Wednesday, 13 April 2022

KEBAIKAN BERLAPAR

  
Tidak ramai orang menyebut berlapar untuk kesihatan. Bahkan, apa yang biasa diperkatakan ialah puasa menyebabkan rasa letih, kurang keaktifan dan masalah kesihatan seperti penyakit gestrik. 
 
Semakin seseorang memanjakan perutnya dengan melahap apa saja yang dia sukai, semakin giat dia mengejar dunia. Semakin sering seseorang melaparkan perutnya, semakin jarang ia mencari dunia. 
 
Menahan lapar adalah salah satu perbuatan yang paling mulia. Jika diiringi dengan niat yang benar-benar kerana Allah SWT, seorang hamba akan mencapai darjat yang sangat tinggi. 
 
Abu Thalib Al-Makki (386 H/988 M) dalam bahagian kedua kitabnya yang berjudul Ilmu al-Qulub (Ilmu Psikologi) menjelaskan terdapat banyak kebaikan berlapar.  
 
Antara yang dinyatakan ialah memudahkan usaha untuk mengendalikan hawa nafsu. Hawa nafsu perlu dikendalikan agar dapat melaksanakan berbagai ketaatan dan memenuhi perintah Tuhan, demi memperoleh reda Allah SWT.  
 
Allah SWT berfirman: “Adapun orang-orang yang takut pada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” (Surah Al-Naziat, ayat 40-41). 
 
Al-Makki mengutip perkataan beberapa sufi terkenal, di antaranya Yahya ibn Muadz, yang mengungkapkan, “seandainya kamu meminta syafaat (pertolongan) melalui para malaikat yang tinggal di tujuh lapis langit, 124 ribu nabi, semua kitab suci, hikmah dan para wali, supaya kamu dapat meninggalkan dunia dan menjalankan ketaatan, mereka tidak akan memenuhi permintaanmu. Tetapi, jika kamu memintanya melalui rasa lapar, ia akan memenuhi permintaanmu dan mendorongmu kepada ketaatan.” 
 
Ibrahim Adham menyatakan: "Aku telah menerima suatu riwayat bahawa Iblis melihat Nabi Isa berlapar-lapar di malam dan siang hari. Iblis bertanya, “Mengapa kau berlapar-lapar seperti itu? Maukah kamu aku bawakan makanan?’ 
 
Nabi Isa menjawab, “Kamu tahu bahawa sesungguhnya jika aku berkata kepada gunung-gunung dan lembah-lembah ‘Jadilah kalian makanan atas izin Allah’, mereka pasti menjelma menjadi makanan. Kamu adalah musuhku dan hawa nafsu adalah mata-matamu yang ada padaku.” 
 
Dengan kata lain Nabi Isa menahan lapar bukan disebarkan tiada makanan, tetapi untuk mengawal hawa nafsu.

No comments:

Post a Comment