Monday, 29 May 2023

SAAT AKHIR CABARAN DAKWAH NABI LUTH

 
Dalam kalangan ahli tafsir menyebut: Setelah para malaikat iaitu Jibril, Mikail, dan Israfil meninggalkan Nabi Ibrahim, maka mereka mendatangi negeri Sadum dalam rupa pemuda yang sangat tampan, sebagai bentuk ujian dari Allah SWT atas kaum Luth dan untuk menegakkan hujjah atas diri mereka.
 
Mereka pun bertamu kepada Luth ketika matahari tenggelam. Luth merasa khuatir sekiranya tidak menyambut mereka, maka akan didahului oleh orang lain kerana menyangka bahawa mereka adalah manusia biasa.
 
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan (dia) merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan." (Surah Hud, ayat 77)
 
Apabila Nabi Luth cuba menghalang kaumnya dari menerjah ke dalam rumahnya, Maka tetamu Nabi Luth pun berbicara sebagaimana dijelaskan oleh al Quran.
 
Firman Allah SWT bermaksud: (Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata: "Wahai Luth! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh bukankah waktu subuh itu sudah dekat?" (Surah , ayat 81)
 
Kerisauan Nabi Luth ditenangkan oleh tetamunya dengan mengatakan mereka adalah malaikat. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh kaumnya kepada Nabi Luth. Malaikat menyuruh Nabi Luth meninggalkan rumahnya dan jangan sesekali berpaling kebelakang walau apa jua yang berlaku.
 
Namun isteri Nabi Luth tidak termasuk golongan yang mendapat perlindungan Allah apabila azab menimpa kerana isterinya termasuk bersama golongan yang terkutuk.
 
Apabila kaum Nabi Luth mula menerjah masuk maka Allah butakan penglihatan mereka sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Mereka telah memujuk Nabi Luth mengenai tetamunya, lalu Kami hapuskan biji mata mereka serta (dikatakan kepada mereka), rasalah azab-Ku dan kesan amaran-amaran-Ku! (Surah Al Qamar, ayat 37)
 
Kaumnya meraba-raba kerana telah dihilangkan penglihatan mereka. Kemudian Luth diperintahkan untuk pergi bersama keluarganya pada malam itu juga. Azab Allah mula ditimpakan ke atas kaumnya.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. (Surah Hud, ayat 82)
 
Pada waktu fajar menyingsing datanglah perintah Allah. Jibril menghancurkan kota Sodom. Rumah-rumah mereka diangkat ke udara dan di hempas ke bumi diiringi dengan hujanan batu-batu sijjin.
 
Isteri Nabi Luth yang ikut keluar rumah bersama suami dan kedua anak perempuannya. Namun, beliau ketika mendengar jeritan dan gemuruh kehancuran kaumnya, menoleh ke belakang. Maka ketika itu juga sebutir batu jatuh menimpa atas kepalanya dan beliau mati di situ juga. Setiap batu yang jatuh telah tertulis nama golongan yang diazab Allah.
 
Kehancuran kaum Luth adalah kerana mempertuhankan nafsu. Ingkar kepada ajakan Rasul. Mencabar Allah agar diturunkan bala. Begitulah pula isteri Nabi Luth yang bersama para kuffar yang tidak mampu diselamatkan walaupun suaminya seorang Rasul. Iman tidak mungkin diwarisi.

No comments:

Post a Comment