Friday 27 July 2018

MENGAPA REMAJA PERLU MENABUNG

Menabung atau menyimpan wang perlu dijadikan satu amalan. Untuk menimbulkan kesedaran lebih mendalam, pihak kerajaan telah mengadakan kempen menabung di kalangan pelbagai lapisan masyarakat agar wujud sikap itu di dalam diri setiap rakyat di negara kita. 

Sebenarnya nasihat supaya kita mengamalkan sikap suka menabung atau berjimat telah lama wujud dalam masyarakat kita. Pepatah, ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit’ adalah antara nasihat yang mendidik agar masyarakat menabung. Jumlah yang sedikit akan menjadi banyak jika amalan menyimpan diteruskan dalam tempoh yang lama.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya merupakan peribahasa yang sangat sinonim dalam masyarakat Melayu. Peribahasa ini bermaksud jika kita ingin melatih atau membentuk kebiasaan dalam diri seseorang perlu dilakukan sejak kecil lagi. Pendekatan ini juga perlu dilakukan untuk menerapkan amalan menabung kepada anak-anak sejak kecil.   

Amalan murni dan nilai keagamaan perlu diasuh sejak mereka masih bayi lagi kerana amalan tersebut akan menjadi tabiat apabila mereka besar nanti. Amalan murni tidak boleh diajar secara secara matapelajaran dalam kelas, tetapi satu proses berterusan yang memerlukan tunjukajar dan kesedaran bahawa apa yang dilakukan itu satu perkara baik.      

Oleh sebab itu, sikap menabung perlu dimulakan sejak awal lagi. Kanak-kanak dan remaja yang menerima wang daripada ibu bapa patut digalakkan menabung sebahagian wang yang diterima itu. Amalan itu diharap sebati dalam diri sehingga dewasa dan memberi kesan kebaikan yang bukan saja kepada individu berkenaan tetapi juga keluarga dan negara.

Rata-rata remaja menerima wang saku melebihi daripada apa yang perlu dibelanjakan setiap hari. Peluang mendapat wang saku melebihi daripada apa yang diperlukan sepatutnya tidak menjadikan remaja berbelanja lebih. Wang diperoleh itu wajar ditabung sebagai simpanan, walaupun ibu bapa memiliki banyak harta yang boleh digunakan bila-bila masa tanpa had.

Apabila dewasa segala keperluan hidup diurus sendiri termasuk wang untuk perbelanjaan harian. Ketika itu amat penting mereka perlu bijak merancang perbelanjaan agar tidak menghadapi masalah kewangan. Keupayaan mengurus kewangan dan berjimat banyak bergantung kepada apa yang telah diamalkan sejak kecil lagi. 

Sikap tidak mementingkan berbelanja secara berhemah menyebabkan golongan muda berdepan masalah kewangan. Mereka tidak tahu untuk berjimat kerana sudah terbiasa dengan amalan berbelanja tanpa mengambil kira kemampuan yang telah diamalkan sejak kecil. 

Sikap berbelanja melebihi pendapatan atau keupayaan membayar menyebabkan golongan muda berdepan dengan krisis kewangan yang tidak dapat diselesaikan hingga menyebabkan diiystiharkan muflis. Jika diteliti punca sikap itu adalah kerana telah terbiasa hidup mewah hasil pemberian keluarga ketika usia kanak-kanak dan remaja.  

Banyak remaja sekarang dimanjakan dengan wang ringgit oleh ibu bapa sebagai tanda kasih sayang. Ibu bapa sanggup bersusah payah mencari wang demi untuk anak-anak, sehingga ada remaja berbelanja seperti orang dewasa yang sudah berkerja. Mereka memakai pekaian berjenama, memiliki kenderaan dan berbelanja mewah dengan menggunakan wang disediakan oleh ibu bapa.

Sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak menyebabkan sikap lupa diri hingga terjebak dalam kancah kehidupan tidak sihat. Perasaan ingin berbelanja dengan bijak dan berjimat tidak terlintas langsung dalam fikiran mereka berterusan hinggalah dewasa.   

Remaja patut sedar setiap sen yang diterima daripada ibu bapa merupakan satu amanah agar digunakan untuk kebaikan. Berbelanja dengan cermat dan berhemah satu amalan mulia. Beringat semasa senang dapat mengelak bencana dan kesusahan yang tidak dapat diduga pada masa hadapan.

Amalan menabung di kalangan remaja mampu membentuk masyarakat yang berdisiplin dan bermaruah. Mereka bijak menilai keperluan hidup tanpa melepasi batas-batas keperluan sehingga membazir dan merugikan.

Sebenarnya tidak semua anak bernasib baik terus mendapat kekayaan daripada ibu bapa. Sebaliknya, mereka perlu lebih berdikari dan mencari sendiri wang yang diperlukan. Setelah dewasa baru ramai yang sedar betapa sukarnya untuk mencari wang.

Justeru, itu remaja perlu dididik dengan sikap berjimat dan menabung untuk simpanan masa depan, juga sebagai satu pelaburan yang menguntungkan. Simpanan dalam institusi kewangan dan saham amanah memberi pulangan lumayan yang meningkatkan jumlah simpanan.

Pada masa yang sama, simpanan itu dapat membantu negara mengurangkan kadar inflasi. Dalam keadaan ekonomi menghadapi masalah, peningkatan kadar inflasi lebih mudah berlaku jika pengawalan tidak dibuat dengan baik.

Remaja boleh memilih sama ada untuk menabung dengan institusi perbankan konvensional yang mengamalkan kadar faedah tetap atau sistem perbankan Islam yang berdasarkan kaedah perkongsian untung dan beberapa syarat lain mengikut syariat Islam.

Remaja juga boleh melabur wang di dalam saham amanah yang banyak terdapat di negara kita. Sekarang sudah ada saham amanah yang diwujudkan khas untuk remaja. Permodalan Nasional Berhad (PNB) contohnya telah memperkenalkan Amanah Saham Didik (ASD) sejak 20 April 2001, khusus untuk golongan pelajar dan remaja.

Kewujudan saham amanah tersebut menunjukkan galakan kerajaan agar setiap remaja turut melabur di dalam saham yang memberi pulangan lumayan dan menggalakkan amalan menabung. Kebaikan melabur di dalam saham amanah ialah kadar risikonya lebih rendah berbanding jika melabur di dalam pasaran terbuka, terutama ketika dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil.

No comments:

Post a Comment