Monday, 25 June 2018

UDANG CELUP TEPUNG MURAH DAN RANGUP

Udang celup tepung murah dan rangup. Itu rumusan mengulas harga udang celup tepung yang semakin mendapat sambutan. Selama ini masyarakat menganggap makanan laut seperti udang dan sotong dianggap makanan kelas tinggi berharga mahal.

Dengan harga RM10 untuk 30 hingga 60 ekor udang goreng celup tepung dianggap berharga murah. Itulah harga udang celup tepung yang ditawarkan peniaga di Pantai Penarik, Terengganu. Perang harga di kalangan peniaga di kawasan pantai peranginan itu ternyata memberi peluang untuk pelanggan mendapat harga udang celup tepung lebih murah berbanding di tempat lain.

Pelanggan boleh memilih ukuran atau saiz udang yang akan menentukan bilangan ekor udang untuk harga RM10 sepinggan. Bagi yang datang ramai, biasanya memilih saiz kecil yang membolehkan bilangan udang sehingga 60 ekor.

Tindakan peniaga di Penarik yang sememangnya telah lama terkenal sebagai lokasi makanan laut menawarkan harga gila-gila mampu mengubah persepsi segelintir masyarakat dan pelancong yang beranggapan negatif bahawa udang celup tepung mahal dan hanya mampu dimakan golongan tertentu.

Rata-rata pelanggan mengakui harga yang ditawarkan agak murah. Kira harga mampu beli oleh kebanyakan orang. Tidak rungsing kena bayar mahal biarpun datang satu keluarga sehingga 10 orang.

Fenomina udang celup tepung murah di Penarik mendapat perhatian ramai. Orang ramai melalui kawasan tersebut tidak teragak-agak untuk singgah di situ. Iklan besar yang memaparkan harga dan bilangan ekor udang menarik minat orang ramai. Tambah lagi, lokasi kebanyak kedai berada berhampiran pantai. Sambil menikmati hidangan udang celup tepung, pengunjung dapat menikmati suasana tepi pantai yang nyaman.

Harga yang jelas dan kebanyaknya konsep layan diri yang pembeli boleh mengetahui harga yang patut dibayar sebelum makan, pembeli tidak akan terperangkap dengan harga mahal terpaksa dibayar apabila selesai makan.

Pilih dan terus bayar sebelum makan membolehkan pelanggan menilai sendiri harga yang ditawarkan. Sebab itu ramai yang tambah hidangan apabila berpuashati dengan harga dan rasa yang dinikmati.

Selain udang celup tepung, ada juga disediakan sotong celup tepung dan ikan celup tepung serta masakan lain. Namun yang paling mendapat sambutan sudah tentu udang celup tepung.

Bekalan udang biasanya diperoleh dari penternak udang yang terdapat di Penarik dan Fikri. Pengusahan penternakan udang secara ladang berskala besar di kedua-dua kawasan ini membekalkan udang segar dan murah kepada peniaga.

No comments:

Post a Comment