Friday 27 July 2018

MEMBENTUK REMAJA BERKARISMA

Nabi Muhammad menekankan kepada usaha memberi tarbiah kepada golongan remaja agar tetap dalam melaksanakan amanah agama, berakhlak baik dan menghindari sebarang bentuk penyelewengan. 

Nabi Muhammad tidak pernah mengetepikan sumbangan remaja dalam memperkasakan ummah. Potensi diri golongan remaja dipergunakan sebaik mungkin tanpa ada prejudis tentang kemampuannya. 

Ketika misi hijrah, Rasulullah menggunakan khidmat Saidina Ali yang ketika itu masih kanak-kanan untuk menggantikan tempat tidur baginda bagi mengelirukan kaum kafir Quarisy. Hasil tarbiah pembinaan peribadi unggul yang berterusan daripada Rasulullah, maka Saidina Ali lahir sebagai tokoh Islam terbilang. 

Seorang lagi sahabat yang berjuang bersama Nabi Muhammad sejak usia kanak-kanak ialah Zaid bin Tsabit. Beliau menghambakan diri demi agama dan ketika usia kanak-kanak telah memohon menyertai angkatan perang Muslim dalam Perang Badar dan Perang Uhud. 

Disebabkan usia terlalu muda dan melihat potensi diri untuk menjadi ilmuan terbilang, Rasulullah menolak permohonan itu. Zaid hanya menyertai tentera Islam dalam Perang Khandak setelah usia meningkat remaja. 

Akhlak Zaid amat terbilang mendapat kepercayaan Rasulullah menjadi jurutulis dan penterjemah kepada baginda. Zaid dipertanggungjawab oleh Khalifah Abu Bakar untuk mengumpul semua ayat al-Quran untuk dibukukan seperti yang dapat kita baca pada hari ini.    

Dalam sebuah sabda, Rasulullah menjelaskan penghormatan Allah kepada golongan remaja yang baik akhlaknya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah sangat kagum terhadap pemuda yang tidak didapati pada dirinya keruntuhan moral dan akhlak.” (Hadis riwayat Ahmad).

Malah Allah merakamkan sikap pemuda yang lari daripada tindakan raja yang zalim semata-mata untuk menyelamat akidah. 

Firman Allah bermaksud: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka yang benar, sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (Surah al-Kahfi, ayat 13).

Tanpa mendapat bimbingan akhlak yang sempurna menyebabkan remaja terlibat dengan amalan yang jauh menyimpang dari norma kehidupan. 

Fenomena ini jika tidak diatasi segera akan merosakkan seluruh komiti masyarakat dan mencemarkan nama baik Islam sebagai agama yang mementingkan pembinaan akhlak dan kehidupan sejahtera.

Usaha mendekatkan golongan remaja ke arah amalan beragama memerlukan penyertaan semua pihak. Lebih banyak individu yang bersedia memainkan peranan sebagai pendakwah diperlukan. 

Pendakwah tidak semestinya terdiri golongan agama sahaja. Guru, polis, sasterawan, pemimpin, hakim, peguam, ushawan dan semua individu yang berusaha menyeru kepada kebaikan adalah pendakwah. 

Gerakan dakwah yang lebih menyeluruh kepada golongan remaja secara konsisten dapat membantu menangani masalah yang ditimbulkan golongan remaja sekarang.

Program dakwah mendekati remaja memerlukan pendekatan khusus. Berdakwah tidak hanya dilakukan di masjid dan surau semata-mata. Sekiranya ingin berdakwah kepada golongan remaja, maka perlulah mendekati di mana mereka berada. 

Menyalahkan remaja sebenarnya membuka pekung di dada yang mana tanda kegagalan semua pihak mendidik dan mengawal golongan itu. Sikap remaja adalah hasil dicontohi dalam masyarakat. Cacat cela pekerti remaja hasil acuan didikan ibu bapa dan masyarakat.  

Untuk mendidik mereka yang terlibat gejala negatif tidak memadai cara mengajak datang ke masjid. Nasihat khatib ketika membaca khutbah dan guru agama di masjid sebenarnya tidak sampai kepada sasaran, kerana golongan rosak akhlak tidak hadir ke masjid. 

Pendakwah perlu keluar dari kepompong yang hanya berdakwah di masjid atau bergerak dari satu rumah ke satu rumah dengan berjubah dan berserban mengajak orang mengikut program yang dianjurkan.    

Pendakwah perlu mengubah penampilan diri, berpakaian seperti kebanyakan golongan remaja. Pendakwah perlu berani masuk ke disko, melalui lorong belakang dan bergaul bersama-sama mat lepak. Pendakwah perlu mengetahui cara hidup golongan remaja yang terpengaruh gejala negatif. 

Pendakwah perlu mencari punca remaja terjebak masalah itu dan mulakan usaha dakwah secara berperingkat-peringkat. Dari situlah pendakwah dapat menyesuaikan cara terbaik yang hendaklah dilakukan dengan teliti mengambil masa yang lama. 

Usaha dakwah kepada golongan remaja perlu dipertingkatkan membimbing mereka menjadi rakyat bertanggungjawab. Jika tidak, golongan ini akan dieksplotasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

Golongan remaja mudah dibentuk mengikut acuan yang disediakan untuk mereka. Kelebihan ini perlu diambil kesempatan untuk melahirkan generasi beriman dan rakyat yang sentiasa menjunjung Rukun Negara. 

Gerakan dakwah kepada golongan remaja memberi makna yang besar dalam proses pembinaan sebuah negara yang berjaya, aman, harmoni dan kuat. Membiarkan remaja terus runtuh akhlak remaja bermakna semua impian akan musnah.

Golongan remaja tanpa bimbingan dorongan positif mudah hilang matlamat hidup, hilang nilai diri dan mengabaikan tugas dalam beragama.  

Untuk mengelak bencana dicetuskan golongan remaja, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak melakukan tugas dakwah dan membimbing belia agar tidak terjebak dalam kancah kehidupan membinasakan diri sendiri, keluarga dan negara.

Sayyid Qutb dalam bukunya al-Mustaqbil Lihadzad Din mengatakan apabila manusia tidak mengerti akan hakikatnya, kedudukannya dalam alam semesta dan tujuan adanya di bumi ini, pastilah kehidupannya akan berakhir pada hujung yang menyedihkan, sehingga manusia berada dalam lingkungan menanggung azab derita.

No comments:

Post a Comment