Friday, 27 July 2018

USIA REMAJA BERDEPAN CABARAN TAHAP KRITIKAL

Usia remaja dikatakan berada pada tahap kritikal yang mana ketika itu mereka mengalami fasa perubahan dari alam kanak-kanak kepada dewasa. Bagi sesetengah remaja, perubahan ini berlaku dengan tenang dan mereka boleh menerima segala perubahan yang berlaku pada diri dari segi fizikal, mental, tanggungjawab dan perkara yang sebelum itu asing bagi mereka.

Mereka menjadi matang dan bersedia memikul tanggungjawab yang baru dalam hidup. Malah ada yang lebih matang berbanding usia disebabkan terpaksa berdepan dengan tanggungjawab lebih awal seperti menjadi ketua keluarga apabila bapa atau ibu meninggal dunia.

Namun, terdapat remaja yang melalui proses perubahan ini dengan berliku dan konflik untuk mencari identiti yang mana mereka memerlukan kepada bimbingan dan berkongsi pengalaman dengan pihak lain. Dalam hal ini, ibu bapa adalah individu yang paling sesuai untuk mereka mendapat bimbingan dan berkongsi pengalaman. Hal ini mudah dilakukan jika berada dalam keluarga yang bahagia dan melaksanakan tanggungjawab yang baik terhadap anak-anak.

Persoalan yang timbul ialah bagi remaja yang hidup dalam keluarga yang bermasalah. Maka, saluran untuk mereka mengadu masalah dan mendapat pertolongan dengan rakan sebaya dan individu lain yang dipercayai dapat membantu. Mereka mungkin bernasib baik jika pihak yang diharapkan dapat membantu itu sememangnya dapat memberi bantuan yang membawa kepada kebaikan.

Timbul masalah ialah yang diharapkan memberi kebaikan itu menjadi punca kepada berlaku keadaan lebih buruk. Inilah yang banyak berlaku kepada remaja yang bermasalah. Keperluan mereka untuk memperkasakan diri menuju alam dewasa tidak tertunai, sebaliknya membawa mereka ke alam lebih berpancaroba sehingga hanyut dalam kemaksiatan dan jenayah.

Remaja yang bermasalah juga seringkali berada di bawah pengaruh rakan yang memberi contoh tidak baik. Ketiadaan sokongan, nasihat dan pemantauan yang berterusan menyebabkan kecenderungan remaja melakukan perkara-perkara yang tidak baik lebih kuat.

Mereka puas melakukan perkara yang disukai bersama-sama rakan tanpa memikirkan kesan buruk akibatnya. Malah, ada yang berasa puas apabila mengetahui perbuatannya itu menyebabkan ibu bapa menanggung malu atau rungsing kerana dirasakan itu cara membalas dendam terhadap ibu bapa yang tidak memberi perhatian terhadap mereka.

Fahaman bahawa rakan-rakan lebih memahami perasaan mereka menyebabkan remaja lebih mempercayai rakan-rakan dalam membuat suatu keputusan. Budaya berseronok dan suka mencuba sesuatu yang baru juga antara lain menjadi faktor penggalak kepada permasalahan ini. Keupayaan melakukan perkara baru dan jarang-jarang dilakukan remaja lain menjadikan mereka lebih seronak apabila mendapat pujian atau pengiktirafan rakan sebaya.

Justeru itu mencari rakan sebaya yang betul amat penting. Pemilihan rakan sebaya yang betul dapat mengelakkan daripada terpengaruh dengan unsur-unsur yang salah. Ibu bapa perlu mengambil tahu dengan siapa anak-anak mereka bergaul dan menghabiskan masa. Lebih elok jika rakan kepada anak itu diketahui nama, asal keluarga dan tempat tinggalnya. Ini bagi memudahkan untuk memantau atau dikesan jika berlaku sebarang masalah.

Budaya atau kemahiran mendengar apa yang diperkatakan oleh remaja mesti diterapkan dalam diri ibu bapa. Cara itu memudahkan remaja meluahkan sesuatu masalah terus kepada ibu bapa tanpa perlu mencari pihak lain.

Dalam hal yang sama, rakan sebaya juga mempunyai peranan yang besar menjadi tempat untuk remaja mendapatkan bantuan jika ada masalah. Sikap mendiamkan diri dan cuba menyelesaikan sendiri masalah banyak mendatangkan keburukan.

Inilah punca yang membawa kepada ada remaja sanggup melakukan tindakan merugikan diri sendiri semata-mata tidak yakin ada cara lain dapat menyelesaikan masalah itu. Masalah itu menjadi lebih kritikal dan memberi kesan jangka panjang kepada remaja.

Dalam mendidik anak, khususnya yang berada pada usia remaja, ibu bapa perlu memainkan peranan penting sebagai 'cermin' kepada anak. Ibu bapa adalah contoh terdekat kepada anak-anak. Remaja sudah tahu untuk menilai apa yang dilakukan oleh ibu bapa.

Remaja berasa bangga jika dapat mencontohi yang baik daripada ibu bapa, tetapi jika sebaliknya berlaku mereka akan memberontak dan 'menolak' perkara baik yang cuba diberikan kepada mereka.

Ibu bapa juga harus berperanan memperlengkapkan anak-anak dengan ilmu agama dan kekuatan spiritual supaya lebih kuat berdepan dengan cabaran-cabaran masa kini. Jangan pandang mudah sebarang tanda ancaman yang terpaksa dihadapi oleh anak. Dekati dan bantu mereka dalam semua keadaan yang difikirkan perlu. Namun, pada masa yang sama berikan peluang untuk mereka lebih berdikari.

No comments:

Post a Comment