Friday 27 July 2018

MENDIDIK REMAJA MELALUI TARBIAH DAN KAUNSELING

Ibu bapa bertanggungjawab mendidik, mencorak dan membentuk peribadi anak-anak mengikut apa yang diingini. Setiap anak dilahirkan bersih dan ibu bapalah menentukan arah tuju kehidupan anak melalui didikan yang diberikan.

Didikan awal paling penting diberikan kepada anak ialah ajaran tauhid. Allah menegaskan agar ibu bapa sentiasa mengingatkan dan mengajarkan anak mereka tentang pegangan tauhid, yakni mempercayai keesaan Allah.

Firman Allah dalam surah Luqman ayat 13 bermaksud: “Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya seraya menasihatinya: “Hai anakku! Janganlah engkau menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan Allah itu merupakan kesalahan (dosa) yang besar.”
 
Salahlaku remaja banyak berpunca akibat kegagalan ibu bapa mendidik anak dengan pengetahuan agama. Majoriti remaja terlibat salahlaku dan jenayah tergolong anak yang tidak mendapat didikan agama dan perhatian yang sempurna daripada ibu bapa.

Kegagalan ibu bapa memberi didikan agama dan pekerti yang mulia disebabkan mereka sendiri tidak sempurna amalan agama dan mengamalkan sikap bertentangan dengan ajaran agama. Ada bapa dan anak berselisih bahu di pusat hiburan, berkongsi rokok, bersama-sama menonton video lucah dan meninggalkan suruhan agama. 

Allah memberi tanggungjawab kepada bapa atau ketua keluarga agar mendidik anak dan ahli keluarga agar sentiasa mematuhi perintah Allah. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dirimu dan ahli-ahli (keluargamu) daripada api neraka.” (Surah at-Tahrim, ayat 6).

Melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah intipati pendidikan yang perlu diterapkan ke dalam setiap diri anak. 

Firman Allah bermaksud: “Hai anakku!  Dirikan solat, suruhlah mereka mengerjakan kebaikan, cegahlah mereka daripada berbuat kemungkaran dan bersabarlah terhadap sesuatu musibah yang menimpa engkau. Sesungguhnya yang demikian itu, termasuk perintah yang bersungguh-sungguh.” (Surah Luqman, ayat 17).

Kegagalan ibu bapa mendidik anak menjadi muslim sejati bakal mendatangkan kesusahan kepada ibu bapa. Banyak keluarga menjadi porak peranda akibat perbuatan anak yang tidak bertanggungjawab. 

Begitu juga berlaku maruah ibu bapa dan keluarga tercemar gara-gara perbuatan anak. Tidak kurang juga anak menganggap ibu bapa sebagai musuh disebabkan tidak puas hati tindakan dilakukan ibu bapa terhadapnya.

Hal ini telah diingatkan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak kamu yang menjadi musuh kamu. Oleh itu awaslah serta berjaga-jaga kamu terhadap mereka.” (Surah al-Taghabun, ayat 14).

Kegagalan ibu bapa mendidik anak sehingga peringkat remaja masih belum terlewat untuk diperbaiki. Bagaimanapun ia perlu penyertaan semua pihak termasuk guru, rakan sebaya dan masyarakat, selain tugas hakiki mendidik yang masih terletak di bahu ibu bapa.

Remaja tidak lagi hidup dalam lingkungan keluarga semata-mata. Sebab itu semua pihak perlu berperanan mendidik dan memperbaiki kesalahan yang dilakukan oleh remaja. Proses mendidik remaja memerlukan kaedah mudah disesuaikan dengan suasana semasa.

Kaedah mendidik golongan yang sudah boleh dianggap berada di ambang usia dewasa tidak lagi sesuai dilakukan secara keras. Pendekatan kauseling, mendampingi dan memahami permasalah yang dilakukan oleh remaja terbabit amat penting bagi memastikan usaha pemulihan berjaya.

Tindakan menyalahkan remaja semata-mata tidak dapat menyelesaikan masalah. Remaja yang dipersalahkan akan bertindak menjauhkan diri dan semakin melakukan perbuatan salah itu. 

Pelajar yang terlibat dalam kes-kes salahlaku selain berpunca kurang didikan agama dan kegagalan didikan ibu bapa, banyak disebabkan masalah percintaan, pengaruh kawan dan tekanan pelajaran.

Masalah tersebut menyebabkan tekanan emosi yang mendorong pelajar melakukan perkara yang salah sebagai tanda protes atau mencari penyelesaian dengan cara yang salah. 

Kita tidak boleh bersikap mengambil mudah dengan mengatakan apa dilakukan oleh pelajar akan berubah apabila dewasa. Banyak orang dewasa berpendapat dirinya dahulu ketika bersekolah juga nakal, tetapi kini menjadi orang berjaya dan berjasa kepada negara.

Apa yang berlaku dulu agak berbeza berbanding sekarang. Pelajar dulu layak dipanggil ‘nakal’ apabila mencuri buah di kebun jiran, ponteng sekolah dan menggangu anak gadis. 

Sebaliknya sekarang ini tahap kenakalan pelajar sudah melampau dan layaknya dipanggil perbuatan jenayah. Tahap perbuatan menyamai apa yang dilakukan oleh orang dewasa dan kesan buruknya juga sama.

Dalam konteks pelajar, rujukan patut dilakukan kepada guru kaunseling atau kaunselor.  Kaunselor mempunyai pengalaman dan pengajian yang khusus dalam soal itu. 

Malangnya bilangan pelajar yang menggunakan khidmat kaunselor amat berkurangan. Pelajar bermasalah lebih suka mengambil sikap berdiam diri. Akibatnya masalah itu semakin kusut dan akhirnya pelajar mengambil tindakan sendiri yang salah.

Kesedaran tentang pentingnya khidmat kaunseling bagi pelajar bermasalah perlu ditingkatkan. Guru kaunseling dan kelab kaunseling di sekolah perlu lebih aktif menyedarkan pelajar tentang bantuan yang boleh diberikan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pelajar.

Pelajar sepatutnya lebih positif dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Tidak rugi berkongsi masalah dengan orang lain, terutamanya kaunselor. 

Mengikut kajian pakar psikologi, meluahkan perasaan dan bercerita masalah kepada pihak lain sebenarnya sudah menjadi sebahagian menyelesaikan masalah, biarpun masalah sebenar belum dapat diselesaikan. Apabila meluahkan perasaan seakan-akan mengeluarkan masalah dari dalam diri. Fikiran menjadi lebih tenteram dan lapang.

Sekiranya pelajar tidak menemui kaunselor, masalah semakin kusut dan pelajar akan menjadi semakin keliru. Lama-kelamaan ini akan mendorong pelajar melakukan perkara yang dianggap dapat menyelesaikan masalah.

Tindakan lari dari rumah biasanya dilakukan oleh pelajar yang menghadapi masalah dengan keluarga, cinta terhalang, ingin berdikari, terlanjur melakukan kesalahan dan sebagainya. Tindakan lari dari rumah difikirkan dapat menyelesaikan masalah dengan keluarga.

Jenayah bermula daripada masalah kecil yang dihadapi tetapi tidak diselesaikan dengan baik. Sekiranya masalah itu dirujuk kepada kaunselor atau mendapat bantuan pihak lain, perkara itu tidak akan merebak sehingga bertukar menjadi satu ‘malapetaka’ besar kepada pelajar.

Pelajar bermasalah memerlukan sokongan, dorongan, bantuan dan perhatian daripada semua pihak agar masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dan paling penting agar masalah itu tidak menyebabkan mereka melakukan perbuatan yang lebih mendatangkan masalah.

No comments:

Post a Comment