saluran air masuk dan keluar. Menggunakan pancang kayu untuk siput bertelur bagi memudahkan kutipan telur. 
 
Kawalan melalui amalan pertanian. Memastikan tanah dalam keadaan rata dan tidak berlopak sewaktu menabur benih kerana siput menyerang di kawasan berlopak. 
 
Kawalan secara penggunaan racun biologi. Menggunakan tembakau (daun, batang dan akar kering) dan tuba (akar). 
 
Kawalan pengubahsuai habitat. Membina parit kecil di sekeliling petak dan di tengah sawah bagi menggalakkan siput gondang emas berkumpul dan kemudiannya siput yang berkumpul di dalam parit tadi diracun atau dikutip untuk dimusnahkan. 
 
Kawalan secara biologi. Melepaskan itik ke sawah sebelum menabur dan 35 hari lepas tabur. Itik kemudiannya dikeluarkan sebelum tangkai padi keluar iaitu 75-80 hari lepas tabur. 
 
Kawalan secara racun kimia. Menggunakan racun kimia yang mempunyai bahan aktif Metaldehyde atau Niclosamide. Bagi kawalan yang lebih berkesan, air mesti ditakungkan sekurang-kurangnya dua hari sebelum meracun bagi mengeluarkan siput gondang emas yang ber ada di dalam tanah. Pastikan kedalaman air 2 hingga 3 centimeter sahaja. Air mesti ditakungkan sekurang-kurangnya tiga hari selepas meracun. 

 


1 comment: