Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina
untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang
berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Surah Ali Imran, ayat 96)
Imam
Badr al-Din al-‘Aini dalam kitabnya Umdah al-Qari berkata: Para ulama telah
khilaf siapa yang pertama membina Kaabah.
Ada
pendapat menyebut, malaikatlah yang pertama membinanya untuk mereka tawaf
kerana takut kepada Allah ketika mana mereka berkata, mafhumnya: “Adakah Kamu
mahu menciptakan Adam sebagai khalifah yang merosakkan di muka bumi dan
menumpahkan darah?”
Ada
pendapat mengatakan Nabi Adam AS. Inilah yang disebut oleh Ibn Ishaq.
Ada
juga pendapat yang menyatakan Nabi Shi’th AS yang mula membinanya. (Lihat Umdah
al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 16/288)
Menurut
riwayat Abu al-Walid al-Azraqi dalam kitabnya Akhbar Makkah, Ka’ab al-Ahbar
telah berkata bahawa Kaabah ialah buih yang terapung di atas air selama empat puluh
tahun sebelum Allah SWT menjadikan langit dan bumi dan daripadanya dihamparkan
kejadian bumi.
Mujahid
berkata: “Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan tapak rumah ini (Kaabah) 2000
tahun sebelum dijadikan bumi dan asas (tapak) binaannya berada di lapisan bumi
yang ketujuh.
Pembinaan
Kaabah telah melalui beberapa peringkat. Riwayat berkenaan pembinaan ini
sebahagiannya telah sabit dengan dalil yang terang dan jelas dan sebahagiannya
pula hanya berdasarkan catatan ahli sejarah.
Berikut
ialah sejarah pembinaan Kaabah secara ringkas:
Pertama:
Binaan Malaikat
Al-Azraqi
meriwayatkan kepada Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-Husain,
beliau berkata bahawa Allah SWT berfirman kepada malaikat: “Aku akan menjadikan
khalifah di muka bumi.” Kemudian para malaikat bertanya: “Adakah Tuhan kami
hendak menjadikan di bumi orang yang akan melakukan kerosakan?”
Setelah
itu mereka berasa bersalah dan takut dimurkai oleh Allah SWT, lalu mereka
bertawaf di sekililing Arasy untuk memohon ampun kepada-Nya. Kemudian Allah
menjadikan di bawah Arasy sebuah rumah iaitu Bait al-Ma’mur lalu berfirman
kepada malaikat agar bertawaf di rumah itu dan bukan lagi di Arasy. Kemudian
Dia mengutuskan para malaikat supaya membina baitullah di bumi supaya makhluk
di bumi dapat melakukan tawaf sebagaimana makhluk di langit bertawaf di Bait
al-Ma’mur.
Kedua:
Binaan Nabi Adam AS
Al-Azraqi
meriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata: “Semasa Adam AS
diturunkan dari syurga dan sampai ke bumi, baginda telah berkata: “Wahai Tuhan,
mengapa aku tidak mendengar lagi suara malaikat?”
Allah
SWT berfirman: “Semuanya kerana kesalahan engkau wahai Adam.” Kemudian Allah
SWT memerintahkan supaya baginda membina Kaabah dan bertawaf mengelilinginya
sebagaimana malaikat mengelilingi Arasy. Adam berjalan menuju ke tapak
pembinaan Kaabah.
Bumi
telah dikecilkan oleh Allah dan tempoh perjalanannya menjadi pendek. Setiap
tempat dipijak oleh Adam akan dijadikan oleh Allah SWT sebagai kawasan yang
subur dan berpenghuni. Apabila sampai di Makkah, malaikat Jibril AS memukul
dengan sayapnya di tapak pembinaan Kaabah dan malaikat membawa batu kepadanya
untuk dibina Kaabah. Bahan binaannya terdiri daripada batu yang diambil
daripada lima gunung iaitu gunung Lubnan, Tur Zaita, Tur Sina, Juudi dan Hira’.
Sementara konkritnya pula dibuat daripada batu pejal hitam.
Kata
Ibn Abbas: “Adam ialah manusia pertama yang mengasaskan al-Bait (Kaabah).
Baginda menunaikan solat serta bertawaf di situ.”
Imam
al-Syafi’i meriwayatkan daripada Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi katanya: “Sewaktu
Adam AS menunaikan fardu haji, baginda telah berjumpa dengan malaikat. Mereka
berkata kepadanya “Sempurnakan haji engkau wahai Adam. Kami telah melakukan
haji sebelum daripada engkau semenjak 2000 tahun yang lalu.”
Ketiga:
Binaan Shith bin Adam
Binaan
ketiga oleh Shith ialah selepas hilangnya kesan binaan Adam AS. Al-Azraqi telah
meriwayatkan daripada Wahab bin Munabbih bahawa beliau berkata, apabila
diangkatkan khemah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Adam AS daripada
perhiasan syurga untuk diletakkan di tapak Baitullah di Makkah selepas wafatnya
Adam AS, anak-anaknya pun membina di tempat itu sebuah rumah daripada tanah dan
batu.
Mereka
dan generasi-generasi seterusnya sentiasa memakmurkan rumah itu sehinggalah ia
musnah dalam banjir yang berlaku pada zaman Nabi Nuh AS. Apabila tiba zaman
Nabi Ibrahim AS, Allah SWT telah memerintahkan baginda supaya membina semula
rumah itu.
Walaubagaimanapun,
tidak terdapat sebarang dalil yang sahih tentang tiga peringkat binaan ini.
Kata Syeikh Husain Ba Salamah , telah datang beberapa riwayat daripada sahabat
dan tabiin tentang binaan Kaabah oleh malaikat, Adam dan Shith. Semuanya
menyebut tentang peristiwa yang berlaku tanpa menyatakan sumber riwayat
tersebut sama ada ia daripada Nabi SAW atau Bani Israil (ahli kitab).
Oleh
itu, ramai ulama tafsir berpegang dengannya serta mencatatkan dalam kitab
tafsir mereka kecuali al-Hafiz Ibn Kathir. Beliau telah mengkritiknya dan
menyatakan bahawa riwayat tersebut sumbernya daripada Bani Israil
(al-Israiliyyat).
Keempat:
Binaan Nabi Ibrahim AS dan Ismail AS
Binaan
Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Ismail AS telah diceritakan oleh Allah SWT
dalam al-Quran dan terdapat banyak riwayat yang sahih dalam kitab-kitab hadis
mengenainya.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi
Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil
keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami
(amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui,”
(Surah al-Baqarah, ayat 127)
Firman
Allah SWT lagi yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami
tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman
kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan
bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang
yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).” (Surah
al-Haj, ayat 26)
Pembinaan
Kaabah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan Ismail AS adalah berdasarkan
perintah daripada Allah SWT, iaitu selepas beberapa kali Nabi Ibrahim AS datang
menziarahi isteri dan anaknya Ismail AS di Makkah.
Pada
kedatangan kali yang ketiga, baginda telah diperintahkan agar membina Kaabah.
Ketika itu Ismail AS telah berumur dua puluh tahun dan ibunya telah meninggal
dunia.
Sewaktu
Nabi Ibrahim AS tiba, anaknya Ismail AS sedang duduk di bawah pokok berdekatan
dengan telaga zamzam sambil mengasah anak panah. Nabi Ibrahim AS memberi salam
dan duduk bersamanya.
Baginda
berkata kepada Ismail: “Wahai Ismail! Sesungguhnya Allah SWT telah
memerintahkanku supaya membina Kaabah.” Ismail menjawab: “Taatlah perintah
Allah itu.” Lalu bapanya berkata lagi: “Allah juga memerintahkan agar engkau
membantuku dalam pembinaan ini.” Ismail berkata: “Di manakah tempatnya?” Nabi
Ibrahim AS menunjukkan tempat yang telah ditunjukkan kepadanya oleh malaikat
yang mengiringinya.
Selepas
itu, mereka mula menggali tapak asas binaan serta berdoa seperti mana
dicatatkan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami! Terimalah
daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi
Maha mengetahui,” (Surah al-Baqarah, ayat 127)
Justeru,
dalam bahasa yang mudah, Nabi Ibrahim AS hanya mengulangi pembinaan pada tapak
yang sudah sedia ada. Itulah yang disepakati oleh para ulama tanpa menafikan
telah berlaku binaan Kabah sebelum daripada itu.
No comments:
Post a Comment