Friday 27 July 2018

MINAT REMAJA BERKAITAN SEKSUAL

Satu perkara yang sering dikaitkan dengan usia remaja ialah perubahan dari segi seksual yang mana mereka mula menyimpan minat mengenai hal-hal jantina. Hubungan antara remaja lelaki dan perempuan tidak lagi macam main pondok-pondok yang sekadar melakonkan watak-watak tertentu. Sebaliknya, remaja sudah mempunyai identiti sendiri sebagai lelaki dan perempuan seadanya. 

Perasaan cinta dan mengasihi pasangan berlainan jantina lahir secara spontan dalam diri remaja. Perubahan ini bukan bersifat negatif, sebaliknya satu lumrah insani. Perkara yang perlu ditumpukan dalam pendidikan berkaitan seks menjelaskan batasan-batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan. 

Remaja yang mempunyai minat terhadap pasangan berlainan jantina membuktikan dirinya normal. Dia ingin menjadi sepertimana sifat sepatutnya sebagai lelaki atau perempuan. Amat penting remaja mengenali identiti jantina mereka dan membentuk watak dan sikap yang bersesuaian dengan jantina masing-masing.

Pakar motivasi, Dr Robiah K Hamzah, berkata hanya melalui pendidikan seks formal di sekolah dapat membantu pelajar memahami isu berkaitan seks dan identiti diri berasaskan jantina memandangkan ada di kalangan ibu bapa segan untuk membincangkan isu berkenaan secara terbuka dengan anak masing-masing.

Sekarang didapati terdapat ramai remaja yang keliru tentang jantina mereka.  Akibat itu, remaja lelaki cuba berlagak sebagai perempuan, dan perempuan pula sukakan watak lelaki. Sebab itu lahirnya golongan pondan dan tomboy. Perkara ini tidak berlaku jika setiap remaja memahami dan jelas dengan identiti mereka yang sebenarnya.    

Kegagalan memahami peranan jantina mendorong remaja terjermus ke dalam kancah perlakuan seks sumbang seperti lesbian, homoseks, biseksual, dan berbagai seks luar tabie.

Keadaan-keadaan ini dipergunakan golongan yang tidak bertanggungjawab mempengaruhi remaja melakukan perbuatan tidak bermoral. Remaja yang dipengaruhi unsur negatif sanggup berdepan resiko asalkan kehendak naluri muda dipenuhi. Paling ketara jika mereka telah ketagih melakukan amalan tidak bermoral itu.   

Akibat cara hidup yang tidak bermoral dan bebas, golongan remaja dan belia terpalit dengan masalah penyakit HIV. Dalam satu dapatan kajian, mengesahkan kumpulan remaja dan belia adalah golongan peringkat umur kes terkumpul jangkitan HIV tertinggi dilaporkan. Lebih 76 peratus atau 69,747 daripada jumlah keseluruhan kes HIV sehingga akhir 2010 adalah di kalangan belia berusia antara 20 dan 39 tahun. Manakala, pada 2011, bagi setiap empat kes baru jangkitan HIV, satu dilaporkan di kalangan orang muda dan belia dalam lingkungan 13 hingga 29 tahun.

Sebenarnya, usia remaja bukan semestinya memberontak. Apa yang jelas, usia remaja perlu diisi dengan aktiviti yang dapat membentuk identiti diri. Remaja tidak betah duduk diam. Masyarakat tidak harus menunding jari menyalahkan remaja jika mengisi masa dengan perbuatan tidak bermoral. 

Golongan dewasa perlu muhasabah diri tentang peranan yang telah dimainkan selama ini untuk tujuan itu. Apakah tindakan yang telah diadakan selama ini untuk membawa remaja agar berada di atas landasan perdana negara.        

Satu langkah untuk membimbing remaja ialah memperbanyakkan program khas untuk remaja yang secara langsung mengelak remaja terasa tersisih. Remaja merasakan diri lebih dihargai jika perhatian diberikan kepada mereka. 

Justeru, badan bukan kerajaan, persatuan dan agensi kerajaan perlu dipertanggungjawabkan menyediakan medan yang sesuai untuk remaja beraktiviti dan bersosial. 

Kehidupa remaja memerlukan dengan pengisian sifat mahmudah seperti bersemangat melakukan kebaikan, benar, jujur, amanah, ikhlas, bijaksana, cekap, ihsan, sukarela dan menyeru kebaikan. Remaja yang diperkayakan dengan nilai-nilai baik itu dapat mematahkan sebarang nilai buruk yang cuba mempengaruhi diri mereka. 

Satu perkara perlu difahami dalam mengukur kejayaan hidup remaja, yakini antara setiap remaja mempunyai kemampuan yang berbeza. Justeru, jangan melihat remaja yang terlalu cemerlang untuk dijadikan pengukur bahawa apa yang dilakukan remaja lain sebagai gagal.  

Sekiranya semua pihak tidak kira sama ada di kalangan pemimpin atau yang dipimpin, pemerintah atau yang diperintah, institusi atau individu mengambil langkah yang pragmatik dan bersepadu dalam membentuk nilai murni dalam diri remaja, kejayaan akan dapat dicapai dengan mudah.

Remaja memerlukan sokongan emosi, mental, dan moral untuk menghadapi cabaran sepanjang perjalanan menuju kedewasaan hakiki. Remaja mudah matang sekiranya mendapat bimbingan, dan bergaul golongan dewasa. Selain itu, remaja yang menjalankan tugas-tugas yang bersangkutan dengan dunia orang dewasa akan cepat memenuhi ciri-ciri melambangkan kedewasaan.  

Remaja perlu memilih idola yang sesuai untuk dicontohi. Ketokohan pemimpin negara, ilmuan, ahli perniagaan, penulis berkarisma, pelakon atau penghibur berketerampilan, ahli sukan ternama, dan sesiapa yang telah mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing patut dijadikan idola kepada remaja. Mereka boleh memilih seorang atau beberapa tokoh yang sesuai dengan diri mereka. 
        
Untuk berjaya, remaja perlu meletakkan impian yang tinggi. Jangan tangguh masa permulaan dengan alasan usia masih remaja. Mulakan hari ini; tetapkan matlamat, tingkatkan keyakinan diri, sentiasa bermotivasi dan berinspirasi, bijak mengurus masa, terokai kejayaan orang lain sebagai contoh dan bermohonlah kepada Allah agar ditunjukkan jalan kejayaan.

No comments:

Post a Comment