Friday, 27 July 2018

TANGANI MASALAH DISIPLIN REMAJA SECARA BERHEMAH

Masalah disiplin di kalangan pelajar seringkali mendapat perhatian seluruh rakyat negara setiap kali didedahkan pihak media. Namun, perkara itu kembali tenang beberapa hari kemudian dan seperti tidak ada apa-apa tindakan kukuh untuk mengelak ia daripada berulang.

Di sekolah, di kalangan guru-guru barangkali terbiasa dengan kesalahan pelajar-pelajar seperti memonteng sekolah, melawan guru, menghisap rokok di sekolah dan sebagainya. Mereka sudah berusaha termasuk menghukum pelajar, tetapi guru pula yang 'dihukum' oleh ibu bapa dan kementerian atas tindakan itu.

Sebab itu ada di kalangan guru sekadar berkata 'sudah tidak larat' atau 'habis cara mana lagi' untuk menangani permasalahan itu. Jadi, jika ada guru yang benar-benar ikhlas mendidik pelajar dengan pekerti mulia, usaha itu tidak banyak mendatangkan kesan seperti diharapkan.

Banyak faktor yang mempengaruhi perlakuan remaja melakukan salah laku moral ini dan beberapa pihak harus sama-sama menangani permasalahan ini. Ini kerana kesannya bukan ditanggung individu atau keluarga berkenaan saja, bahkan musibahnya dirasai seluruh masyarakat dan negara.

Sebab itu, antara isu utama dalam masyarakat kini ialah hal yang berkaitan dengan pembinaan generasi pewaris yang menjadi tempat penggantungan harapan meneruskan perjuangan yang telah dimulakan sebelum itu. Hanya menjadi sia-sia jika peradaban dan kekuatan bangsa yang dibina hari ini tidak mampu diteruskan oleh generasi akan datang. Generasi muda yang tidak memiliki keperibadian yang utuh dan ampuh tidak layak untuk diamanahkan tanggungjawab memimpin terhadap diri mereka.

Persoalannya, jika bukan kepada golongan muda hari ini diberikan tanggungjawab itu, kepada siapa pula hendak diserahkan? Dengan kata lain, tidak dapat tidak, golongan muda sekarang perlu diperkasakan modal insannya untuk menerima tanggungjawab itu. Maka sebab itu, sebarang masalah yang berkaitan dengan remaja tidak boleh dipandang mudah kerana kesannya akan berterusan dari generasi ke generasi.

Dalam konteks ajaran Islam, perkara yang berkaitan dengan pembinaan dan pemerkasaan generasi pelapis dalam meneruskan kelangsungan agama amat dititikberatkan. Agama memberi penekanan kepada usaha melahirkan golongan pemuda dan remaja yang berpaksikan kepada kekuatan asas-asas ilmu, akhlak, takwa dan iman yang menjana atau melahirkan ummah yang berkeupayaan berdepan dengan cabaran semasa dan mencapai kecemerlangan dalam segenap aspek.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Mereka itu ialah golongan pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka, yakni Allah dan Kami tambahkan lagi ke atas mereka petunjuk hidayah." (Surah al-Kahf 18: 13).

Dalam memperkatakan berkaitan masalah remaja, tidak seharusnya kita menyalahkan mereka semata-mata dalam hal ini. Apa yang berlaku mempunyai kaitan atau berpunca daripada daripada banyak sebab. Justeru, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memperbaiki seluruh kerangka kehidupan remaja itu sendiri supaya mereka dapat dibentuk rnenjadi generasi terbaik mengikut proses yang betul.

Rata-rata remaja yang bermasalah datang daripada keluarga yang tidak bahagia dan kucar-kacir. Dengan kata lain, masalah pertama yang perlu diselesaikan ialah sikap ibu bapa sendiri. Rumah sepatutnya menjadi tempat paling selamat, bahagia dan sempurna. Sebab itu, ungkapan rumahku syurgaku amat tepat untuk menterjemahkan harapan terhadap keluarga yang mendiami syurga di dunia ini. 

Ibu bapa yang berdepan konflik rumahtangga tidak sepatutnya menyajikan siaran langsung drama pertengkaran mereka di hadapan anak-anak. Carilah tempat dan waktu yang tidak ada anak-anak menyaksikannya. Cara itu akan menyelamatkan anak-anak daripada turut terheret dalam kancah itu.

Anak yang sentiasa melihat dan melalui suasana tegang dalam keluarga akan hilang keyakinan kepada ibu bapa dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Jadi, mereka lebih selesa berada di luar rumah bersama rakan-rakan sebaya. Jika ada sebarang masalah yang dihadapi akan dipendam begitu saja atau mereka mencari jalan penyelesaian sendiri yang keputusannya kurang berkesan atau membawa kepada masalah yang lebih besar.

Dalam mendidik anak, khususnya yang berada pada usia remaja, ibu bapa perlu memainkan peranan penting sebagai 'cermin' kepada anak. Ibu bapa adalah contoh terdekat kepada anak-anak. Remaja sudah tahu untuk menilai apa yang dilakukan oleh ibu bapa.

Remaja berasa bangga jika dapat mencontohi yang baik daripada ibu bapa, tetapi jika sebaliknya berlaku mereka akan memberontak dan 'menolak' perkara baik yang cuba diberikan kepada mereka.

Ibu bapa juga harus berperanan memperlengkapkan anak-anak dengan ilmu agama dan kekuatan spiritual supaya lebih kuat berdepan dengan cabaran-cabaran masa kini. Jangan pandang mudah sebarang tanda ancaman yang terpaksa dihadapi oleh anak. Dekati dan bantu mereka dalam semua keadaan yang difikirkan perlu. Namun, pada masa yang sama berikan peluang untuk mereka lebih berdikari.

No comments:

Post a Comment