Monday 16 May 2022

CARA GURU MENJADI PENDAKWAH

  
Dakwah adalah kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu keper­cayaan. Dalam konteks agama Islam, sudah tentu dakwah adalah menyeru agar beriman dan bertakwa kepada Allah. 
 
Dakwah tidak hanya disampai melalui ucapan atau kata-kata. Dakwah juga boleh disampaikan melalui tulisan, perbuatan dan contoh. 
 
Justeru, guru mempunyai pelbagai cara untuk melaksanakan dakwah bukan saja kepada pelajar, bahkan kepada masyarakat umum. Terdapat beberapa kaedah boleh dilakukan oleh guru untuk melaksanakan dakwah.  
 
Sedia diketahui, tugas utama guru ialah mengajar mata pelajaran di bilik darjah. Setiap guru ada matapelajaran khusus dan pilihan yang dipertanggungjawabkan mengajar pelajar. 
 
Bagi guru yang mengajar mata pelajaran berkaitan ibadah dan pengetahuan Islam, tugas dakwah tidak sukar dilaksanakan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab dan sukatan pelajaran yang ditetapkan. 
 
Dalam kontes ini, guru berkenaan perlu melaksanakan dengan penuh dedikasi bukan saja bertujuan untuk pelajar lulus peperiksaan, tetapi tidak kurang pentingnya ialah untuk dijadikan amalan kehidupan seharian. 
 
Sesungguhnya setiap ilmu yang dipelajari adalah untuk diamalkan. Ilmu yang dipelajari tetapi tidak diamalkan tidak memberi manfaat umpama seperti pokok yang subur tetapi tidak berbuah. 
 
Hari ini banyak pelajar berjaya mendapat keputusan cemerlang, tetapi bankrap moralnya. Kita gagal menghasilkan rakyat minda kelas pertama. 
 
Bagi guru yang mengajar mata pelajaran tiada kaitan dengan agama, mereka masih berpeluang melaksanakan dakwah. Sesungguhnya semua pengetahuan mempunyai kaitan dengan agama. 
 
Contoh pelajaran sains juga mempunyai kaitan dengan agama kerana ia adalah ilmu yang berkaitan dengan apa yang dicipta oleh Allah. Dengan itu, guru sains perlu bijak bagaimana hendak kaitkan sains dengan dakwah. 
 
Antara yang boleh dikaitkan ialah kekuasaan Allah mencipta alam ini. Pelajar perlu berasa apa juga yang berlaku di sekeliling ini adalah kuasa Allah dan sekaligus meletakkan diri semakin hampir kepada-Nya.

No comments:

Post a Comment