Tuesday, 8 April 2025

KERETA API LOKAL DIJADIKAN PASAR BERGERAK

 
Kewujudan Stesen Tumpat (Stesen Kereta Api Tumpat), Kelantan banyak membantu kemajuan bandar Tumpat (Tumpat). Tumpat boleh dianggap sebagai salah satu bandar utama di Kelantan pada masa dahulu.
 
Stesen Tumpat agak terkenal kerana menjadi destinasi terakhir untuk landasan di pantai timur. Ia menjadi penanda akhir perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat atau Johor Baharu ke Tumpat dan sebaliknya.
 
Lokasi Stesen Tumpat bersebelahan dengan Tumpat menjadikan ia tempat untuk peniaga mendapatkan barang untuk menaiki kereta api dan seterusnya dijual di stesen-stesen sepanjang landasan dari Tumpat sehingga Gua Musang.
 
Pada masa dahulu, kereta api boleh dinaggap sebagai "pasar bergerak" untuk peniaga menjual pelbagai barang keperluan di kawasan pedalaman. Sebelum tahun 1984, jalan raya dari Kota Bharu hanya sampai di Kuala Krai sahaja, iaitu sekitar 70 kilometer sahaja, sedangkan 100 kilometer lagi ke selatan sampai Gua Musang perlu menggunakan perkhidmatan kereta api atau melalui laluan sungai menggunakan bot galah.
 
Jadi, peniaga dari pedalaman akan menaiki kereta api ke Stesen Tumpat bagi mendapatkan bekalan barang dagangan berupa barang keperluan, termasuk ikan dan sayur. Bekalan ikan mudah diperleh di Tumpat kerana ia terletak berhampiran dengan laut. Manakala bekelan sayur pula diperoleh dari petani di Tumpat sendiri dan kawasan sekitarnya.
 
Kereta api tempatan (locak train) adalah perkhidmatan kereta api henti-henti jarak dekat. Biasanya ia membawa penumpang dan satu atau dua gerabak barang. Kereta api ini akan berhenti di semua stesen dan perhentian di sepanjang laluan.
 
Peniaga akan menaiki kereta api bersama barang dagangan pada awal pagi menuju ke selatan negeri Kelantan. Di setiap stesen yang kereta api berhenti akan akan ada pemborong atau pembeli menanti. Selain menjual, penjual juga akan membeli barang yang dijual di satu-satu stesen dan membawanya ke stesen seterusnya.
 
Ketika itu kambing dan ayam hidup pun ada, namun apabila jalan raya utama antara Kuala Krai dan Gua Musang mula digunakan pada 1984, binatang ternakan hidup sudah tidak dibenarkan menaiki kereta api.
 
Kegunaan kereta api sebagai pasar bergerak semakin berkurangan apabila kemudahan jalan raya dari Kota Bharu dan sampai terus ke Gua Musang, sehingga Kuala Lipis dan seterusnya ke selatan dan pantai barat.
 
Seterusnya, jalan raya juga dibina dari bandar-bandar lain di Kelantan untuk ke bahagian selatan Kelantan seperti jalan Jeli - Dabong dan Jalan Sungai Sang -  Dabong. Dari Dabong jalan terus menghala ke selatan sehingga ke Gua Musang.
 
Pasar kereta api lenyap atau tidak wujud lagi apabila kereta api tempatan menamatkan perkhidmatan dan diganti dengan kereta api Diesel Multiple Unit (DMU).
 
 Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment