Friday 27 July 2018

MEMBENDUNG KRISIS MORAL REMAJA

Masalah sosial golongan remaja di negara kita semakin kritikal. Semakin banyak remaja yang mengalami sindrom kurang daya tahan akhlak terjebak dengan kancah pelacuran, penagihan dadah, kegilaan hiburan melampau, kongsi gelap dan fahaman menyesatkan. 

Fenomena ini perlu dipandang serius. Jika tidak diatasi segera ia akan merosakkan seluruh komiti masyarakat. Keruntuhan akhlak remaja adalah malapetaka besar kepada sesuatu bangsa dan negara. 

Hancur sebuah negara disebabkan mempunyai rakyat yang runtuh akhlaknya. Memperkuatkan akhlak remaja amat penting memandangkan golongan itu bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. 

Banyak pihak memperkatakan tentang permasalah ini sekadar dilakukan di forum, seminar dan kajian akademik. Apakah yang dilakukan sekadar retorik dan bincang-bincang akademik sedangkan jalan penyelesaian tidak pernah sampai ke peringkat membanggakan. 

Beberapa langkah perlu diambil untuk membendung krisis masalah sosial remaja yang  perlu dilakukan secara berterusan dan bukannya ketika sesuatu isu hangat diperkatakan saja.

Golongan remaja perlu didampingi sebagai sebahagian langkah mendidik. Cara ini memberi keyakinan kepada remaja untuk menempuh cabaran hidup kerana merasakan ada orang sentiasa bersedia untuk membantu atau mendapatkan nasihat. 

Ibu bapa dan orang dewasa perlu menjadi arkitek kepada remaja ketika proses mendidik. Usia remaja adalah waktu di mana seseorang itu paling produktif dalam mencari identiti diri dan cuba melakukan sesuatu yang baru. 

Bimbingan yang konsistant dapat mengelak ada unsur lain yang mengambil kesempatan merosakkan remaja. Bimbingan yang berterusan dapat melengkapkan proses pembinaan jati diri sehingga benar-benar tahan menghadapi cabaran semasa. 

Umumnya remaja masih mentah dalam menghadapi rencah kehidupan yang rencam dan mencabar. Mereka perlu dibimbing agar tidak melakukan perkara bertentangan ajaran agama dan moral. 

Aktiviti berfaedah perlu disediakan kepada remaja supaya mereka tidak mencari-cari sendiri. Kurang aktiviti disediakan untuk golongan remaja menyebabkan mereka memilih sendiri aktiviti yang tanpa mereka sedari adalah salah di sisi agama dan moral sebagai rakyat.

Golongan remaja mudah hanyut dalam dunia melekakan, kebebasan, hiburan dan maksiat disebabkan jiwa mereka kosong. Jangan mudah menyalahkan remaja dalam perkara itu kerana ia berpunca golongan dewasa yang tidak membantu golongan remaja memilik aktiviti yang sesuai.

Mereka tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan ruang masa yang ada. Remaja yang masih belum bekerja mempunyai banyak masa terluang cuba mencari aktiviti yang dapat mengisi waktu luang. 

Dengan kata lain, jika ingin melahirkan remaja yang baik, selain didikan moral dan akhlak, perkara yang perlu dilakukan ialah jauhkan mereka daripada punca keruntuhan moral. 

Banyak pihak yang cuba merosakkan moral remaja dangan cara dijadikan sebagai agen mencapai cita-cita buruk mereka seperti penagih dadah, pelacuran, hiburan melampau dan kongsi gelap.   

Tengoklah bagaimana remaja sekarang berpakaian yang lebih berkonsepkan mendedahkan aurat. Pakaian bawah semakin naik, dan yang di atas pula semakin turun. Kalaupun tertutup, pakaian yang dipakai jenis ketat, nipis dan jarang.

Orang dewasa perlu memahami kehidupan remaja kini. Cabaran dan suasana kehidupan masyarakat sekarang jauh berbeza dengan dahulu. Dulu tidak ada ancaman dadah, vcd lucah, pusat hiburan, pengaruh internet dan segala bentuk yang baru. Dulu lain, kini lain.

Jadi, ibu bapa jangan menyamakan apa yang mereka lalui dulu dengan apa yang sedang dihadapi anak mereka sekarang. Cubalah memahami kehidupan remaja kini sebagai panduan penting untuk membimbing remaja.   

Setiap remaja melalui cara hidup berbeza antara satu sama lain. Perkara ini bergantung kepada didikan ibu bapa, pengaruh persekitaran, pergaulan rakan sebaya dan tahap pendidikan. Ini perlu diberi perhatian agar pendekatan untuk mendidik mereka lebih berkesan mencapai matlamat.

Sebahagian remaja melalui cabaran hidup alam remaja dengan kematangan fikiran, kekuatan ilmu dan keteguhan iman. Golongan ini mudah menyesuaikan diri dan mencapai erti kedewasaan lebih awal berbanding rakan sebaya.

Manakala itu didapati banyak remaja menempuh alam remaja dengan penuh ranjau. Mereka berdepan dengan didikan tidak sempurna daripada ibu bapa dan pengaruh persekitaran yang mendedahkan kepada kehidupan tidak sihat.

Sebab itu, ketika membimbing dan menasihat remaja, jangan terlalu membanding dengan remaja lain. Memang kita boleh merujuk kepada remaja lain untuk dijadikan contoh, tetapi bukan dengan cara menekan atau keterlaluan.

Ibu bapa sebagai tauladan adalah individu paling hampir dengan anak. Jadi, amat penting ibu bapa menunjukkan contoh yang baik. Jangan cuba menyuruh anak melakukan itu dan ini, sedangkan bapa atau ibu sendiri tidak melakuknnya.

Contohnya, bapa marahkan anak merokok, sedangkan bapa sendiri merokok. Bapa menyuruh anak remaja yang sudah tamat bersekolah supaya bekerja, tetapi bapa sendiri lebih kerap bersembang di kedai kopi dan melakukan kerja-kerja kurang berfaedah.

Asas paling penting dalam usaha mendidik dan berdakwah kepada remaja ialah melalui contoh dan tauldan. Ibu bapa, keluarga dan seluruh ahli masyarakat menjadi contoh kepada remaja. Jika baik dilakukan ibu bapa, maka baiklah kehidupan remaja dan begitulah sebaliknya.

Ibu bapa perlu mewujudkan suasana Rumahku Syurgaku. Keluarga berkumpul di rumah dan melakukan aktiviti bersama. Perasaan disayangi dan saling memerlukan mudah disemai jika sering berada bersama. Seluruh ahli keluarga seperti sayang untuk keluar daripada rumah melainkan ada keperluan yang penting. 

Majoriti remaja yang menghadapi krisis moral berpunca daripada keluarga. Suasana hidup keluarga yang kurang kemesraan disebabkan masing-masing sibuk dengan urusan, krisis rumahtangga dan runtuhnya budi pekerti mudah mendorong remaja mencari jalan hidup sendiri.   

Kadangkala, mereka sengaja melakukan perbuatan yang dilarang semata-mata untuk mendapat perhatian ibu bapa. Malangnya, lama kelamaan perbuatan itu sebati dalam diri dan sukar untuk ditinggalkan. 

Satu lagi kaedah mendidik remaja ialah melibatkan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan. Ini bertepatan bahawa remaja itu sendiri adalah sebahagian daripada masyarakat setempat. Jadi, mereka perlu dilibatkan bersama-sama dalam pelbagai aktiviti seperti kerja gotong royong, bersukan, riadah, keagamaan dan sebagainya. 

Remaja yang sentiasa didampingi akan merasakan dirinya dihargai dan diperlukan. Kehidupan seharian mereka terisi dengan pelbagai aktiviti berfaedah dan secara langsung dapat menghalang mereka terlibat aktiviti tidak baik. 

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Begitulah besarnya harapan yang disandarkan kepada golongan remaja dan belia kerana pada golongan inilah menentukan nasib bangsa pada masa hadapan. 

No comments:

Post a Comment