Friday 27 July 2018

MENITI CABARAN HIDUP REMAJA

Usia remaja dianggap sebagai tempoh terbaik untuk mencari sesuatu yang berharga untuk persiapan menghadapi alam dewasa. Antara perkara penting yang perlu diperoleh semasa usia remaja ialah mencari ilmu dan pengalaman. Kedua-dua perkara itu adalah harta yang memberi kebaikan dan keuntungan sepanjang masa.

Biarpun ilmu dan pengalaman boleh dicari bila-bila masa, sesuai dengan keperluan semasa, hakikatnya apa yang berlaku pada masa hadapan mempunyai banyak kaitan dengan apa yang diperoleh sejak usia remaja.

Dengan erti kata lain, apa yang dilakukan pada masa remaja akan menentukan arah perjalanan hidup pada masa hadapan. Jadi setiap remaja tidak boleh mempersia-siakan masa remaja dengan melakukan perbuatan yang sia-sia dan seterusnya memberi kesan buruk kepada kehidupan alam dewasa.   

Individu yang berjaya dalam hidup mempunyai sejarah hidup remaja yang membanggakan dengan pengisian jatidiri, semangat juang yang tinggi dan menjadi pelajar yang ccemerlang. Mereka juga telah menunjukkan ciri yang baik dari segi kepimpinan, kesungguhan, cita-cita dan pengorbanan untuk membina hidup masa depan yang cemerlang. 

Alam hidup remaja pernuh dengan semangat yang aktif dan sentiasa meningkat setiap masa. Ia berkaitan dengan penemuan pengalaman baru dan suntikan harapan untuk mendapat pengiktirafan yang lebih daripada orang lain. 

Sebab itu, peluang nilai-nilai positif ketika usia remaja mesti digunakan sepenuhnya untuk kebaikan. Sudah menjadi kebiasaan, remaja sanggup mencuba dan berdepan dengan cabaran untuk melaksanakan sesuatu hasrat yang ingin dicapai. 

Menyedari potensi dan semangat remaja untuk mencipta kejayaan melalui program khusus, kerajaan melalui Kelab Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan, memperkenalkan Program Anugerah Remaja Perdana (PARP). 
 
Program yang mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 2001 itu bertujuan memberi pengiktirafan terhadap golongan remaja yang mempunyai keperibadian unggul berdasarkan penilaian terhadap aktiviti yang disertai dalam tempoh masa yang ditetapkan.  

PARP mengambil sempena Program Duke of Edinburgh’s Award yang telah mula diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 1956 melibatkan penilaian 4 komponen wajib iaitu khidmat masyarakat, rekreasi fizikal, kemahiran dan pengembaraan. Program ini adalah satu-satunya program yang mengiktiraf penglibatan golongan muda berusia 14-25 tahun.

Remaja memerlukan bimbingan dan perancangan terarah untuk mereka melaksanakan sesuatu aktiviti berfaedah. Tanpanya remaja terdedah kepada pelbagai ancaman yang menyebabkan remaja kepada kehidupan yang bersifat berhibur, berpeleseran, bercinta, lepak, lumba haram, dan gejala sosial yang meruntuhkan maruah bangsa. Keadaan itu menyebabkan remaja terus hanyut dalam gaya hidup yang membinasakan.   

Sebahagian remaja bersedia berdepan dengan tindakan undang-undang dan cemuhan masyarakat demi merealisasikan jiwa remaja. Perbuatan itu sama ada secara langsung atau tidak sebenarnya telah mencalar identiti seluruh remaja. 
 
Dunia hidup remaja dipandang sinis disebabkan sikap sesetengah remaja yang terlibat aktiviti tidak baik.

Sebagai kesan langsung daripada gejala yang melanggar prinsip etika dan moral serta akhlak Islamiah, maka keyakinan masyarakat untuk menggantungkan harapan yang tinggi terhadap remaja dan belia menjadi terhakis. 
 
Krisis ini jika dibiarkan berleluasa akan menggugat serta meruntun keamanan, ketenteraman, keharmonian, ekonomi dan pertahanan negara secara keseluruhannya. 

Timbul persoalan adakah gejala ini akan terus menular tanpa dapat dipertemukan penyelesaian atau hanya dianggap kes terpencil yang menjadi sebahgian rencah kehidupan masyarakat? 
 
Sebenarnya, perkara ini tidak harus dipandang mudah. Masyarakat perlu melihat bagaimana barah sosial ini sudah berakar umbi di kalangan warga remaja. 

Gejala yang merosakkan ini hanya dapat dibendung dan dibanteras sekiranya jati diri remaja dapat disemai sejak awal lagi. Remaja yang memiliki jati diri tidak akan terdorong untuk melakukan tindakan yang merugikan. Mereka akan lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat.    

Remaja perlu memilih idola yang sesuai untuk dicontohi. Ketokohan pemimpin negara, ilmuan, ahli perniagaan, penulis berkarisma, pelakon atau penghibur berketerampilan, ahli sukan ternama, dan sesiapa yang telah mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing patut dijadikan idola kepada remaja. Mereka boleh memilih seorang atau beberapa tokoh yang sesuai dengan diri mereka. 
        
Untuk berjaya, remaja perlu meletakkan impian yang tinggi. Jangan tangguh masa permulaan dengan alasan usia masih remaja. 
 
Mulakan hari ini; tetapkan matlamat, tingkatkan keyakinan diri, sentiasa bermotivasi dan berinspirasi, bijak mengurus masa, terokai kejayaan orang lain sebagai contoh dan bermohonlah kepada Allah agar ditunjukkan jalan kejayaan.

No comments:

Post a Comment