Thursday 14 November 2019

MASJID AR RAHMAN, PULAU GAJAH, SABAK

Masjid Ar-Rahman di Pulau Gajah, Sabak, menjadi terkenal kerana keunikan dan kehalusan seni bina Melayu, sekali gus memukau setiap mata yang memandang.

Dari reka bentuk luaran hingga perincian dalaman, setiap butiran seni bina mencerminkan kedamaian dan ketenangan, malah binaan turut dikelilingi hutan dan parit mewujudkan panorama semula jadi.

Melangkah masuk Masjid Ar-Rahman cukup mengujakan apabila setiap langkah disambut pemandangan gerbang besar yang dibina tinggi menggunakan kayu cengal.

Masjid Ar-Rahman mula dibina pada awal 2016 dengan kos RM6 juta melalui peruntukan individu. Pelan serta idea pembinaan juga cetusan penderma tersebut.

Permbinaannya bertujuan untuk menampung keperluan jemaah yang semakin bertambah. Masjid lama Pulau Gajah tidak mampu menampung jemaah, terutama ketika sembahyang Jumaat.

Pembinaan masjid di atas tapak seluas 0.8 hektar itu mengambil masa kira-kira dua tahun dan mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Khidmat 10 pekerja dari Indonesia diguna pakai untuk menghasilkan lebih 90 peratus ukiran tangan pada masjid. Separuh daripadanya ukiran ayat suci al-Quran.

Ciri-ciri binaan Masjid Ar-Rahman ini, menggabungkan hiasan dari sekurang-kurangnya empat negara, selain seni bina Melayu.

Dua pintu masuk masjid dari Yaman, tiang tempat imam solat pula dari Maghribi. Set geduk berasal dari Indonesia dan lakaran al-Quran dalam bulatan di tengah siling pula dibawa dari Turki.

Individu yang membiayai pembinaan Masjid Ar-Rahman ini sering merantau ke luar negara terutama Indonesia, Maghribi, Yaman dan Turki memberi ilham seni reka Masjid Ar-Rahman.

Malah pintu kayu berusia ratusan tahun yang dipenuhi ukiran ayat suci al-Quran di hadapan tempat Imam solat diimport dari Magribi.

Keunikan Masjid Ar-Rahman tidak terbatas pada pandangan luar dan dalam bangunan, sebaliknya sudut pandangan atas memberi gambaran lebih menarik seolah-olah masjid berada di sebuah pulau kecil.

Pemilihan lokasi masjid yang dikelilingi sungai dan rimbunan pokok turut memberi kelebihan apabila menghasilkan udara nyaman dan sejuk kepada binaan itu, selain lokasi juga terletak di hujung kampung.
 
Pengunjung boleh berehat di wakaf yang dibina di tepi sungai sambil melihat ikan dan hidupan air lain. Di satu sudut pula ada sangkar memelihara ikan yang memberi peluang pengunjung melihat ternakan ikan dalam sangkar. 

Tempat letak kenderaan yang luas untuk kemudahan jemaah disediakan. Bumbung parkir pula dipasang panel solar bagi tujuan penjimatan tenaga elektrik.

Masjid diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan pengurusannya dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid.
 
Sekarang ini, banyak pengunjung ke Pantai Nusuk yang terletak tidak jauh dari Masjid Ar-Rahman akan singgah di masjid itu untuk menunaikan solat, mahupun sekadar melakukan lawatan untuk melihat keindahan seni bina masjid. 
 
 

No comments:

Post a Comment