Monday 20 December 2021

SEJARAH BAH MERAH BANJIR PALING BURUK DI KELANTAN

  
Mengikut catatan, hujan tanpa henti selama 10 hari pada 1926, mengakibatkan banjir besar di Kelantan. Banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 1926 itu lebih dikenali sebagai Bah Merah di kalangan penduduk Kelantan. 
 
Hujan banyak turun di kawasan hulu Sungai Kelantan, selain turut membasahi keseluruhan Tanah Rendah Sekebun Bunga. Ini menyebabkan air melimpah melepasi tebing Sungai Kelantan dan menegelamkan kawasan rendah. 
 
Bah Merah dikira luar biasa kerana banyak tempat yang biasanya tidak dinaiki air pada setiap kali banjir, turut dilanda banjir. 
 
Maka, kesan mala petaka itu tentu sekali turut meragut nyawa, memusnahkan tanaman dan rumah penduduk. Bandar Kota Bharu menyaksikan semua tempat ditengelami banjir.  
 
Kejadian banjir besar pada 1926 dipanggil Bah Merah disebabkan warna air banjir bertukar daripada warna teh susu kepada merah kerana dipercayai ada bukit di bahagian hulu sungai runtuh dan mengakibatkan banjir lumpur. 
 
Kira-kira 40 tahun kemudian di penghujung 1967, satu lagi banjir besar melanda negeri Cik Siti Wan Kembang ini dan meragut 38 nyawa dan kira-kira 537,000 atau 84 peratus penduduknya turut terjejas. 
 
Banjir itu dikatakan kurang sedikit berbanding dengan Bah Merah pada tahun 1926. Bagaimanapun, di sesetengah tempat, banjir tahun 1967 dikira lebih besar. 
 
Memang di Kelantan ini dikira hampir setiap tahun air naik tetapi tidaklah begitu teruk seperti pada 1926 dan 1967. Antara catatan bah besar yang turut diingati oleh rakyat Kelantan ialah pada tahun 2004. 
 
Untuk generasi muda, tentunya banjir pada tahun 2014 menjadi catatan sejarah yang sukar dilupakan, terutama kepada mereka yang menjadi mangsa banjir tersebut secara langsung. 
 
Gambar: Pegawai British (dari kiri) Mr Ferrier, Dr Tailor, Mr Kempdan Mr Worham berdepan banjir besar di Kota Bharu pada 1926.

No comments:

Post a Comment