Saturday, 3 September 2022

DALIL WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT

  
Kewajiban zakat tidak dapat disangkal kerana terdapat dalil al-Quran dan al-Sunah. Dalil itu meletakkan ibadat zakat sebagai Rukun Islam. 
 
Dalil al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkan zakat." - (Surah al-Baqarah, ayat 43). 
 
Maksud ayat itu adalah jelas dan tidak terselindung yang dapat difahami bahawa umat Islam diperintah untuk mengeluarkan zakat. Dapat difahami bahawa perintah wajib zakat dirangkaikan dalam ayat perintah wajib sembahyang. Jika sembahyang adalah wajib, maka zakat juga wajib berdasarkan kepada perintah perlaksanaannya terdapat dalam ayat yang sama. 
 
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kamu kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat." - (Surah an-Nur, ayat 56). 
 
Sekali lagi Allah meletakkan suruhan berzakat bersama dengan perintah sembahyang. Jadi tidak syak lagi bahawa pensyariatan zakat adalah jelas. Sesiapa yang melaksanakan sembahayang, maka tidak ada alasan untuknya mengelak dari mengeluarkan zakat. 
 
Satu lagi firman Allah yang menjelaskan pensyariatan zakat ialah dalam surah at-Taubat ayat 103 yang bermaksud: "Ambillah zakat dari harta mereka yang berada bagi membersihkan diri dan harta mereka dan doakan mereka setelah menerimanya." 
 
Perkataan 'ambillah' adalah satu perintah yang perlu dilaksanakan. Zakat itu adalah cara untu membersihkan diri dan harta pemiliknya. Ia menepati definisi zakat seperti dijelaskan sebelum ini. 
 
Dalil berdasarkan hadis pula sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Islam diasaskan atas lima perkara, kesaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad pesuruh-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan fardu haji dan berpuasa pada Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 
 
Hadis itu dengan jelas merangkumkan kesemua Rukun Islam. Jelas sekali, mengucap dua kalimah syahadat, solat, zakat, puasa dan haji adalah Rukun Islam yang wajib dilaksanakan. Sesiapa menolak mana-mana satu maka tidak sempurna Islamnya, tidak terkecuali zakat. 
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Kekayaan, sama ada di darat maupun di laut, tidak akan binasa, kecuali apabila zakatnya tidak dikeluarkan.” – (Hadis riwayat Tabrani).

No comments:

Post a Comment