Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu, 7
Syawal tahun ketiga Hijrah (26 Mac 625 M) antara tentera Islam dengan tentera
kafir Quraisy. Perang Uhud adalah peluang untuk orang Quraisy membalas dendam
terhadap kekalahan mereka ketika Perang Badar. Dinamakan Perang Uhud kerana ia
berlaku di sebuah tempat yang dikelilingi Bukit Uhud.
Penduduk Makkah (Quraisy) malu besar atas kekalahan mereka di medan Perang
Badar. Saudagar-saudagarnya tidak ada yang berani lagi pergi berdagang ke
Syria, takut akan ditangkap orang Islam. Kalau keadaan itu berterusan, kota
Makkah akan diserang bahaya kelaparan dan krisis ekonomi.
Oleh kerana itu, maka berundinglah semua
pembesar Quraisy untuk mendapatkan keputusan ini. Diputuskan bahawa semua
keuntungan perdagangan pada tahun itu akan dipergunakan untuk membentuk satu
angkatan perang yang kuat.
Islam yang mula dibawa oleh Rasulullah yang
berteraskan keesaan kepada Tuhan yang satu mencabar penyembahan tuhan berhala
yang disembah oleh bangsa Quraisy.
Amalan buruk antaranya menanam anak
perempuan, zina, mabuk arak, mencuri, merompak serta hidup dalam suasana
berkelahi dan berperang.
Islam datang dengan tujuan menghapus amalan
ini yang dibiarkan oleh pemimpin Quraisy berkepentingan. Jadi, ia menjadi
cabaran besar kepada kafir Quraisy untuk menghalang kekuatan dan pengaruh
Islam.
Islam juga mengubah sosio budaya kegelapan
jahiliyah yang didominasi oleh kalangan bangsawan Quraisy bertindak menindas
golongan marhaen. Sistem riba berleluasa, penipuan dalam urusan jual beli,
menipu sukatan dan aktiviti perjudian.
Berkembangnya ajaran agama Islam membawa
pada meluasnya wilayah yang diduduki umat Muslim. Untuk menjaga keamanan,
Rasulullah SAW menempatkan sejumlah tentera di beberapa kawasan kritikal yang
memungkinkan diserang kaum musyrik.
Hal ini menyebabkan terbatasnya lingkup
perniagaan kaum Quraisy, sedangkan perekonomian Quraisy bergantung pada jalur
perdagangan musim panas dan dingin. Bagi Quraisy, jalan penyelesaiannya ialah
dengan berperang.
Sebelumnya, pemuka Quraisy memimpin di
kalangan Arab. Namun, Perang Badar mengubah keadaan ini. Perang Badar
menyebabkan beberapa tokoh besar kaum Quraisy terbunuh, sehingga kekuatan
mereka semakin melemah.
Di sisi lain, semakin banyak yang memeluk
Islam. Senario ini membuat orang-orang Quraisy meyakini bahawa, perang harus
dilakukan untuk mengembalikan kekuatan politik.
Pada Perang Uhud, tentera Islam mengalami
kekalahan, gagal mengulangi kejayaan besar pada Perang Badar. Pada peringkat
awal perang, tentera Islam sudah berada di ambang kemenangan. Namun, disebabkan
kumpulan pemanah yang berada di Bukit Uhud meninggalkan kedudukan setelah
melihat tentera musuh lintang-pukang dan meninggalkan harta masing-masing.
Apabila menyedari pemanah meninggalkan
kedudukan dan tidak lagi kumpulan pelindung, maka tentera musuh bertindak
menyerang kembali. Keadaan itu menyebabkan strategi pertahanan menjadi lemah.
Akibat itu, tentera Islam tidak mampu mempertahankan kedudukan dan menanggung
kekalahan.
Pengajaran kejadian itu membuktikan bahawa
kepatuhan kepada arahan pimpinan tertinggi adalah syarat kepada kemenangan.
Sekiranya ia diingkari atau arahan datang daripada banyak cabang, menjadikan
strategi dan perancangan kucar kacir.
Perang Uhud meskipun kalah ia kekal menjadi
pedoman dan motivasi terbaik terutama dalam melaksanakan kerja-kerja agama. Adat
berjuang, ada kala memihak ada kalanya tidak. Ia bukan musibah, tapi anggaplah
suatu muhasabah memperkemaskan gerak kerja yang mungkin masih lemah.
Jadikan ia sebagai pengajaran dalam perjuangan.
No comments:
Post a Comment