Menahan
marah dan memaafkan bukan perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah bermaksud:
“Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya yang demikian itu
termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura, ayat 43).
Perasaan
marah sifat semula jadi manusia. Marah ada tempatnya, iaitu mengikut kadar
paling minimun. Perasaan marah memang tidak boleh dibuang terus dari dalam
diri. Apa yang mampu dilakukan ialah menahan ia daripada merebak hingga
membinasakan diri. Jika dizahirkan kena pada tempatnya, marah mendatangkan
kebaikan.
Perasaan
marah timbul apabila ada perkara tidak diingini berlaku pada diri. Kena tipu,
dihina, dikhianati, dikecewakan dan sebagainya boleh menimbulkan perasaan
marah. Kemarahan dizahirkan melalui perkataan, mimik muka, perbuatan atau
perlakuan.
Justeru,
perasaan marah mainan hati yang sifatnya selalu berbolak-bolak mudah mendorong
perbuatan negatif. Tindakan balas dilakukan mendatangkan mudarat kepada diri
sendiri dan orang lain. Kemarahan yang kecil merebak bertambah besar. Keadaan
tidak ubah minyak tanah disimbah kepada api.
Api
kemarahan yang tidak dikawal mudah menguasai seluruh badan. Mata menjadi merah,
perasaan tidak menentu, urat leher timbul, gigi dikacip, bahagian badan
mengelentar dan segala sifat ‘luar biasa’ akan lahir.
Kemarahan
yang tidak terkawal boleh merosakkan perhubungan, menjejaskan keterampilan
diri, malah bagi seorang guru atau pensyarah marah bukan tanda ketegasan,
tetapi mungkin kegagalan pengurusan emosi.
Sebagai
manusia, marah antara emosi yang sukar dikawal apabila ia meletus, namun cara
kita mengurus dan mengendalikannya amatlah signifikan bagi mengelakkan diri
daripada terbabit dalam kancah sensasi.
Tentu
saja kemarahan tidak disenangi kebanyakan orang walaupun pada masa sama kita
turut mengakui ada kalanya hanya dengan kemarahan mampu memberi pengajaran. Kemarahan
boleh menyedarkan seseorang untuk kembali ke dalam realiti masalah diharungi.
Realiti
kehidupan dari perspektif psikologi menjelaskan, faktor umur seseorang
menjadikan individu itu lebih mudah untuk terasa hati, berasa kurang disayangi
dan mudah melenting dengan hal yang sebelum ini dianggap biasa atau normal dan
boleh diterima.
Dalam
masyarakat Melayu, soal berbudi bahasa sangat dititikberatkan. Namun dalam
zaman serba moden ini, hal ini semakin berkurang. Misalnya, golongan netizen
dilihat begitu arif dan pantas memberi respon di media sosial apabila timbulnya
satu-satu isu. Mereka begitu mudah untuk membuat kesimpulan cerita. Tindakan
ini boleh memberi kesan psikologi terhadap individu yang diperkatakan.
Justeru,
dalam hal apapun, kita perlu menyedari tanggungjawab dan amanah masing-masing.
Tidak akan timbul kemarahan jika kita tahu di mana sempadan keberadaan. Jika
rasa marah, kawal emosi sebaiknya jangan hingga kita dikuasai perasaan itu.
Sesungguhnya tutur kata adalah sebahagian budi bahasa.
No comments:
Post a Comment